AL-AFKAR #127: ISU MANDI TASIK MUJARAB UNTUK MENGANDUNG

Template Header Al Afkar page 001

Soalan

Assalamualaikum wbt. Sebelum ini tular isu di media sosial berkenaan sebuah tasik yang dikunjungi ramai orang kerana dikatakan tasik itu memberi manfaat untuk mengandung kepada wanita yang berendam di dalam tasik tersebut dan ingin mendapatkan zuriat. Adakah cara pergi ke tasik tersebut untuk mendapatkan zuriat dikira sebagai usaha ataupun perkara khurafat? Mohon penjelasan SS. Mufti.

 

Ringkasan Jawapan

Waalaikumussalam wbt. Sebagai orang Islam, kita harus berpegang bahawa Allah SWT yang mempunyai kuasa untuk memberi rezeki, memberi manfaat dan mudarat. Pada asasnya meyakini bahawa selain daripada Allah SWT yang mampu memberi rezeki atau mudharat seperti tasik, makhluk, atau ciptaan lain adalah berunsurkan amalan syirik dan khurafat. Kerana yang boleh memberi manfaat dan mudharat tidak lain tidak bukan hanya Allah SWT. Cara sedemikian juga dikategorikan sebagai usaha yang haram kerana tidak berlandaskan syariat Islam. Wallahua’lam.

 

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat.  

Meyakini bahawa sesuatu selain Allah boleh memberi manfaat atau mudarat adalah bercirikan amalan yang syirik. Ia juga merupakan kategori usaha yang haram kerana tidak berlandaskan syariah. Firman Allah SWT:

قُلِ ادْعُوا الَّذِينَ زَعَمْتُم مِّن دُونِهِ فَلَا يَمْلِكُونَ كَشْفَ الضُّرِّ عَنكُمْ وَلَا تَحْوِيلًا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah orang-orang yang kamu dakwa (boleh memberi pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya”. 

Surah al-Isra’ (56)

Syeikh Wahbah Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan bahawa ayat ini sebagai penjelasan kepada orang-orang musyrik yang mempercayai kuasa selain daripada Allah SWT. Tiada sesuatu pun selain Allah SWT yang mampu memulihkan kemudaratan seperti kemiskinan, penyakit, bala dan sebagainya, atau memindahkannya daripada satu tempat ke tempat yang lain dan daripada seseorang kepada orang yang lain.[1]

[Lihat: Tafsir al-Munir, 15/112]

Imam al-Qurtubi pula mengatakan bahawa ayat ini turun kepada Nabi Muhammad SAW sebagai respon kepada kepercayaan orang musyrikin mekah. Menurut Imam al-hassan al-Basri, ia sebagai cabaran kepada tuhan-tuhan kepercayaan mereka seperti para malaikat, Uzair AS, Isa AS. Berkata Ibn Mas’ud pula ia adalah kepercayaan seperti jin, yang mana tuhan-tuhan kepercayaan mereka ini tidak mampu untuk mengangkat kemudharatan seperti yang menimpa kepada penduduk Mekah selama tujuh tahun. Tidak ada yang berubah daripada miskin menjadi kaya, ataupun yang sembuh daripada penyakit.[2]

[Lihat: Tafsir Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/279]

 

Kemudian terdapat hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah berkaitan kebergantungan kepada selain daripada Allah SWT:

مَنْ عَقَدَ عُقْدَةً ثُمَّ نَفَثَ فِيهَا فَقَدْ سَحَرَ وَمَنْ سَحَرَ فَقَدْ أَشْرَكَ وَمَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِّلَ إِلَيْهِ

Maksudnya: Sesiapa yang mengikat sesuatu ilmu kemudian meniupkannya, maka itu adalah sihir, dan dia telah melakukan perkara yang syirik. Dan sesiapa yang menggantung sesuatu sebagai azimat, maka ia diwakilkan sebagai tempat dirinya bergantung (tidak mendapat apa-apa manfaat).

Riwayat al-Nasaie (4084)

Menurut Syeikh al-Munawi, hadis di atas ditujukan kepada orang yang berpegang kepada penawar atau ubat dan percaya bahawa ianya berkesan dan mujarab untuk mengubati sesuatu penyakit. Tetapi sebenarnya Allah SWT yang menyembuhkan penyakit tersebut.[3]

[Lihat: Faidhul Qadir, 6/107]

Hadis di atas juga memberi penjelasan jika seseorang manusia berpegang kepada sesuatu benda selain Allah dalam meminta rezeki atau manfaat, maka Allah tidak akan menolongnya. Syeikh al-Dardir dalam kitabnya mengatakan sesuatu benda itu secara hakikatnya tidak memberi kesan terhadap perkara yang berkaitan dengannya. Jadi sebenarnya api tidak memberi kesan terhadap kebakaran, makanan tidak memberi kesan terhadap kekenyangan, air tidak memberi kesan terhadap sistem pengairan atau pertumbuhan tanaman, kesuburan bumi atau buah-buahan, atau keadaan yang menjadikan cuaca itu panas atau sejuk, melainkan semua ini terjadi dengan izin dan kuasa Allah sahaja, yang berkehendak untuk memilih dalam menjadikan asas dan akibat sesuatu ciptaan tersebut.[4]

[Lihat: Al-Kharidah Bahiyyah, 63]

 

Kesimpulan

Justeru, sebagai orang Islam, kita harus berpegang bahawa Allah SWT yang mempunyai kuasa untuk memberi rezeki, memberi manfaat dan mudhrat. Meyakini bahawa selain daripada Allah SWT yang mampu memberi rezeki atau mudarat seperti tasik, makhluk, atau ciptaan lain adalah syirik hukumnya. Kerana yang boleh memberi manfaat dan mudarat tidak lain tidak bukan hanya Allah SWT. Cara sedemikian juga dikategorikan sebagai usaha yang haram kerana tidak berlandaskan syariat Islam. Wallahua’lam.

 

[1] Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, (Beirut: 1991), Darul Fikri

لا يملك أحد غير الله عزّ وجلّ كشف الضّر من فقر أو مرض أو بلاء أو غيره، أو تحويله وتبديله من مكان إلى مكان أو من شخص إلى آخر

[2] Ahmad Barduni, Tafsir al-Qurtubi: Jami’ li Ahkam al-Quran, (Kaherah:1994), Darul Kutub Misriyyah

لَمَّا ابْتُلِيَتْ قُرَيْشٌ بِالْقَحْطِ وَشَكَوْا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْزَلَ اللَّهُ هَذِهِ الْآيَةَ، أَيِ ادْعُوا الَّذِينَ تَعْبُدُونَ من دونه وَزَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ آلِهَةً. وَقَالَ الْحَسَنُ: يَعْنِي الْمَلَائِكَةَ وَعِيسَى وَعُزَيْرًا. ابْنُ مَسْعُودٍ: يَعْنِي الْجِنَّ (فَلا يَمْلِكُونَ كَشْفَ الضُّرِّ عَنْكُمْ) أَيِ الْقَحْطِ سَبْعَ سِنِينَ، عَلَى قَوْلِ مُقَاتِلٍ. (وَلا تَحْوِيلًا) مِنَ الْفَقْرِ إِلَى الْغِنَى وَمِنَ السَّقَمِ إِلَى الصِّحَّةِ

[3] Abdul Rauf al-Munawi, Kitab Faidhul Qadir, (1971: Mesir), Darul Ma’rifah, 

أي تمسك بشيء من المداواة واعتقد أنه فاعل للشفاء أو دافع للداء (وكل إليه) أي وكل الله شفاءه

[4] Muhammad al-Adawi al-Dardir, Al-Kharidah Bahiyyah fi Ilm Tawhid,

وعلم أيضا أنه لا تأثير للأمور العادية في الأمور التي اقترنت بها، فلا تأثير للنار في الإحراق، ولا للطعام في الشبع، ولا للماء في الري ولا في إنبات الزرع، ولا للكواكب في إنضاج الفولكه وغيرها، ولا للأفلاك في شيء من الأشياء، ولا للسكين في اقطع، ولا لشيء في دفع حر أو برد، أوجبلهما، أو غير ذلك لا بالطبع ولا بالعلة ولا بقوة أودعها الله فيها، بل التأثيرفي ذلك كله لله تعالى وحده، بمحض اختياره عند وجود هذه الأشياء