AL KAFI #425: PERLUKAH MANDI WAJIB SEKIRANYA BERMIMPI NAMUN TIDAK KELUAR AIR MANI ?

AL-KAFI LI AL FATAWI : SOALAN 425 (4 NOVEMBER 2016 / 4 SAFAR 1438H)

 

SOALAN:

Assalamualaikum Tuan, jika seseorang bermimpi melakukan jima’ tanpa keluar mani, adakah dia perlu mandi wajib dan menggantikan (qadha) solatnya ?

 

JAWAPAN:

 

Waalaikumussalam w.b.t.

Bagi seseorang yang bermimpi melakukan perbuatan seperti berjima’ dan seumpamanya, namun tidak keluar air mani maka dia tidak perlu untuk mandi wajib.

Ini adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Ummu Sulaim R.anha beliau bertanya kepada Rasulullah S.A.W:

هَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ غُسْلٌ إِذَا احْتَلَمَتْ قَالَ ‏ نَعَمْ إِذَا رَأَتِ الْمَاءَ
Maksudnya: Adakah seorang perempuan perlu mandi wajib apabila dia bermimpi ? Maka Nabi S.A.W menjawab: Ya, sekiranya dia melihat air (mendapati keluarnya air mani).

Riwayat Al-Bukhari (6091)

Hadis di atas menunjukkan muqayyad (keterikatan) mandi wajib dengan keluarnya mani. Mafhumnya jika tidak keluar air mani maka tidak perlu mandi wajib.

Pendapat ini juga dikuatkan dengan sebuah riwayat lain daripada Ummu Sulaim R.anha yang bertanya kepada Rasulullah S.A.W:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِذَا رَأَتِ الْمَرْأَةُ أَنَّ زَوْجَهَا يُجَامِعُهَا فِي الْمَنَامِ أَتَغْتَسِلُ قَالَ إِذَا رَأَتِ الْمَاءَ
Maksudnya: Wahai Rasulullah, apabila seorang perempuan bermimpi bahawa suaminya bersetubuh dengannya di dalam mimpi tersebut, adakah dia perlu mandi wajib ? Maka Nabi S.A.W menjawab: Ya, jika dia melihat air.

Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah ketika mengulas hadis ini berkata, jika seseorang perempuan itu mendapati keluarnya air selepas bermimpi maka dia perlu mandi. Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, Ibn Hajar (1/389).

Justeru, dalam menjawab pesoalan ini berpandukan hadis di atas, kami katakan bahawa sesiapa yang bermimpi tetapi tidak keluar air mani, maka tidak perlu baginya untuk mandi wajib.

Wallahu A’lam.