AL-KAFI #1005 : MAKMUM MEMBACA TERLALU KUAT SEHINGGA MENGGANGGU

af1005 compressed

Soalan:

Apakah hukum makmum membaca bacaan dalam solat dengan kuat ketika solat berjemaah.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah ﷻ selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, seseorang makmum ditegah daripada membaca dengan kuat di belakang imam, bahkan sepatutnya dia membaca dengan perlahan sekadar hanya boleh didengari oleh dirinya sendiri. Imam al-Nawawi menyebut fakta ini dalam al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (3/364): “Apabila kita berpendapat bahawa wajib bagi makmum untuk membaca (al-fatihah) ketika solat jahar (yang dibaca kuat seperti subuh dan solat Jumaat), (tetapi) makruh bagi makmum untuk menguatkan (bacaannya) sampai mengganggu jirannya (yakni orang lain sekelilingnya) bahkan hendaklah dia memperlahankan (suaranya) sampai hanya boleh didengar oleh dirinya sendiri, jika dia seorang yang sami` (tidak pekak) dan tiada suatu yang menyibuk (atau mengacau bacaan itu) daripada bunyi bising dan selainnya, kerana itulah sekurang-kurang kadar bacaan yang memadai.”

Sekalipun kenyataan di atas menunjukkan larangan makruh, namun sebahagian para ulama Syafieyyah menegaskan keharamannya apabila ia mengganggu orang lain, kerana itu adalah mudarat. Berkata Imam Ba Fadhl dalam al-Muqaddimah al-Hadhramiah: “Dan diharamkan menguatkan suara sekiranya mendatangkan tasywisy (mengacau bacaan) atas orang lain.”

Perbezaan pendapat ini cuba diharmonikan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Minhaj al-Qawim (hlm. 125-126): “[Dan diharamkan] ke atas setiap seorang untuk menguatkan bacaan semasa solat atau diluarnya [jika mengacau orang lain] seperti orang yang sedang bersolat, yang sedang membaca al-Quran, atau tidur, kerana mendatangkan mudarat, dan merujuk bagi ucapan yang mengacau itu sekalipun terhadap fasiq kerana tidak diketahui melainkan daripadanya. Apa yang disebut daripada hukum haram itu adalah yang zahir (daripada nas al-Muqaddmah al-Hadhramiah), tetapi dinafikan pengharaman itu dengan kalam (Imam al-Nawawi) dalam al-Majmu’ dan selain itu, maka bahawasanya itu seakan-akan yang sarih (yang jelas) ialah bukan hukum haram, melainkan jika cuba dihimpunkan (kedua-dua pendapat itu) dengan kemungkinan bahawa makruh jika tasywisy (pengacauan) itu hanyalah ringan.”

Larangan ini relevan kerana Syariat Islam tertegak atas dasar menolak kemudaratan. Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi kaedah fiqh menyebut:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”

Riwayat Ibn Majah (2341) 

Begitu juga dalam Busyra al-Karim (hlm.286), al-Allamah al-Habib Ba `Isyn bersetuju dengan pengharmonian tersebut dan memasukkan situasi jika tidak terdapat keuzuran: “[Dan diharamkan] ke atas orang yang sedang bersolat, dengan syarat tiada keuzuran, untuk [menguatkan bacaan] di dalam solat dan di luarnya [sekiranya mengacau orang lain] seperti orang yang bersolat, membaca al-Quran dan selain kedua mereka, kerana mendatangkan mudarat. Dan diambil (faham) daripada ucapan yang mengacau itu, termasuklah larangan jika berlaku kepada orang yang fasiq sekalipun, kerana tidak diketahui melainkan daripadanya. (Hukum haram ini) jika pengacauan itu bersifat melampau. Jika tidak melampau, maka hukumnya adalah makruh. Dengan cara ini, maka harmonilah khilaf (yang disebutkan diatas). Adapun jika terdapat keuzuran, seperti suasana bising sehingga seseorang itu memerlukan untuk menguatkan suara, lalu dia mendatangkan bacaan berdasarkan keadaan itu, maka tidak makruh atau haram.

Suka untuk kami sebutkan juga di sini beberapa pengecualian di mana boleh makmum itu menguatkan suara. Antara;

Justeru, berdasarkan perbahasan di atas, dapat kita simpulkan poin-poin berikut:

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada kita semua. Wallahua’lam.