AL-KAFI #1049: TAFSIR AYAT 82 SURAH YASIN

tafsir yasin.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Pagi ini saya membaca akhbar dan saya terpaku mendengar kenyataan daripada Sultan Pahang, Sultan Abdullah yang menyatakan, hendaklah merujuk kepada Surah Yasin ayat 82. Justeru mohon Dato’ Seri nyatakan tafsiran ayat tersebut untuk kami mengambil faedah dan petunjuk-Nya.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَن يَقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ

Maksudnya: “Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi.”

(Surah Yasin: 82)

Dalam menafsirkan ayat ini, alangkah baiknya kita merujuk kepada ulama’ salafus soleh dari kalangan ahli tafsir dan juga ulama’ mutaakhirin agar kita mendapat sebuah tafsiran yang jelas dan tuntas, Insya Allah. Kami mulakan dengan tafsiran ulama’ mutaqaddimin. Antaranya:

Imam al-Tabari menukilkan perkataan Qatadah. Kata beliau (Qatadah): “Tidak ada di dalam kalam arab yang lebih ringan dan mudah daripada kata-kata Allah. Maka Allah Maha Berkuasa dan amat mudah bagi Allah untuk buat perkara tersebut.” (Lihat Jami’ al-Bayan ʿan Taʾwil al-Qurʾan, 20/556)

Beliau menyatakan: “Ayat ini membawa makna bahawa penciptaan dan kejadian yang Allah kehendaki tidak hanya berlaku jika ada alat dan sebagainya. Juga tidak memerlukan air mani ayah dan Rahim ibu. Ini dibuktikan bahawa Allah menjadikan ayah kita yang awal iaitu Nabi Adam tanpa ada ayah. Ini membuktikan bahawa Allah menjadikan dan menciptakan sesuatu tanpa perlu ada perantaraan.” (Lihat Tafsir al-Kabir wa Mafatih al-Ghaib, 17/201)

Beliau berkata: Iaitu Dia memerintahkan kepada sesuatu hanya dengan satu perintah, tidak perlu pengulangan dan penguat. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 6/664)

Kata beliau: “Ayat ini membawa maksud bahawa jika Allah mengkehendaki sesuatu perkara maka ia akan terjadi tanpa perlu berpenat-penat.” (Lihat Jami’ li Ahkam al-Quran,15/56)

Sewaktu mentafsirkan ayat ini, beliau menyatakan bahawa kekuasan Allah SWT itu begitu sempurna, dimana jika Dia berkehendak kepada sesuatu perkara, Dia hanya perlu menyebut "jadilah" dan ia akan terus terjadi tanpa perlu bergantung kepada suatu perkara yang lain. (Rujuk Fath al-Qadir, 4/546)

Beliau menyebut: “Ketikamana Allah SWT menciptakan sesuatu yang dikehendakinya, Allah SWT hanya berfirman: “Jadilah” sudah tentu sesuatu yang dikehendakiNya itu akan berlaku. Ayat ini menunjukkan betapa agungnya kekuasaan Allah SWT sehingga jika Dia menghendaki sesuatu, ketika itu juga ia boleh terjadi.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/5724)

Kata beliau: Kenyataan ini merupakan sehebat-hebat istidlal dan kata pemutus. Demikian itu kerana ia menjelaskan apa yang sebelumnya sebagaimana yang dijelaskan sejumlah natijah daripada dua jumlah qiyas. Maka natijahnya, apabila Allah menghendaki sesuatu, maka tertakluklah kudrat-Nya dengan menjadikannya dengan perintah takwini yang diibaratkan daripada bahasa yang paling pendek iaitu (كن) kun untuk menggambarkan kejadian.

Beliau memahami kata amr dalam maksud keadaan. Menurutnya makna ini lebih tepat dengan konteks keraguan kaum musyrikin atas kuasa Allah menghidupkan kembali tulang belulang yang telah hancur. Maknanya menurut beliau, “Tiada keadaan bagi Allah saat Dia hendak menciptakan suatu ciptaan, kecuali ketetapan-Nya untuk mencipta sesuatu itu. Potongan ayat di atas melukiskan ketetapan-Nya itu di mana sesuatu yang hendak Dia wujudkan langsung terjadi – melukiskannya – dengan kata (كن) kun. Ini untuk menjelaskan bahawa untuk mewujudkannya, Dia tidak menggunakan tangan, tidak juga alat atau mengolah atau mengadun suatu bahan seperti yang dilakukan oleh pekerja. Ini kerana kaum Musyrikin menyangka bahawa hari Kebangkitan tidak dapat terjadi kerana bahan untuk menjadikannya tidak ada lagi. (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 11/79)

Beliau berkata: Sama ada sesuatu itu langit atau bumi, lalat atau semut, semuanya sama sahaja di hadapan kalimat “kun” (كن), dan semuanya akan terus muncul ke alam al-wujud. Di sana tiada yang mudah dan tiada yang payah, tiada yang dekat dan tiada yang jauh. Sebaik sahaja wujudnya iradat Allah untuk menciptakan sesuatu, sudah cukup untuk mewujudkannya biar pun apa sahaja sesuatu itu. Allah hanya mendekatkan gambaran urusan-urusan penciptaan itu kepada manusia supaya mereka dapat memahaminya dengan ukuran manusia yang terbatas. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 13/395)

Ayat ini memberi maksud bahawa tiada sebarang kesukaran bagi-Nya oleh sesuatu pun kerana perintah-Nya dan urusan-Nya hanya antara kaf (ك) dan nun (ن). Apabila Dia menghendaki sesuatu, pasti wujud tanpa penat dan lelah, tanpa sukar dan payah. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 3/22)

Beliau menyatakan: “Urusan Allah SWT dalam menciptakan dan menghendaki sesuatu adalah dengan bertitah kepada sesuatu itu, “كن” (jadilah), maka terjadilah seketika itu juga tanpa bergantung kepada sesuatu yang lain.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 23/58)

Ayat yang dibaca ini merupakan isti’arah tamsiliyyah dalam Balagah, iaitu “أَن يَقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ” di mana dibandingkan kecepatan ta’thir qudratullah dan kejadiannya pada sesuatu makhluk dengan perintah yang ditaati tanpa tawaquf dan tegahan. Jika Dia kehendaki sesuatu sudah pasti akan ada yang terjadi tanpa lambat dan ta’khir. Ini termasuk dalam lata’if al-isti’arah. (Lihat Talkhis al-Bayan fi Majazat al-Quran oleh al-Syarif al-Radhib, 1/192)

 

Penutup

Melihat kepada Qudratullah dan Iradatullah, dengan memahami konsep “كن فيكون”, maka Sunnatullah telah menetapkannya yang dilaksanakan berdasarkan ilmu-Nya. Jawapan al-Quran ini telah menjadikan seorang Ahli Falsafah Islami, al-Kindi menzahirkan salah satu daripada bukti keistimewaan al-Quran. Beliau mencatatkan bahawa: “Manusia mana yang dengan falsafahnya, mampu menghimpun informasi dalam ucapan sebanyak huruf ayat di atas sebagaimana yang telah dihimpun oleh Allah SWT untuk rasul-Nya SAW? Pasti tidak satu pun.”

Makanya, Allah SWT menutup surah Yasin dengan menggarisbawahi hubungan antara semua ciptaan Allah dari yang terbesar hingga yang terkecil, yang merupakan hubungan ketundukan dan kepemilikan. Makanya tepatlah Allah menyebut pada ayat akhirnya:

فَسُبْحَانَ الَّذِي بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

(Surah Yasin: 83)

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dengan sebaik-baiknya untuk menjadikan al-Quran sebagai pedoman dan petunjuk untuk menyuluh kehidupan kita di dunia ini sehingga membawa kebahagiaan dunia yang berlangsungan hingga ke akhirat. Amin.

 

Nota Hujung:

[1] Abu Ja’far Muhammad bin Jarir al-Tabari (838-923 M) adalah seorang mujtahid, sejarawan dan pemikir Muslim yang berasal dari Iran. Beliau dilahirkan di daerah Amol, Tabaristan (sebelah selatan Laut Kaspia). Semasa hidupnya, beliau belajar di kota Rayy, Baghdad, kemudian Syria dan juga di Mesir.

[2] Abu Abdullah Muhammad bin Umar atau Fakhruddin al-Razi dilahirkan di Ray di Iran dan merupakan keturunan Khalifah Abu Bakar. Wafat pada tahun 1209 M atau 606 H. Beliau dikebumikan di Herat, Afghanistan.

[3] Nama penuhnya Abu al-Fida, Imad al-Din, Ismail bin Umar bin Kathir bin Daw bin Kathir bin Dir. Beliau dilahirkan di Mijdal, sebuah kampung di luar kota Busra, terletak di sebelah timur Damsyik pada tahun 701 H. Beliau menerima didikan daripada Ibnu Taimiyah, Al-Mizzi, Ibnu al-Qayyim, Al-Zahabi, Ibnu Al-Firkah, Isa bin Al-Mutim, Ahmed bin Abi-Talib, Ibnu Hajar, Baha al-Din Al-Qasim bin Muzaffar bin Asakir, Ibn al-Shirazi, Ishaq bin Yahya Al-Ammuddi, Zahriyyah Shaykh, dan Muhammad bin Zarrad.

[4] Al-Qurthubi atau Qurtubi adalah seorang Imam, ahli hadis, alim, dan seorang mufassir al-Qur'an yang terkenal. Nama lengkapnya adalah Abu 'Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr Al-Ansari al-Qurthubi. Beliau berasal dari Qurthub (Cordova, Spanyol) dan pengikut mazhab fiqh Maliki. Beliau sangat terkenal melalui karyanya sebuah Kitab Tafsir al-Qur'an, yang dikenali sebagai Tafsir al-Qurthubi. Imam Qurthubi meninggal dunia dan dikebumikan di Mesir, pada hari Isnin, 9 Syawal tahun 671 H.

[5] Nama penuhnya adalah Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Abdullah al-Syaukani al-Shan’ani. Nama Imam al-Syaukani dinisbahkan kepada wilayah Hijratu al-Syaukan, yang berada di luar kota Shan'a. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 28 Zulkaedah 1173 H dan kemudian membesar di Sana'a, Yaman. Beliau berasal dari keluarga yang menganut mazhab Syiah Zaidiyah. Ayahnya adalah seorang hakim. Kemudian beliau beralih kepada mazhab Sunni dan berdakwah agar kembali kepada sumber nas Al-Qur'an dan Hadis. Beliau menghafal Al-Qur’an dan sejumlah ringkasan matan dari berbagai disiplin ilmu semenjak kecil. Metode dan mazhabnya diterima luas di Yaman, kemudian tersebar di India melalui seorang muridnya yang bernama Abd al-Haq al-Hindi. Beliau telah menjadi seorang mufti sejak muda lagi, iaitu pada usia 20 tahun. Pada tahun 1209 H hakim besar Yaman, Yahya bin Salih al-Syajri as-Sahuli meninggal dunia dan jawatannya digantikan oleh Imam al-Syaukani pada saat usianya 36 tahun, sehinggalah kewafatannya pada tahun 1250 H.

[6] Nama penuhnya ialah Ahmad bin Musthafa al-Maraghi Biek. Lahir pada tahun 1300 H / 1881 M di Maraghi. Nama beliau dinisbahkan kepada tempat kelahirannya tersebut. Beliau merupakan saudara kandung Syeikh al-Azhar iaitu Syeikh Muhammad Musthafa al-Maraghi. Adik beradik ini merupakan murid Syeikh Muhammad Abduh, seorang reformis Islam yang terkenal. Syeikh al-Maraghi mengarang kitab Tafsir al-Qur'an atau lebih dikenali dengan nama Tafsir al-Maraghi. Ia ditulis bermula tahun 1352 H dan diterbitkan pertama kali pada tahun 1365 H. Beliau merupakan lulusan Universiti Darul 'Ulum yang tamat pada tahun 1909 M. Beliau meninggal dunia pada tahun 1945 M.

[7] Muhammad al-Tahir ibn ‘Asyur dilahirkan di ibu kota Tunisia pada tahun 1879 M. Beliau adalah daripada keturunan keluarga ulama besar. Ibnu Asyur meninggal dunia pada tahun 1973 di tanah tumpah darahnya, Tunisia.

[8] Beliau lahir di Musha, 9 Oktober 1906. Sayyid Qutb merupakan seorang penulis, pendidik, ulama, penyair Mesir dan anggota utama Ikhwanul Muslimin Mesir pada era 1950-an dan '60-an. Pada tahun 1966 dia dituduh terlibat dalam rencana pembunuhan presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser dan dijatuhkan hukum gantung hingga mati. Beliau meninggal pada 29 Ogos 1966 pada usia 59 tahun.

[9] Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni merupakan seorang ulama dan ahli tafsir yang terkenal dengan keluasan dan kedalaman ilmu serta sifat warak. Nama lengkap beliau ialah Muhammad Ali bin Ali bin Jamil al-Sobuni. Beliau dilahirkan di Madinah pada tahun 1928 M. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang terpelajar. Ayah beliau merupakan salah seorang ulama di Halab, Syria. Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni memperolehi pendidikan awal mengenai bahasa Arab dan ilmu-ilmu agama di bawah bimbingan ayah beliau. Sejak kanak-kanak lagi beliau sudah memperlihatkan bakat dan kecerdasan dalam memahami ilmu-ilmu agama. Di usianya yang masih remaja, beliau sudah menghafal keseluruhan al-Quran. Beliau masih hidup dan sekarang menetap di Turki.

[10] Dr. Wahbah al-Zuhaili dilahirkan di bandar Dair Atiah, utara Damsyik, Syria pada tahun 1932. Bapanya bekerja sebagai petani. Dr. Wahbah belajar Syariah di Universiti Damsyik selama 6 tahun, dan lulus pada tahun 1952 dengan cemerlang. Kemudian beliau melanjutkan pendidikan Islam di Universiti al-Azhar dan tamat pada tahun 1956. Beliau juga meraih Ijazah dalam pengajaran Bahasa Arab dari Universiti al-Azhar. Semasa belajar di Universiti al-Azhar, Dr. Wahbah mempelajari undang-undang di Universiti Ain Shams di Kaherah, Mesir di mana menerima Ijazah Sarjana Muda (B.A) pada tahun 1957. Pada tahun 1959, beliau menerima Ijazah Sarjana (M.A) dalam bidang undang-undang dari Kolej Universiti Kaherah. Pada tahun 1963, beliau menerima kedoktoran (Ph.D) dengan kepujian dalam Syariah Islam menerusi tesis beliau "Pengaruh Peperangan Dalam Perundangan Islam: Sebuah Kajian Perbandingan Meliputi 8 Mazhab dan Undang-undang Sekular Antarabangsa".