AL-KAFI #1076: ADAKAH SETIAP ORANG BEKERJA WAJIB KELUAR ZAKAT

SETIAP BEKERJA ZAKAT.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah setiap orang yang bekerja wajib mengeluarkan zakat?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Berkenaan persoalan di atas, Ya, apabila cukup dua perkara, iaitu haul dan nisab, maka dia wajib mengeluarkan zakat.

Kami nukilkan di sini, syarat yang mewajibkan seseorang itu untuk mengeluarkan zakat, iaitu:

Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A, Nabi SAW bersabda:

وَلَيْسَ فِي مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta sehingga berlalu waktu setahun”

Riwayat Abu Daud (1573) dan Ibn Majah (1789)

Oleh itu, seseorang yang telah memenuhi tiga syarat yang telah ditetapkan iaitu Islam, cukup nisab dan cukup haul adalah wajib ke atas dia untuk mengeluarkan zakat.

Fatwa Wilayah Persekutuan tentang zakat penggajian menyebut: Zakat wajib dikeluarkan ke atas pendapatan daripada penggajian Islam termasuklah apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus. Oleh itu adalah wajib bagi seseorang Islam mengeluarkan zakat daripada pendapatan yang layak dikenakan zakat daripada penggajian tersebut. (Bertarikh 9 April 1999)

Kami nyatakan juga di sini keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 berkenaan Zakat Gaji dan Pendapatan Professional, menyebut: “Muzakarah telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.”

Semoga kita menjadi golongan pembayar zakat agar diberkati Allah rezeki dan kehidupan kita di samping kita mendapat mardhatillah. Amin.