AL-KAFI #1138: HUKUM SOLAT SAMBIL BERSANDAR

SOLAT SANDAR.JPG

Soalan:

Apakah hukum solat sambal bersandar di tiang atau dinding? Adakah solat tersebut sah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Para fuqaha’ bersepakat akan keharusan solat secara bersandar jika ada keperluan, dimana dia tidak mampu untuk solat melainkan dengan bersandar kepada sesuatu. (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 4/105 dan Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 3/259)

Namun mereka berbeza pandangan pada hukum solat secara bersandar bagi mereka yang tiada keperluan padanya. Menurut Imam al-Nawawi, disyaratkan dalam berdiri sewaktu solat untuk berdiri tegak dan lurus. Namun timbul persoalan samada berdiri itu perlu secara kendiri tanpa bantuan atau tidak. Pandangan yang paling tepat ialah seseorang tidak disyaratkan untuk berdiri secara kendiri tanpa bantuan luar. Contohnya jika seseorang itu bersandar pada dinding atau orang lain, dimana jika tempat sandaran ini tiada, orang yang bersandar itu akan jatuh, maka solatnya sah namun hukumnya makruh. Pandangan kedua pula menyatakan disyaratkan berdiri secara kendiri, maka tidak sah solat secara bersandar jika dia mampu berdiri tegak tanpa perlu bersandar. Pandangan ketiga pula menyatakan harus bersandar jika dia mampu berdiri tegak tanpa bersandar. (Rujuk Raudhah At-Thalibin 1/232-233, I’anah al-Thalibin 1/136, Asna al-Matolib fi Syarh Raudh al-Tolib 1/145 dan Kifayah al-Akhyar 1/102)

Sementara mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali serta salah satu pandangan mazhab Syafi’e menyatakan, solat orang yang bersandar dimana jika dialih tempat bersandar dan dia terjatuh, maka solat tersebut tidak sah, kerana ia tidak dianggap sebagai berdiri yang menjadi salah satu rukan solat fardhu. Adapun jika dia tidak jatuh jika dialihkan tempat bersandar, maka hukumnya makruh. (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 4/105, Mukhtasar al-Akhdhari fi al-‘Ibadat ‘ala Mazhab al-Imam Malik 1/23 dan Daqa’iq Uli al-Nuha Syarh Muntaha al-Iradat 1/209)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan mazhab Syafi’e, di mana hukum solat secara bersandar tanpa sebarang keperluan adalah sah, meskipun dia akan jatuh sekiranya tempat bersandar itu dialihkan.

Namun demikian, kami berpandangan adalah lebih baik bagi seseorang yang mampu solat dalam keadaan berdiri tegak untuk mengelakkan bersandar dan mengelakkan perkara-perkara makruh dalam solat. Ini mengambil kira pandangan jumhur yang menghukumkannya sebagai tidak sah.

Perintah Allah SWT mestilah dilakukan dengan cara yang terbaik dan sesempurna mungkin, lebih-lebih lagi solat yang menjadi tiang agama Islam. Firman Allah SWT:

وَقُومُوا لِلَّـهِ قَانِتِينَ

Maksudnya: “Dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”

Surah al-Baqarah (238)

Isu ini merupakan isu khilaf, dan antara adab dalam beramal dengan perkara khilaf adalah dengan mengelakkannya semampu mungkin, sepertimana yang disebut dalam satu qaedah fiqh:

الخروج عن الخلاف مستحب

Maksudnya: Keluar dari perkara khilafiyyah itu adalah sunat dan digalakkan.

Wallahu a’lam.