AL-KAFI #1146: SIKIT RAMBUT TERNAMPAK SELEPAS SOLAT

 NAMPAK RAMBUT.JPG

Soalan:

Assalamualaikum wbt, adakah sah solat seorang muslimat sekiranya dia menyedari seurat rambut terkeluar daripada kain telekung selepas selesai solat.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW, keluarga dan para sahabatnya serta yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari kesudahan.

Menutup aurat adalah syarat sah solat. Jika aurat terdedah semasa solat maka wajib untuk segera menutupnya. Jika orang yang solat itu lalai dan membiarkan auratnya terbuka tanpa segera ditutup, maka batal solatnya dan hendaklah dimulakan semula. Namun jika dia sempat menutup aurat yang terdedah tadi dengan segera maka tidak batal dan dia boleh meneruskan solatnya.

Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/124) ; al-Taqrirat al-Sadidah (hlm. 206)

Aurat bagi lelaki di dalam solat adalah bahagian di antara pusat dan lutut, manakala bagi wanita yang merdeka ialah keseluruhan tubuh badannya melainkan muka dan tapak tangan. Rambut wanita juga adalah aurat yang wajib ditutup ketika solat. Dalilnya ialah hadis Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لَا تُقْبَلُ صَلَاةُ الحَائِضِ إِلَّا بِخِمَارٍ

Maksudnya: “Tidak diterima solat seorang wanita yang sudah berhaid itu melainkan dengan memakai khimar (tudung).”

Riwayat Abu Daud, al-Tirmidzi, al-Hakim. Al-Tirmidzi mengatakan hadis ini
hasan dan al-Hakim mengatakan hadis ini sahih atas syarat Muslim.

Berkata Imam al-Syirazi selepas menyebut hadis ini: “Maka jika terdedah suatu pun daripada jenis aurat, sedangkan dia mampu untuk menutupnya, maka tidak sahlah solat.”

Imam al-Nawawi kemudian mengomentar dengan katanya: Tidak sah solatnya sama ada banyak atau sedikit yang terdedah itu… dan jika seseorang itu solat dengan suatu penutup (auratnya) kemudian selepas senggang (daripada solat) dia mengetahui bahawa terdapat kesan koyak yang jelas menampakkan aurat, maka wajib ke atasnya untuk mengulangi solat itu mengikut mazhab (al-Syafie) sama ada dia tahu atau terlupa atau dia belum tahu. Dalam hal ini terdapat khilaf yang terdahulu bagi orang yang solat dengan najis dalam keadaan tidak tahu atau terlupa. Jika terdapat kemungkinan (ihtimal) bahawa berlakunya koyak itu selepas senggang daripada solat maka tidak perlu i`adah (mengulang solat) tanpa khilaf, sama kes dengan hukum najis. “

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (3/166)

Daripada kenyataan Imam al-Nawawi di atas, terdapat tiga perkara yang boleh diambil faedah:

  1. Batal solat seseorang yang terdedah aurat secara banyak atau sedikit.
  2. Orang yang mendapati auratnya terdedah selepas solat hendaklah mengulangi balik solatnya.
  3. Orang yang mendapati auratnya terdedah selepas solat tetapi selepas senggang masa yang menerima kemungkinan aurat itu terdedah selepas solat, maka solatnya tetap sah, diqiaskan dengan kes najis.

Manakala dalam mazhab-mazhab, terdapat khilaf dalam bab ini. Kami rujuk al-Majmu’ pada menyebut khilaf tersebut:

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, jelas kepada kita bahawa mazhab al-Syafie menganggap aurat itu keseluruhannya perlu ditutup semasa solat, dan jika terdedah, sama ada sedikit atau banyak, wajib segera ditutup; jika tidak, maka batal solatnya. Justeru, jika terdedah rambut wanita walaupun sedikit tetap membatalkan solat. Inilah pendapat yang lebih berhati-hati dan keluar daripada khilaf.

Manakala pendapat Jumhur Ulama, bahawa rambut wanita yang sedikit jika terdedah tidak membatalkan solat. Kami cenderung kepada pendapat bahawa sekiranya bahagian yang terdedah aurat itu terlalu sedikit pada uruf maka tidak membatalkan solat jika tidak disengajakan, apatahlagi jika sukar untuk dielak. Kami berdalilkan dengan hadis Amr bin Salamah RA yang berkata:

وَكُنْتُ غُلَامًا حَافِظًا فَحَفِظْتُ مِنْ ذَلِكَ قُرْآنًا كَثِيرًا فَانْطَلَقَ أَبِي وَافِدًا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي نَفَرٍ مِنْ قَوْمِهِ فَعَلَّمَهُمُ الصَّلَاةَ فَقَالَ يَؤُمُّكُمْ أَقْرَؤُكُمْ وَكُنْتُ أَقْرَأَهُمْ لِمَا كُنْتُ أَحْفَظُ فَقَدَّمُونِي فَكُنْتُ أَؤُمُّهُمْ وَعَلَيَّ بُرْدَةٌ لِي صَغِيرَةٌ صَفْرَاءُ فَكُنْتُ إِذَا سَجَدْتُ تَكَشَّفَتْ عَنِّي فَقَالَتْ امْرَأَةٌ مِنَ النِّسَاءِ وَارُوا عَنَّا عَوْرَةَ قَارِئِكُمْ فَاشْتَرَوْا لِي قَمِيصًا عُمَانِيًّا فَمَا فَرِحْتُ بِشَيْءٍ بَعْدَ الْإِسْلَامِ فَرَحِي بِهِ فَكُنْتُ أَؤُمُّهُمْ وَأَنَا ابْنُ سَبْعِ سِنِينَ أَوْ ثَمَانِ سِنِينَ

Maksudnya: “Aku adalah seorang pemuda yang sangat kuat hafala dan aku telah menghafal banyak ayat-ayat al-Qur`an. Ayahku pernah datang menghadap Rasulullah ﷻ bersama beberapa orang sebagai utusan kaumnya, lalu baginda mengajarkan kepada mereka tentang solat. Baginda bersabda: “Yang berhak menjadi imam kalian adalah yang paling baik dalam membaca al-Qur`an di antara mereka.” Oleh kerana aku sudah dapat menghafalnya, lalu mereka mengajukan aku (untuk menjadi imam). Maka akupun menjadi imam mereka dengan memakai kain yang kecil berwarna kuning, sehingga kalau aku sujud terbuka auratku (sedikit), lalu salah seorang wanita dari mereka berkata: “Tutuplah dari kami aurat qori kalian.” Lalu mereka membelikan untukku baju buatan Oman, sehingga tidak pernah saya bahagia seperti masuk Islam seperti bahagiaku dengannya. Saya menjadi imam mereka sedangkan usia saya baru tujuh atau delapan tahun,”

Riwayat Abu Dawud (585) dan al-Bukhari (4302)

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman dan panduan kepada kita untuk beramal. Amin.