AL-KAFI #1217 : TIDAK SOLAT SECARA QASAR KETIKA MUSAFIR

AF 1217 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ada satu soalan. Bolehkah ketika musafir seorang melakukan solat secara tamam tanpa mengqasarkannya. Sebab setahu saya kalau musafir ni kena qasar. Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat qasar merupakan rukhsah yang diberikan ketika mana musafir. Ini berdasarkan kepada pertanyaan yang diajukan oleh Umar Bin Al-Khattab kepada Rasulullah SAW. Kata Ya’la Bin Umayyah kepada Umar R.A :

لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلاَةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا فَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ فَقَالَ عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتَ مِنْهُ فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ ذَلِكَ. فَقَالَ صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

Maksudnya :” Firman Allah SWT : Dan apabila kamu musafir di muka, maka kamu tidaklah berdosa ‘mengqasarkan’ (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya manusia telah berasa aman. Maka Umar berkata : Aku pun pernah hairan sebagaimana kamu lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan ayat tersebut. Rasulullah SAW bersabda :Ia adalah sedekah yang diberikan oleh Allah kepada kalian. Maka terimalah pemberiannya.”

Riwayat Muslim (1605)

Sheikh Muhsin Al-‘Abbad berkata : “ Maka harus bagi musafir untuk memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat dan juga menjamakkan di antara solat zohor dengan asar dan maghrib dengan isyak. Ini adalah sedekah yang diberikan kepada kita semua.” (Rujuk Syarh Sunan Abi Daud, 149/1)

Sheikh Dr Wahbah Al-Zuhaili ketika mengulas berkenaan hikmah diberikan rukhsah qasar dan jamak ialah menolak kepayahan yang ada ketika permusafiran dan memberi kemudahan untuk menunaikan kewajipan yang telah difardukan. (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu,2/319)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, tidak mengapa jika seseorang ingin melakukan solat secara tamam tanpa mengqasarkannya. Ini kerana ia adalah rukhsah yang diberikan pilihan sama ada mahu melakukannya ataupun tidak.

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa rukhsah yang diberikan oleh syara’ ada tiga jenis. Pertama, ialah rukhsah yang wajib dilakukan. Contohnya jika seseorang sedang mengunyah makanan kemudian tiada air yang boleh membantunya untuk menelan makanan tersebut melainkan ada arak maka wajib untuk dia gunakan bagi membolehkannya menelan makanan tersebut. Kedua, rukhsah yang lebih baik untuk ditinggalkan seperti menyapu di atas khuf. Ketiga, rukhsah yang harus untuk dilakukan seperti solat qasar.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/336).

Akan tetapi, lebih elok untuk dia mengqasarkan solat. Inilah pandangan majoriti ulama. Imam Al-Nawawi menyebut :

“Berkenaan isu sama ada mahu mengqasarkan solat atau melakukannya secara tamam, para ulama ada beberapa pandangan. Telah kami sebutkan bahawa mazhab kami (mazhab Al-Syafi’i) harus bagi seseorang untuk melakukan solat secara tamam atau mengqasarkannya. Akan tetapi, lebih baik untuk dia melakukan solat secara qasar. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh kebanyakan para sahabat seperti Uthman Bin ‘Affan, Sa’ad Bin Abi Waqas, Aisyah dan para sahabat yang lain.”

(Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab,4/337)

Kesimpulannya, ketika musafir seseorang diberikan pilihan sama ada mahu melakukan solat secara qasar ataupun tamam (sempurna). Akan tetapi, lebih elok untuk dia mengqasarkan solat tersebut. Ini kerana ia merupakan rukhsah dan hadiah daripada Allah SWT kepada umat ini bagi memudahkan mereka menunaikan ibadat yang telah diwajibkan.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama-Nya. Wallahu’alam