AL-KAFI #1306: HAD SEMPADAN LARANGAN BERNIAGA DI DALAM MASJID

 Screen Shot 2019 06 26 at 5.39.10 PM

SOALAN

Saya ingin bertanya kepada Mufti tentang isu berniaga di dalam masjid yang dilarang menurut syariat. Jadi di manakah had sempadan larangan tersebut sebagai panduan untuk para peniaga.

JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Yang pertama, dalam menjawab isu ini, perlu untuk kita jelaskan hukum melakukan jual-beli di dalam masjid. Masjid adalah rumah Allah SWT yang diamanahkan kepada hamba-hamba untuk dijadikan sebagai tempat untuk mengingati dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Hal ini selaras dengan firman-Nya:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّـهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ ﴿٣٦﴾ رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ ﴿٣٧

Maksudnya: (Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang (36). (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (37)

(Surah al-Nur: 36-37)

Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan mengapa disebutkan perniagaan secara khusus di dalam ayat, menyatakan bahawa perniagaan atau jual beli adalah benda yang terbesar yang akan melalaikan manusia daripada beribadat kepada Allah SWT. Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran (15/293).

Persoalan berkaitan jual beli di dalam masjid ini, juga disebut dengan jelas di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَبِيعُ أَوْ يَبْتَاعُ فِي الْمَسْجِدِ فَقُولُوا لاَ أَرْبَحَ اللَّهُ تِجَارَتَكَ

Maksudnya: Sekiranya kamu melihat seseorang yang menjual atau membeli di dalam Masjid, maka katakan padanya, “Allah tidak akan menguntungkan perniagaan kamu”

Riwayat al-Tirmizi (1321)

Imam al-Nawawi menyatakan pendapat yang paling sahih di sisi majoriti ulama’ hukum berjual beli di dalam masjid adalah makruh meskipun yang berjual beli itu orang yang sedang beriktikaf (yang tidak boleh keluar daripada masjid) melainkan di dalam keadaan yang mendesak. Lihat al-Majmu’ (6/ 529-532).

Yang kedua, dalam menyelesaikan isu ini semua pihak termasuk pengurusan masjid, penjual dan pembeli perlu memahami tentang had kawasan masjid yang dilarang untuk menjual beli.

Masjid ialah perkataan bahasa arab yang bermaksud rumah untuk solat, atau tempat sujud. Lihat al-Misbah al-Munir. Secara istilah pula, Imam Al-Zarkasyi mengatakan masjid ialah bangunan yang dibina untuk menunaikan solat di dalamnya kerana Allah SWT, beribadat kepada-Nya dengan ikhlas. Masjid juga adalah dikhususkan uruf pada tempat yang didirikan solat lima (5) waktu dan tidaklah termasuk musolla tempat berkumpul untuk solat-solat tertentu seperti solat sunat hari raya, istisqa’ dan selainnya. Tidak diberikan hukum masjid baginya seperti mana juga madrasah dan juga ribat. Lihat I’lam al-Saajid bi Ahkam al-Masaajid (26).

Secara umumnya, keseluruhan masjid itu adalah dilarang untuk dilakukan jual beli di dalam kawasannya melainkan perkara yang terdesak. Namun begitu, dalam meraikan pendapat-pendapat ulama’ berkaitan dengan masjid pada zaman ini, yang senibinanya berbeza serta mempunyai ruangan-ruangan tertentu yang digunakan untuk tujuan lain, perlu dilihat pendapat ulama’ yang membincangkan hal ini.

Antaranya, Syeikh Bin Baz[1] dalam menjawab persoalan berkaitan dengan hukum wanita haidh masuk ke ruangan yang bersambung dengan masjid tetapi bukan tempat solat, seperti pewakaf tanah masjid itu meniatkan ruangan yang bersambung untuk dijadikan kedai atau stor, maka ruangan tersebut tidak mengikut hukum-hukum yang berkaitan dengan masjid.

Selain itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah[2] dalam menjawab hukum wanita haidh menghadiri pengajian di ruangan-ruangan kelas yang bersambung dengan masjid turut membenarkan kerana ruangan itu tidak dianggap sebagai masjid tetapi hanyalah mulhaq ataupun bersambung dengan masjid.

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah yang disebutkan di atas, kami nyatakan bahawa secara asasnya keseluruhan masjid adalah dilarang untuk dilakukan urusan jual beli. Namun begitu, ruang-ruang yang didirikan asing daripada dewan solat utama, seperti kawasan tempat letak kereta, ruangan-ruangan yang dibina khas untuk tujuan lain adalah dibenarkan.

Walaubagaimanapun, kesemua perniagaan ini hendaklah dipastikan menghormati waktu solat sehingga tidak melalaikan para jemaah hingga dapat memastikan Jemaah tidak leka berjual beli sehingga tersasar dari tujuan asal datang ke masjid adalah untuk beribadat.

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah dalam mengamalkan syariat-Nya.

[1] https://binbaz.org.sa/fatwas/3857/%D8%AF%D8%AE%D9%88%D9%84-%D8%A7%D9%84%D8%AD%D8%A7%D9%89%D8%B6-%D9%84%D9%85%D8%A7-%D9%8A%D9%84%D8%AD%D9%82-%D8%A8%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B3%D8%AC%D8%AF

[2] http://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11398&LangID=1&MuftiType=0