AL-KAFI #1309: BOLEHKAH IMAM MENUNGGU MAKMUM DI DALAM SOLAT?

GAMBAR IMAM TUNGGU MAKMUM DALAM SOLAT

 

Soalan

Saya merupakan seorang imam di sebuah masjid di ibu kota. Bolehkah saya memanjangkan sedikit rukuk saya untuk menunggu makmum yang tiba lewat ke masjid supaya mereka memperolehi rakaat tersebut?

Jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Dalam solat berjemaah, jika seseorang itu sempat rukuk bersama imam, maka dia telah memperolehi rakaat tersebut walaupun dia hadir lewat dan masuk ke dalam solat ketika imam sedang rukuk. Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah telah berkata: “Jika seseorang itu sempat rukuk bersama imam dalam keadaan yang yakin sebelum imam bangun daripada rukuk, maka dia memperolehi rakaat tersebut.” Rujuk al-Iqna’ fi Halli Alfaazi Abi Syuja’ (1/170). Perkara ini adalah bersandarkan kepada sebuah hadith:

إِذَا جِئْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ وَنَحْنُ سُجُودٌ فَاسْجُدُوا وَلَا تَعُدُّوهَا شَيْئًا وَمَنْ أَدْرَكَ الرَّكعَةَ فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلاةَ

Maksudnya:Jika kamu tiba untuk menunaikan solat, dan kami sedang sujud, maka teruslah melakukan sujud dan tidak dikira daripadanya sesuatu. Sesiapa yang memperolehi satu rakaat, maka dia memperolehi solat tersebut”

Riwayat Abu Daud (893)

Sheikh Syamsul Haq Al-'Azim Al-Abadi Rahimahullah telah memberi komentar ke atas hadith ini dengan berkata: “Jumhur para ulama’ salaf dan khalaf berpendapat bahawa sesiapa yang sempat rukuk bersama imam, maka rakaat tersebut dikira tanpa meletakkan syarat wajib untuk menghabiskan bacaan surah al-Fatihah”. Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud (3/108).

Namun begitu, para ulama’ berbeza pandangan mengenai hukum imam menunggu makmum ketika rukuk bagi membolehkan makmum tersebut memperolehi rakaat tersebut kepada dua pandangan utama:

 

Pandangan Pertama: Makruh untuk imam menunggu ketika rukuk bagi membolehkan makmum masuk solat bersamanya. Ini adalah pandangan dalam mazhab Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam al-Auza’ie dan qaul qadim dalam mazhab Imam asy-Syafi’e.

Pengecualian diberikan jika dibimbangi berlakunya kemudaratan yang akan berlaku seperti jahilnya jemaah yang ditunggu tersebut sehingga dia menganggap telah memperolehi rakaat tersebut walaupun tidak sempat rukuk bersama imam. Maka, ketika itu dibolehkan untuk imam menunggu makmum masuk solat bersamanya ketika rukuk. Rujuk al-Syarh al-Kabir (1/323).

Perbuatan menunggu makmum di dalam solat adalah makruh kerana ia akan membebankan jemaah lain yang terpaksa menunggu jemaah tersebut. Di samping itu, perbuatan menunggunya seolah-olah melakukan perbuatan syirik dalam ibadah seperti riya’. Ini kerana imam telah melakukan satu perbuatan di dalam solat  yang disebabkan oleh makhluk, bukannya perbuatan tersebut dilakukan kerana Allah. Rujuk al-Mughni (2/173), Nail al-Author (3/165).

 

Pandangan kedua: Sunat untuk menunggu jemaah lain ketika rukuk, tetapi dengan beberapa syarat. Ini adalah pandangan dalam mazhab Imam asy-Syafi’e dan Imam Ahmad. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (4/230), Tuhfah al-Muhtaj (2/259), Syarh Muntaha al-Iradat (1/267), al-Mughni (2/173-174).

Imam an-Nawawi Rahimahullah telah berkata: “Yang sahih adalah sunat untuk imam menunggu makmum lain ketika rukuk dengan beberapa syarat, iaitu: jemaah yang ingin menyertai imam sudah berada di dalam masjid ketika mana imam menunggu (pada waktu rukuk), tidak menunggu dalam tempoh yang sangat lama sehingga melampaui batas, dan melakukan perkara tersebut dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah, bukannya kerana ingin memenangi hati orang yang akan masuk solat berjemaah dan untuk membezakannya dengan orang lain (seperti disebabkan kedudukannya yang tinggi)”. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (4/230).

Dalil kepada pandangan ini adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang diriwiyatkan daripada Anas bin Malik RA:

مَا صَلَّيْتُ وَرَاءَ إِمَامٍ قَطُّ أخَفَّ صَلَاةً، وَلَا أَتَمَّ مِنَ النَّبيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم، وَإِنْ كَانَ لَيَسْمَعُ بكاءَ الصَّبيِّ، فيُخَفِّفُ مَخَافَةَ أَنْ تُفْتَنَ أمُّهُ

Maksudnya: “Aku tidak pernah solat dibelakang imam yang lebih ringan dan lebih sempurna daripada solat di belakang Nabi SAW. Apabila Baginda mendengar suara bayi menangis, maka Baginda akan meringankan solat tersebut kerana dibimbangi akan menyusahkan ibunya”

Riwayat al-Bukhari (708) dan Muslim (469)

Hadith ini menunjukkan bahawasanya Nabi SAW merubah keadaan solat untuk maslahah individu tertentu, iaitu demi kebaikan ibu kepada bayi yang sedang menangis yang berkemungkinan terganggu apabila mendengar suara tangisan anaknya. Keadaan ini adalah sama seperti keadaan imam yang menunggu sebentar untuk membolehkan jemaah lain masuk solat menyertainya. Rujuk al-Syarh al-Mumti’ ‘ala Zad al-Mustaqni’ (4/198).

Dalil lain yang dijadikan hujah menegenai perkara ini adalah berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA:

لقَدْ كَانَتْ صَلاةُ الظُّهْرِ تُقامُ فَيَذْهَبُ الذّاهِبُ إلى البَقِيعِ فَيَقْضِي حَاجَتَهُ, ثُمَّ يَتَوَضَّأُ, ثُمَّ يَأْتي ورَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ في الرَّكْعَةِ الأُولَى ممَّا يُطَوِّلُها

Maksudnya: “Sesungguhnya solat zohor telah dimulakan, kemudian telah pergi salah seorang daripada kami ke Baqi’ untuk menunaikan hajatnya, kemudian dia berwudhuk. Selepas itu, dia kembali kepada Rasulullah SAW (yang menjadi imam solat Zohor) pada rakaat pertama yang telah dipanjangkannya”

Riwayat Muslim (454)

Imam asy-Syaukani Rahimahullah telah bekata: “Hadith telah menjadi dalil bagi mereka yang berpendapat bahawa disyariatkan untuk memanjangkan rakaat pertama bagi menunggu jemaah yang ingin solat bersama bagi memperolehi kelebihan berjemaah” Rujuk Nail al-Author (3/165).

 

Bagaimana pula jika imam memanjangkan sedikit tempoh duduk ketika tasyahud akhir bagi membolehkan makmum yang tiba lewat untuk solat berjemaah bersama-sama dengan imam?

Kami nukilkan kata-kata Imam an-Nawawai Rahimahullah bagi menjawab persoalan ini: “ (Keadaan Kedua)…Yang sahih adalah sunat untuk menunggu makmum ketika duduk tasyahud akhir dengan syarat-syarat terdahulu (jemaah yang ingin menyertai imam sudah berada di dalam masjid ketika mana imam menunggu (pada waktu duduk tasyahud akhir), tidak menunggu dalam tempoh yang sangat lama sehingga melampaui batas, dan melakukan perkara tersebut dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah, bukannya kerana ingin memenangi hati orang yang akan masuk solat berjemaah dan untuk membezakannya dengan orang lain (seperti disebabkan kedudukannya yang tinggi)”.  Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (4/230)

 

Kesimpulan

Kami berpandangan bahawa adalah disunatkan untuk imam menunggu makmum yang ingin solat berjemaah bersama-samanya, tetapi dengan beberapa syarat seperti yang telah ditetapkan oleh Imam an-Nawawi serta diperincikan lagi oleh Sheikh Muhammad Nawawi Al-Bantani Rahimahallah:

  1. Hendaklah waktu imam menunggu dalam solat adalah ketika rukuk atau ketika duduk tasyahud akhir sahaja
  2. Tidak ada kebimbangan terlepasnya waktu solat disebabkan perbuatan menunggu tersebut
  3. Makmum yang ditunggu sudah berada di tempat solat ketika imam sedang menunggunya
  4. Menunggu makmum yang lewat kerana Allah, bukan kerana sebab lain
  5. Tidak menunggu makmum yang lewat terlalu lama
  6. Tidak membezakan antara makmum yang ditunggu dengan makmum-makmum lain yang lewat sepertinya
  7. Mempunyai sangkaan bahawa makmum yang baru datang akan mengkutinya (imam)
  8. Mempunyai sangkaan bahawa makmum yang ditunggu memahami bahawa dia memperolehi rakaat tersebut jika sempat rukuk bersama imam
  9. Mempunyai sangkaan bahawa makmum yang ditunggu sempat melakukan takbiratul ihram dengan sempurna

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (4/230), Nihayah az-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in (hlm. 132)

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.