AL-KAFI #1320: PANDANGAN ULAMA BERKENAAN TAFSIR AL-MUHARRAR AL-WAJIZ

tafsir ibn atiyyah.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah pandangan ulama terhadap Tafsir al-Muharrar al-Wajiz oleh Ibn ‘Atiyyah?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Penulis kitab ini ialah Ibnu ‘Atiyyah, seorang hakim terkenal Andalus. Nama penuhnya ialah Abu Muhammad Abd al-Haq bin Ghalib bin Abd Malik bin Ghalib bin Tammam bin ‘Atiyyah al-Gharnati al-Andalusi. (Lihat Tabaqat al-Mufassirin oleh al-Suyuti, hlm. 50)

Terdapat dua pendapat berkenaan tahun kelahiran beliau. Pendapat pertama menyebut bahawa beliau lahir pada tahun 481 Hijrah. Manakala pendapat kedua pula menyatakan Ibnu ‘Atiyyah lahir pada 480 Hijrah dan ini merupakan pandangan Imam al-Zahabi dan juga Imam al-Suyuti. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 19/588 dan Tabaqat al-Mufassirin, hlm. 61)

Beliau membesar dalam lingkungan keluarga berilmu dan penuh keistimewaan. Beliau termasuk salah seorang pakar dalam fiqh yang menguasai pelbagai disiplin ilmu seperti ilmu hadith, tafsir, bahasa dan sastera.

Beliau banyak meriwayatkan daripada guru-gurunya dengan mempelajari ilmu, antaranya ayahnya sendiri – seorang yang hafiz, Abu Ali al-Fasani, al-Sodafi, Ibn Abdillah, Muhammad bin Faraj, Maula Ibn al-Tola’, Ibn Mutharrif, al-Sya’bi, Ibn Qasim bin Abi al-Khisal al-Maqburi, Abi al-Abbas Ahmad bin Uthman bin Makhul, Abi al-Qasim al-Hasan bin Umar al-Hauzani, Abi Bakar Abd al-Baqi bin Muhammad al-Hijazi, Ibn Nizar, Abi Muhammad Abd al-Wahid bin Isa al-Hamadani dan lain-lain.

 

Pujian Ulama Terhadapnya

Ramai ulama’ memuji kelebihan beliau. Antaranya:

 

Pandangan Ulama’ Terhadap Tafsir al-Muharrar

Antara pandangan ulama’ terhadap tafsir al-Muharrar al-Wajiz, adalah seperti disebut oleh Abu Hayyan dalam mukadimah tafsirnya ketika melakukan perbandingan antara tafsir Ibnu ‘Atiyyah dan al-Zamakhsyari. Beliau menyimpulkan bahawa tafsir Ibnu ‘Atiyyah lebih banyak menggunakan tafsir bi al-ma’thur. Kandungannya lebih padat dan murni manakala tafsir Zamakhsyari lebih ringkas dan dalam. Abu Hayyan turut memuji Ibn ‘Atiyyah sebagai penulis tafsir yang paling terkemuka. (Lihat al-Bahr al-Muhit fi al-Tafsir, 1/20)

Ibnu Taimiyyah pula menyebut: “Tafsir Ibnu ‘Atiyyyah dan yang sama dengannya adalah mengikuti mazhab Ahli Sunnah wa al-Jama’ah dan lebih selamat daripada perkara bid’ah dibandingkan dengan tafsir al-Kasysyaf. Andai kata Ibnu ‘Atiyyah mengemukakan pendapat-pendapat ulama salaf yang ada tentang tafsir bi al-ma’thur secara tepat, tentulah akan jauh lebih baik dan lebih indah lagi. (Lihat al-Muqaddimah fi Usul al-Tafsir, hlm. 23)

Ibnu Khaldun dalam al-Muqaddimah berkata: Sesungguhnya pengarang kitab tafsir ini (Ibn Atiyyah), telah meringkaskan dari semua tafsir terutamanya tafsir manqul dan telah memilih pendapat yang paling hampir kepada kebenaran. Kitab tafsir tersebut begitu masyhur di kalangan ahli Maghrib dan Andalus.

Syeikh Ibnu `Asyur telah memasukkan Tafsir Ibnu `Atiyyah di antara tafsir-tafsir terpenting yang menjadi rujukannya. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 1/7)

Alhamdulillah, kini Tafsir al-Muharrar ini telah ditahqiqkan oleh para ulama’ al-Majlisu al-Ilmi di kota Faz pada tahun 1992 Masihi bersamaan 1413 Hijrah yang jumlahnya sebanyak 16 jilid.

 

Kesimpulan

Berdasarkan pengamatan kami, tafsir ini tidaklah terkenal sebagaimana Tafsir Ibn Kathir, al-Qurtubi, al-Tabari dan lain-lain. Ini kerana ia berada dalam bentuk makhtutat (manuskrip) dalam tempoh yang amat lama.

Alhamdulillah, dengan terbitnya al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-Aziz oleh al-Qadhi Abi Muhammad Abd al-Haq bin Ghalib bin Atiyyah al-Andalusi yang telah ditahqiqkan, maka ianya mula beredar dalam kalangan pencinta ilmu tafsir di mana sebelum ini, mereka hanya membaca kenyataan Ibn Atiyyah daripada nukilan ulama’ mufassirin.

Justeru, alangkah baiknya kita merujuk kepada tafsir ini kerana keilmuan dan kepakarannya amat terserlah dan beliau mempunyai cukup syarat sebagai mufassir dengan pengetahuan dan makrifah sama ada al-Quran dan Hadith, begitu juga dengan ilmu-ilmu lain terutamanya ilmu bahasa Arab, Adab, Balaghah dan lain-lain. Oleh itu, tidak hairanlah tafsir ini mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding dengan tafsir-tafsir yang lain.

Semoga Allah merahmati Ibn Atiyyah hasil dari sumbangan ilmunya termasuk tafsirnya yang banyak memberi manfaat kepada ummah. Amin.