AL-KAFI #1558: HUKUM MEWARISI HARTA HARAM

alkafi1558

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan kepada Datuk Mufti berkenaan perwarisan harta. Ayah saya baru sahaja meninggal dunia dan meninggalkan kepada kami para warisnya sejumlah harta yang banyak. Namun, kami tidak pasti sama ada harta tersebut adalah halal ataupun haram kerana kami mengetahui bahawa ayah kami ada bermain judi sebelum ini. Jadi adakah kami boleh mewarisi harta tersebut? Jika haram, bagaimanakah cara untuk keluar daripadanya? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W:

«أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا تَرَكَتِ الفَرَائِضُ فَلِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ»

Maksudnya: Bahagikanlah harta warisan itu kepada orang-orang yang berhak ke atasnya, dan berikan bakinya kepada orang laki-laki yang terdekat”.

Riwayat al-Bukhari (6746), Muslim (1615)

Hadith di atas menjadi dalil kepada berlakunya perwarisan harta seseorang kepada para warisnya yang berhak. Imam al-Nawawi berkata di dalam kitabnya bahawa ayat ini menunjukkan bahawa suruhan untuk membahagikan harta peninggalan kepada para warisnya yang berhak berpandukan pada kitab Allah S.W.T iaitu al-Quran. Dan lebihan harta tersebut perlulah diberikan kepada lelaki yang terutama, dan ulama’ berkata bahawa ia bermaksud diberikan kepada lelaki yang terdekat. [Lihat: Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim; 11/53].

Dan perlu diketahui di sini, yang dimaksudkan dengan harta peninggalan ialah setiap apa yang ditinggalkan si mati sama ada dalam bentuk harta seperti rumah, tanah, duit, atau dalam bentuk hak, atau dalam bentuk manfaat seperti sewaan, pinjaman dan sebagainya. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/344-345].

Berbalik kepada persoalan yang diajukan mengenai status perwarisan harta yang haram, maka di sini ulama’ ada membahaskan dengan lebih jelas berkenaan dengannya.

Imam al-Nawawi berkata di dalam kitabnya:

مَنْ وَرِثَ مَالًا وَلَمْ يَعْلَمْ مِنْ أَيْنَ كَسَبَهُ مُوَرِّثُهُ أَمِنْ حَلَالٍ أَمْ حَرَامٍ وَلَمْ تَكُنْ عَلَامَةً فَهُوَ حَلَالٌ بِإِجْمَاعِ الْعُلَمَاءِ فَإِنْ عَلِمَ أَنَّ فِيهِ حَرَامًا وَشَكَّ فِي قَدْرِهِ أَخْرَجَ قَدْرَ الْحَرَامِ بِالِاجْتِهَادِ

Maksudnya: “Sesiapa yang mewarisi harta dan dia tidak mengetahui sumber harta bagi si mati tersebut sama ada dari sumber yang halal ataupun yang haram dan tiada sebarang tanda atau petunjuk berkenaannya maka harta tersebut halal untuk diwarisi mengikut ijma’ ulama’. Dan jika sekiranya dia (waris) mengetahui bahawa pada harta tersebut terdapat bahagian yang haram dan syak pada kadar bilangannya, maka perlulah bagi waris untuk mengeluarkan kadar haram tersebut berdasarkan ijtihad”.

[Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 9/351]

Imam al-Nawawi menambah lagi mengenai cara melepaskan diri dari harta yang haram:

قَالَ الْغَزَالِيُّ إذَا كَانَ مَعَهُ مَالٌ حَرَامٌ وَأَرَادَ التَّوْبَةَ وَالْبَرَاءَةَ مِنْهُ فَإِنْ كَانَ لَهُ مَالِكٌ مُعَيَّنٌ وَجَبَ صَرْفُهُ إلَيْهِ أَوْ إلَى وَكِيلِهِ فَإِنْ كَانَ مَيِّتًا وَجَبَ دَفْعُهُ إلَى وَارِثِهِ وَإِنْ كَانَ لِمَالِكٍ لَا يَعْرِفُهُ وَيَئِسَ مِنْ مَعْرِفَتِهِ فَيَنْبَغِي أَنْ يَصْرِفَهُ فِي مَصَالِحِ الْمُسْلِمِينَ الْعَامَّةِ كَالْقَنَاطِرِ وَالرُّبُطِ وَالْمَسَاجِدِ وَمَصَالِحِ طَرِيقِ مَكَّةَ وَنَحْوِ ذَلِكَ مِمَّا يَشْتَرِكُ الْمُسْلِمُونَ فِيهِ وَإِلَّا فَيَتَصَدَّقُ بِهِ عَلَى فَقِيرٍ أَوْ فُقَرَاءَ

Maksudnya: Imam al-Ghazali berkata sekiranya bersamanya ada harta yang haram dan dia ingin berlepas diri daripadanya, maka jika wujud pemilik asal bagi harta tersebut wajib ke atasnya untuk memulangkan harta itu pada pemiliknya yang asal atau kepada wakilnya. Atau sekiranya pemilik tersebut telah mati, maka wajib untuk menyerahkannya kepada para warisnya. Dan jika tidak diketahui siapa pemilik asal harta tersebut, maka hendaklah dia menginfakkannya untuk kepentingan umum orang Muslim seperti jambatan, banteng pertahanan, masjid dan kepentingan jalan raya dan sebagainya, ataupun jika tidak hendaklah disedekahkannya kepada fakir dan miskin.

[Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 9/351]

Menurut Fatwa al-Lajnah al-Da’imah berkenaan hal ini, mereka berkata bahawa sekiranya harta peninggalan tersebut kesemuanya bersumberkan sumber yang haram maka tidak boleh bagi sesiapa waris pun untuk mengambil sesuatu daripadanya, dan ke atas mereka semua kewajipan untuk memulangkan semula harta (diambil secara zalim) kepada pemiliknya yang asal jika ia mudah, namun jika tidak mampu maka perlulah diinfakkan harta yang haram tersebut atas dasar kebaikan dengan meniatkan pahalanya buat orang yang berhak (pemilik harta itu).

[Lihat: Majmu’ al-Fatawa; 29/307]

Menurut Dar al-Ifta’ Jordan dalam hal ini, mereka berkata bahawa harta yang sememangnya haram tidak boleh diwarisi, dan tidak pula berpindah hartanya yang haram itu dari pemiliknya (harta haram) kepada warisnya. Ini kerana perwarisan tidak menghalalkan yang haram. Bahkan wajib untuk kita berlepas daripadanya dan menjauhkannya. Perkara ini turut disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ ‘Ulum al-Din (2/130).

Penutup

Kesimpulannya, tidak boleh bagi seseorang itu mewarisi harta haram dari seseorang. Dan wajib ke atasnya untuk memulangkan harta tersebut kepada pemiliknya yang asal jika didapati. Manakala bagi kes harta haram disebabkan judi, maka kami katakan jika diketahui kadar harta haram tersebut, hendaklah diinfakkan kepada kepentingan umum orang Islam atau disedekahkan kepada fakir miskin, namun jika tidak diketahui, maka hendaklah berijtihad padanya. Akhir kalam, kami menasihati orang ramai agar mengelakkan dan menghindarkan diri daripada terjebak kepada memperolehi harta secara haram. Moga-moga Allah S.W.T memelihara diri kita dengan rezeki yang halal lagi bersih, memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya dan memberkati segala amal kebajikan kita.

Wallahua’alam.