AL-KAFI #1623: HUKUM WASIAT MELARANG SEBAHAGIAN ANAK DARIPADA PERWARISAN

alkafi1623

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Datuk Mufti. Soalan saya begini, apakah hukumnya bagi seorang bapa memberikan wasiat kepada anak-anaknya agar tidak diberikan harta perwarisannya kepada salah seorang anaknya yang lain? Adakah anak tersebut tidak boleh menjadi waris? Mohon pencerahan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا ﴿٧

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

Surah al-Nisa’ (7)

Dan firman Allah S.W.T:

يُوصِيكُمُ اللَّـهُ فِي أَوْلَادِكُمْۖ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِۚ فَإِن كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَۖ وَإِن كَانَتْ وَاحِدَةً فَلَهَا النِّصْفُۚ وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُ وَلَدٌۚ فَإِن لَّمْ يَكُن لَّهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُۚ فَإِن كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُۚ مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍۗ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًاۚ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا ﴿١١

Maksudnya: Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Surah al-Nisa’ (11)

Kedua-dua ayat di atas dengan jelas menunjukkan pensyariatan perwarisan terhadap harta peninggalan seseorang. Apabila meninggalnya seseorang, hartanya wajib diberikan kepada para warisnya yang berhak mengikut bahagian-bahagian yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan juga al-Sunnah. Maka, ia sudah ternyata bahawa perwarisan harta merupakan satu kewajipan, dan mesti dilakukan. Perkara ini banyak tertulis di dalam kitab-kitab Fiqh dari sudut kewajipan ke atas harta si mati. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa kewajipan yang akhir sekali bagi harta peninggalan si mati adalah dengan mengagihkannya kepada para warisnya yang berhak. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 16/53]. Justeru itu, barangsiapa yang mengingkarinya atau menafikannya, maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa besar yakni kerana dia telah mengingkari suruhan Allah S.W.T. Ini kerana, Allah S.W.T telah berfirman pada dua ayat selepasnya, bahawa ini merupakan ketetapan dan juga syariat Allah S.W.T. FirmanNya:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ

Maksudnya: Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah.

Surah al-Nisa’ (13)

Imam al-Baghawi mentakrifkan kalimah “hudud” pada ayat ini iaitu apa yang disebut di dalam ayat perwarisan. [Lihat: Tafsir al-Baghawi; 2/180]. Imam al-Baidhowi pula berkata makna تلك di situ ialah isyarat kepada hukum-hukum yang sebelumnya iaitu dalam hal anak-anak yatim, wasiat dan juga perwarisan. [Lihat: Tafsir al-Baidhowi; 2/64]. Oleh itu, berbalik kepada persoalan di atas, perbuatan seorang bapa yang menafikan hak perwarisan bagi seorang anak ataupun menafikan hak perwarisan seseorang adalah haram dan dikira berdosa besar. Malah, ini dikuatkan lagi dengan firman Allah S.W.T:

وَمَن يَعْصِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Maksudnya: Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.

Surah al-Nisa’ (14)

Imam al-Qurtubi menafsirkan ayat ini dengan makna mereka ini adalah orang yang ketikamana pembahagian harta namun dia mengingkarinya atau tidak mahu beramal dengannya atau membahagikan harta si mati berlawanan atau bertentangan dengan apa yang disuruh oleh Allah S.W.T. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 5/82]. Imam Ibn Kathir turut mentafsirkan hal yang sama pada ayat ini. [LIhat: Tafsir Ibn Kathir; 2/232]. Begitu juga Syeikh al-Maraghi di dalam kitabnya Tafsir al-Maraghi (4/202-203).

Sehubungan dengan itu, barangsiapa yang menghalang atau menafikan perwarisan harta bagi seorang waris yang berhak seperti anak kandungnya, atau memberikan bahagian mereka kurang daripada yang asal untuk mereka atau menambah bahagian seseorang melebihi bahagian asal yang patut diterimanya atau juga memasukkan orang lain yang bukan waris sebagai salah seorang penerima harta warisannya, maka dia dikira berdosa besar.

Di samping itu juga, pada dasarnya tiada wasiat kepada waris kerana waris mempunyai hak mereka yang tersendiri dalam perwarisan. Ini kerana sabda Nabi Muhammad S.A.W:

«إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى قَدْ أَعْطَى لِكُلِّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ، فَلَا وَصِيَّةَ لِوَارِثٍ»

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah S.W.T telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris”

Riwayat al-Tirmizi (2120)

Maka, berdasarkan hadith ini, jelaslah tidak boleh mewasiatkan harta peninggalan kepada waris, namun ada beberapa keadaan yang mengecualikannya. Perkara ini ada dibahas dengan lebih lanjut dan mendalam melalui artikel kami yang bertajuk AL-KAFI #1225: HUKUM MEWASIATKAN SEBAHAGIAN HARTA KEPADA ANAK.

Penutup

Kesimpulannya, hukum bagi seorang ayah menafikan hak faraid salah seorang warisnya yang berhak terutamanya anaknya sendiri adalah haram dan dikira berdosa besar. Kami menasihati orang ramai agar berkelakuan adil dan taat kepada perintah Allah S.W.T dan RasulNya dalam hal membahagikan harta kepada para warisnya yang berhak. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya, meletakkan keikhlasan dan menetapkan keimanan dalam diri kita serta memberkati segala amal perbuatan kita.

Wallahua’lam.