AL-KAFI #1639: APAKAH YANG DIMAKSUDKAN AL-HAKIM DI DALAM SURAH LUQMAN DAN YASIN

ak1639 

Soalan

Assalamualaikum Dato Mufti. Boleh terangkan berkenaan dengan apakah yang dimaksudkan dengan al-Hakim iaitu kebijaksanaan yang terdapat di dalam al-Quran khususnya surah Yasin dan Luqman. Mohon pencerahan Dato Mufti berkenaan dengannya.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Terdapat pelbagai makna yang dimaksudkan dengan kalimah al-Hakim, berbalik kepada persoalan di atas, ianya lebih tertumpu kepada sifat Allah SWT yang al-Hakim iaitu maha bijaksana dan sifat bagi al-Quran penuh dengan hikmah.

Oleh itu kami datangkan beberapa definisi menurut ulama tafsir bagi memahami dengan lebih terperinci.

Imam Ibnu Kathir menyebut, (الْحَكِيمُ) dari segi perbuatan dan percakapan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya dari segi hikmahnya dan keadilannya. (Lihat, Tafsir Ibnu Kathir, 1/445)

Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi menyebut al-Hakim merupakan salah satu daripada nama-nama Allah SWT al-Hikmah adalah daripada sifat Allah SWT yang mulia. Hukum syariah diambil dan dibina dengan penuh al-Hikmah (bijaksana). Rasul SAW diutuskan dengan membawa al-Kitab dan al-Hikmah (al-Quran). Dan al-Hikmah merupakan Sunnah Rasul SAW. Selain itu, terdapat athar menyebut, “al-Hikmah merupakan perkara yang hilang daripada kaum mukmin”. (Lihat Tariq al-Hijratain wa Bab al-Sa’adatain, 1/93)

Syeikh al-Sa’di menyebut al-Hakim bagi Allah SWT ialah terkandung baginya al-Hikmah (kebijaksanaan) yang tinggi di dalam sesuatu penciptaan dan sesuatu perkara yang menjadikannya terbaik. Dengan sifat al-Hakim, Allah SWT tidak diciptakan sesuatu itu secara sia-sia. Tidak disyariatkan sesuatu yang tidak berfaedah dan terdapat padanya hukum dari permulaan dan pengakhirannya. Al-Hakim merupakan sifat Allah SWT yang sempurna. Ia juga meletakkan sesuatu pada tempatnya. (Lihat Tafsir Asma’ Allah al-Husna, 1/186)

Al-Hakim di Dalam Surah Luqman dan Surah Yasin Ayat ke 2

Di dalam surah Luqman terdapat tiga ayat yang mengandungi perkataan (الْحَكِيمِ) manakala di dalam surah Yasin terdapat satu ayat masing-masing mengandungi maknanya yang tersendiri.

Dalam hal ini, ayat kedua dari surah Luqman dan ayat kedua surah Yasin mempunyai maksud yang sama iaitu Allah SWT menjelaskan sifat bagi al-Quran al-Karim yang merupakan kalam Allah yang penuh hikmah dan kebenaran serta tiada kecacatan padanya. Firman Allah:

تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْحَكِيمِ

Maksudnya: Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,

(Surah Luqman, 2)

Imam Qurtubi menyatakan al-Hakim yang dimaksudkan ayat di atas ialah tiada sebarang kecacatan padanya (al-Quran). (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 14/50)

Dr. Wahbah Zuhaili menyebut (الْحَكِيمِ) iaitu ayat ini adalah ayat al-Quran yang disifatkan dengan al-Hikmah iaitu daripada (ذي الحكمة) empunya hikmah iaitu Allah SWT yang tidak terdapat padanya cacat cela, tiada kerosakan bahasa dan tiada perselisihan padanya. (Lihat Tafsir al-Munir, 21/128)

Begitu juga al-Hakim di dalam surah Yasin memberi maksud yang sama dengan ayat di atas. Firman Allah SWT:

وَالْقُرْآنِ الْحَكِيمِ

Maksudnya: Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh

(Surah Yasin, 2)

Imam al-Qurtubi menyebut al-Hakim bermaksud sehingga tidak terdapat padanya sesuatu yang batil dan kecacatan. Ia juga disebut (أحكمت آياته) bermaksud ayatnya yang tersusun dan tetap teguh (sempurna). Begitu juga kesempurnaan susunannya, maknanya tidak ada kecacatan padanya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 15/5)

Justeru, kami simpulkan al-Hakim pada dua ayat di atas bermaksud hikmah, kebenaran dan kesempurnaan sifat ayat di dalam al-Quran yang tiada kecacatan dan ianya tersusun cantik dari segi makna dan bahasa serta memberi penjelasan kepada seluruh umat kerana ia merupakan kalam Allah SWT.

Al-Hakim di Dalam Surah Luqman Ayat 9 dan 27

Dalam surah Luqman terdapat ayat yang lain yang menceritakan perihal kalimah (الْحَكِيمِ) dan ia memberi maksud sifat Allah SWT yang maha bijaksana. Firman Allah SWT:

خَالِدِينَ فِيهَا ۖ وَعْدَ اللَّـهِ حَقًّا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: kekalan mereka di dalamnya. Demikian dijanjikan Allah - janji yang tetap benar; dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(Surah Luqman, 9)

Imam al-Qurtubi menyebut al-Hakim adalah sifat daripada perbuatan yang dilakukan oleh sesuatu kepada sesuatu. Imam Qurtubi menuqilkan pandangan Ibnu al-Anbari menyebut, menurut sesuatu kaum, (الحكيم) iaitu larangan daripada melakukan kerosakan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/288)

Syeikh al-Maraghi menyatakan al-Hakim di dalam ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT maha bijaksana dalam mentadbir sekelian makhluk-Nya tidak dilakukan sesuatu melainkan terdapat padanya hikmah dan kepentingan bagi sekelian makhluknya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 21/76)

Begitu Juga Firman Allah SWT:

 وَلَوْ أَنَّمَا فِي الْأَرْضِ مِن شَجَرَةٍ أَقْلَامٌ وَالْبَحْرُ يَمُدُّهُ مِن بَعْدِهِ سَبْعَةُ أَبْحُرٍ مَّا نَفِدَتْ كَلِمَاتُ اللَّـهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(Surah Luqman, 27)

Syeikh al-Maraghi menyebut bahawa sesungguhnya Allah SWT dengan kemuliaan-Nya di atas sesuatu serta menguasainya. Tiada sesiapa yang dapat menghalang dengan apa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah SWT bersifat al-Hakim (maha bijaksana) pada penciptaan-Nya, perintah-Nya, firman-Nya dan perbuatan-Nya (balasan dan ganjaran). (Lihat Tafsir al-Maraghi, 21/94)

Dr Wahbah Zuhaili menyebut, al-Hakim iaitu kebijaksanaan Allah SWT pada penciptaan-Nya. Setiap sesuatu tidak dapat lari daripada perbuatan dan hikmah-Nya yang maha sempurna kekuasaan-Nya. Dan ilmu pengetahuan Allah SWT tidak ada pengakhirannya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 21/170)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan dan pandangan para ulama tafsir, dapat kami simpulkan bahawa tafsiran al-Hakim mempunyai pelbagai maksud. Justeru pada artikel ini ianya tertumpu kepada kalimat al-hakim yang terdapat pada surah Luqman dan Yasin. Tuntasnya al-Hakim pada ayat di atas bermaksud:

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.