AL-KAFI #1641 : ISU SOLAT DHUHA 8 RAKAAT SECARA TERPISAH

AK1641

Soalan :

Assalamu’alaikum S.S Mufti, jika saya nak buat solat dhuha sebanyak 8 rakaat, adakah ia perlu dilakukan secara berturut-turut, atau boleh dipisahkan selama mana masih ada waktu ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat dhuha merupakan salah satu dari solat nafilah (sunat) yang dituntut. Terdapat banyak nas yang menyebutkan akan kelebihan dan kepentingan solat ini. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata :

 أَوْصَانِي خَلِيلِي صلى الله عليه وسلم بِثَلاَثٍ بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَىِ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ

Maksudnya : Kekasihku telah berpesan kepadaku terhadap tiga perkara. (Iaitu) berpuasa sebanyak tiga hari dalam sebulan, dua rakaat solat dhuha, dan supaya aku melakukan solat witir sebelum aku tidur.

Riwayat Muslim (721)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa solat dhuha ini dituntut oleh Rasulullah S.A.W. Dua rakaat solat dhuha yang disebutkan di dalam hadis ini menjelaskan berkenaan bilangan rakaat paling ringkas bagi solat dhuha. Meskipun begitu, ia tidaklah terhad kepada dua rakaat sahaja, bahkan para fuqaha al-Syafi’eyyah menjelaskan bahawa bilangan rakaat paling afdhal bagi solat dhuha adalah sebanyak 8 rakaat manakala bilangan rakaat paling maksima adalah sebanyak 12 rakaat seperti yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi.

Kami juga mengongsikan kenyataan Imam Al-Nawawi yang berkata : Sesungguhnya Nabi S.A.W melakukan solat dhuha ini pada sebahagian waktu dan baginda meninggalkannya pada sebahagian waktu yang lain, takut-takut orang ramai menyangka ia sebagai wajib atau takut-takut ia difardhukan ke atas mereka. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/37).

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, apabila kita menyatakan bahawa bilangan rakaat paling afdhal bagi solat dhuha adalah sebanyak 8 rakaat, maka ini diambil berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ bin Abi Thalib R.Anha beliau berkata :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ الْفَتْحِ صَلَّى سُبْحَةَ الضُّحَى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ يُسَلِّمُ مِنْ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melaksanakan solat dhuha pada hari Fathu Makkah (pembukaan kota Makkah) sebanyak lapan rakaat yang mana baginda memberi salam setiap kali selepas dua rakaat.

Riwayat Abu Daud (1290)

Imam Al-Nawawi berkata : Para ashab kami dan jumhur ulama berdalilkan dengan hadis ini dalam menyatakan istihbab (galakan) melakukan solat dhuha sebanyak lapan rakaat. Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (5/233).

Meskipun begitu, persoalan yang timbul adalah sama ada ia perlu dilakukan secara berturut-turut dalam maksud secara tatabu’ التتابع ? Maka kami katakan bahawa zahir daripada hadis Ummu Hani’ di atas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W melakukan lapan rakaat solat dhuha tersebut secara bersambungan dan ia dipisahkan dengan salam bagi setiap dua rakaat. Meskipun begitu, para ulama menjelaskan bahawa tidaklah disyaratkan tatabu’ sekiranya seseorang itu mengerjakan solat dhuha yang melebihi dua rakaat bahkan ia boleh dilakukan selama masih di dalam tempoh waktunya.

Penutup

Sebagai kesimpulan, setelah kami menekuni beberapa nas dan hujahan di atas maka kami menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu melakukan lapan rakaat solat dhuha ini pada waktu yang berbeza namun masih berada dalam tempoh masa solat dhuha maka ia adalah dibolehkan. Namun perbuatan ini dianggap sebagai khilaf al-awla (menyelisihi yang lebih utama) kerana petunjuk Nabi S.A.W yang diambil daripada beberapa riwayat menggambarkan bahawa baginda solat pada waktu yang sama, dan tidak dipisahkan dalam tempoh yang panjang antara keduanya.

Akhir kalam kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.