AL-KAFI #1670 : PERLUKAH MENYEMBELIH BELALANG DAN BOLEHKAH IA DIMAKAN HIDUP-HIDUP?

al Kafi 1670

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Perlukah kita menyembelih belalang dan adakah ia boleh dimakan secara hidup-hidup? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :

أُحِلَّتْ لَنَا مَيْتَتَانِ الْحُوتُ وَالْجَرَادُ

Maksudnya : “Dihalalkan buat kita dua jenis bangkai iaitu ikan dan belalang.”

Riwayat Ibn Majah (3218)

Hadis ini menunjukkan bahawa belalang termasuk dalam haiwan yang mana bangkainya adalah suci lagi halal meskipun tidak melalui proses penyembelihan. Hal ini kerana ia adalah haiwan yang mustahil untuk disembelih, maka syarat sembelihan itu gugur. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/72 dan Mughni al-Muhtaj, 6/98-99)

Definisi belalang dan habitatnya

Secara ringkasnnya, belalang ialah serangga yang boleh melompat kira-kira sejauh 20 kali panjang badannya. Belalang sama ada bertanduk pendek, dengan sesungut pendek atau bertanduk panjang, dengan sesungut panjang. Badan belalang mempunyai tiga bahagian utama iaitu; (1) kepala, (2) toraks dan (3) abdomen. Kulit keras yang dikenali sebagai eksoskeleton menutupi badannya. Ia mempunyai lima mata. Mata majmuk yang besar, terdiri daripada beribu-ribu kanta tunggal, terletak di kedua-dua belah kepala. Dengan mata ini, ia boleh melihat ke depan, ke sisi dan ke belakang. Ia mempunyai enam kaki dan kebanyakannya mempunyai dua pasang sayap. Sesetengah spesies mempunyai sayap yang pendek dan tidak berguna, dan yang lain tidak bersayap langsung. Belalang hidup di kebanyakan bahagian di dunia kecuali dekat Kutub Utara dan Selatan. Banyak belalang hidup di padang dan padang rumput yang terdapat banyak daun untuk dimakan. Antara spesies belalang yang ada ialah belalang kunyit, belalang lubber, Katydid, belalang juta dan lain-lain. (Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP, 3/392-396)

Persoalan mengenai hukum memakan belalang telah kami bahas secara panjang lebar di dalam ruangan al-Kafi li al-Fatawi Siri ke-963 :  Hukum Memakan Belalang.[1]

Hukum menyembelih belalang

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, para ulama telah berbeza pandangan mengenai perkara ini kepada dua pendapat :

Pendapat pertama, belalang halal dimakan sama ada ia disembelih (dimatikan) atau mati dengan sendirinya. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa belalang bangkainya adalah halal (dimakan), tidak kira sama ada matinya dengan sebab (ia dimatikan) atau mati dengan sendirinya. Juga tidak disyaratkan untuk memotong kepalanya. Ini adalah merupakan pendapat mazhab Imam Syafie, Abu Hanifah, Ahmad dan kebanyakan ulama. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/74)

Ibn Battal telah menukilkan bahawa ulama-ulama dari Kufah mengatakan belalang (halal) dimakan walau bagaimana cara pun ia mati. Ini adalah merupakan pendapat Imam Syafie. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 5/402) Terdapat riwayat daripada Ibn ‘Abbas yang mengatakan bahawa :

كان عمر يأكل الجراد، ويقول: لَا بَأْسَ بِهِ؛ لِأَنَّهُ لَا يُذْبَحُ

Maksudnya : “Saidina Umar pernah memakan belalang dan mengatakan bahawa tidak mengapa (memakannya) kerana ia tidak disembelih.” Riwayat Abd al-Razzaq di dalam Musannafnya (8758)

Manakala pendapat kedua, Imam Malik berpendapat tidak halal memakan belalang melainkan setelah ia mati dengan sebab (ia dimatikan) sama ada dengan dipotong sebahagiannya atau direbus atau dipanggang atau digoreng ketika masih lagi hidup sekalipun tidak dicabut kepalanya. Akan tetapi sekiranya ia mati dengan sendirinya, ia tidak (halal) dimakan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/74 dan Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, 5/402)

Hal ini kerana menurut mazhab Imam Malik belalang termasuk dalam haiwan buruan darat. Oleh itu, tidak halal memakannya melainkan setelah disembelih. Al-Abhari mengatakan bahawa belalang termasuk dalam haiwan buruan darat kerana orang yang berihram dilarang memburunya. Justeru, ia berhajat kepada sembelihan bagi menghalalkannya. Namun,  cara menyembelihnya adalah dengan apa sahaja cara yang mudah (bagi mematikannya) kerana ia tidak ada leher, mahupun lubbah (sekitar pangkal leher). (Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, 5/402-403)

Memakan belalang hidup-hidup

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa menurut pendapat yang paling sahih, halal menelan atau memakan belalang ketika masih lagi hidup. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/38) Ibn Qudamah menyebutkan bahawa diharuskan untuk memakan belalang serta apa yang ada di dalamnya (perutnya). Oleh itu, harus menggorengnya tanpa perlu dikeluarkan isi perutnya (bersihkannya). Dan makruh hukumnya sekiranya ia dimakan atau ditelan ketika masih lagi hidup kerana perbuatan tersebut menyakitinya (menyeksanya). (Lihat al-Mughni, 9/395)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa belalang adalah halal dimakan, tidak kira sama ada matinya dengan sebab (ia dimatikan) atau mati dengan sendirinya. Juga tidak disyaratkan kepadanya sebarang sembelihan sebagaimana pendapat jumhur ulama.

Manakala memakannya atau menelannya secara hidup-hidup hukumnya adalah makruh kerana kemungkinan perbuatan tersebut menyakiti dan menyeksanya. Sebagai seorang Muslim kita dituntut agar berlaku ihsan sekalipun kepada haiwan yang hendak dimakan. Oleh itu, adalah lebih baik ia dimatikan terlebih dahulu sebelum dimasak atau dimakan.

Akhir kalam, kami berdoa agar Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

[1] Lihat https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2884-al-kafi-963-hukum-memakan-belalang.