AL-KAFI #1696 : PERLUKAH MEMBACA SECARA KUAT JIKA SOLAT SENDIRIAN

KAFI 1696

Soalan:

Perlukah seorang yang solat sendirian untuk menyaringkan atau menguatkan bacaan ketika solat jahar?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Telah tsabit akan sunatnya hukum menyaringkan bacaan al-Fatihah dan surah pada tempatnya (sunat hai’ah), iaitu solat Subuh, dua rakaat pertama solat Maghrib dan Isya, solat Juma’at serta solat dua hari Raya. Adapun selain solat-solat ini, tidak disunatkan untuk menguatkan bacaan. (Rujuk Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib, hlm. 1/81 dan Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj 1/493)

Maksud menyaringkan bacaan dan memperlahankannya ialah sepertimana yang ditakrifkan oleh para fuqaha’:

حَدُّ الْجَهْرِ أَنْ يُسْمِعَ مَنْ يَلِيهِ وَحَدُّ الْإِسْرَارِ أَنْ يُسْمِعَ نَفْسَهُ

Maksudnya: Had bacaan secara jahar (kuat) ialah dengan memperdengarkan bacaan kepada orang disebelahnya, dan had bacaan secara israr (perlahan) adalah dengan memperdengarkan bacaan kepada dirinya sendiri. (Rujuk Ghayah al-Bayan Syarh Zubad ibn Ruslan 1/96; Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib 2/219 dan Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib 2/64)

 

Perlukah membaca kuat jika solat sendirian?

Menurut Imam Muhyiddin al-Nawawi, disunatkan juga untuk menyaringkan atau menguatkan bacaan bagi seorang yang solat sendirian ketika solat-solat jahar menggunakan qaedah qiyas terhadap sunatnya untuk imam berbuat demikian. Menurut beliau inilah juga pandangan jumhur ulama. Beliau turut menukilkan pandangan al-‘Abdari bahawa ini pandangan seluruh mazhab kecuali Imam Abu Hanifah yang berpendapat hukumnya sama sahaja sama ada membaca dengan kuat atau perlahan ketika solat sendirian.

Hujah Imam al-Nawawi adalah seorang yang solat sendirian sama halnya seperti imam, di mana dia perlu membaca kuat untuk mentadabbur ayat-ayat yang dibaca.

أَنَّ الْمُنْفَرِدَ كَالْإِمَامِ فِي الْحَاجَةِ إلَى الْجَهْرِ لِلتَّدَبُّرِ

Maksudnya: Seorang yang solat sendirian itu sama seperti Imam dari sudut keperluannya untuk membaca secara kuat bagi membolehkannya untuk mentadabbur (ayat-ayat yang dibaca). (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 3/389-390. Rujuk juga Al-Ta’liqah li Qadhi Husain ‘ala Mukhtasar al-Muzani 2/796 dan Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj 1/493)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa pandangan mazhab Syafi’e dan jumhur ulama ialah disunatkan seorang yang solat sendirian untuk menyaringkan dan menguatkan bacaan ketika solat jahar, iaitu Subuh dan dua rakaat pertama bagi Maghrib dan Isya’.

Hal ini sepertimana sunatnya bagi imam hal tersebut, dan jika imam dan yang solat sendirian tidak menguatkan bacaan, ia tidak menjejaskan kesahihan solat.

Wallahu a’lam.