AL-KAFI #1697 : BERSALAM DENGAN KONSULTAN GELATIN BUKAN ISLAM

AF1697 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.

Saya bekerja di syarikat pengeluar makanan yang mempunyai status halal daripada JAKIM. Cuma yang menjadi kemusykilan saya ialah pihak syarikat ada mengambil perkhidmatan seorang konsultan berbangsa asing yang bukan Islam yang berpengalaman dalam bidang gelatin. Umum mengetahui bahawa beliau tidak hanya berinteraksi dengan gelatin yang halal sahaja; mesti beliau pernah memegang atau menyentuh gelatin khinzir, kerana itu merupakan kerja beliau.

Apakah hukum saya bersalam dengan konsultan tersebut?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pihak kami pernah menyentuh hukum bersalaman dengan orang bukan Islam secara umum di dalam artikel Al-Kafi #316 : Orang Bukan Islam, Najis Mughallazah? Kesimpulan daripada artikel tersebut ialah orang bukan Islam tidak dianggap najis dan diharuskan untuk bersalaman dengan mereka dan menggunakan pekakas masakan mereka, sekalipun mereka diketahui sebagai orang yang berinteraksi dengan najis seperti khinzir dan arak. Keharusan ini tertakluk selagi mana tidak ada bukti yang tahqiq (nyata) bahawa ketika bersalaman dengan orang tersebut berlaku perpindahan najis daripada tangannya.

Di dalam mazhab Syafie, apabila seekor haiwan yang suci seperti kucing diketahui dengan pasti memakan suatu najis seperti bangkai, kemudian dia hilang dalam tempoh masa yang memungkinkan mulut dibasuh, lalu kucing itu datang semula tanpa kesan najis pada mulutnya, jika kucing itu minum pada air yang sedikit ia tidak menajiskan bekas air tersebut.

Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami ketika menghuraikan matan Muqaddimah al-Hadhramiyyah berkenaan kes-kes pengecualian bagi kaedah umum air yang sedikit menjadi mutanajjis apabila bertemu dengan najis:

|[Dan] sebahagian daripadanya [mulut kucing yang bernajis kemudian hilang dan menanggung kemungkinan] sekalipun  kemungkinannya jauh [kucing itu menjilat pada air] sama ada mengalir atau bertakung  [yang banyak; begitu juga kes anak kecil yang hilang kemudian menanggung kemungkinan dia jadi suci] dan seumpama dua-dua kes ini, setiap benda hidup yang suci sekalipun percampurannya (atau interaksi) dengan orang ramai tidak begitu menyeluruh (yakni masih boleh dielak), maka apabila ia kembali dan menjilat pada air yang sedikit, atau bahan cecair lain selain air, tidaklah menajiskannya; sekalipun adalah hukum asalnya kekal mulutnya dalam keadaan bernajis, kerana kemungkinan ia menjadi suci itu lebih kuat pada asalnya, sama seperti hukum air. Justeru tidak memberi kesan hukum asalnya ialah bernajis kerana tidak semestinya ia menajiskan, berserta keadaannya yang berlawanan dengan hukum asalnya sesuatu ialah suci berdasarkan zahir itu lebih kuat. Tiada memudaratkan jika terdapat kemungkinan kucing itu menjilat air menggunakan lidah sahaja kerana biasanya air akan mengalir pada bahagian sekeliling mulutnya maka tetap menyucikannya seperti hukum air yang mengalir pada sekeliling bekas yang bernajis.”

Rujuk al-Minhaj al-Qowim (hlm. 15); Tuhfah al-Muhtaj (1/98); Raudhah al-Tolibin (1/20) oleh Imam al-Nawawi; Mughni al-Muhtaj (1/240) oleh Imam al-Khatib al-Syarbini; Nihayah al-Muhtaj (1/253)  oleh Imam Syamsuddin al-Ramli.

Ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah:

إِذَا تَعَارَضَ أَصْلَانِ عُمِلَ بالأَرْجَحِ مِنْهُمَا

Maksudnya: “Apabila bertembung dua kaedah asal maka diamalkan dengan kaedah asal yang lebih rajih.”

Rujuk Ma`lamah Zayed (no.568)

Menurut Imam Jalauddin al-Suyuti dalam al-Asybah wa a-Nazhoir (hlm. 68) apabila berlaku khilaf antara dua kaedah bagi hukum asal, maka hukum zahir boleh digunakan untuk menyokong salah satunya. 

Manakala menurut Imam Abu Hamid al-Ghazali:

“Mengikut sangkaan kuat dalam kaedah usul ini, bukan semata-mata kerana ia adalah sangkaan yang kuat, tetapi kerana para sahabat (Rasulullah ) beramal dengannya, dan bersepakat dalam mengamalkannya.”

Rujuk al-Mustasfa (hlm. 254)

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, hukum bersalam dengan konsultan makanan yang bukan Islam, yang berkemungkinan pernah menyentuh gelatin khinzir adalah dibenarkan dan tidak menajiskan tangan kerana terdapat kemungkinan bahawa dia sudah membasuhnya. Tidak diperintahkan dalam Syariat untuk kita mencari-cari bukti bahawa konsultan tersebut pernah menyentuh khinzir atau membasuh dengan tujuah kali basuhan sekali dengan air tanah, kerana cukup kita beramal pada zahir ketika itu tangannya bersih daripada najis. Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini merungkai masalah yang dihadapi pihak yang bertanya. Marilah kita berdoa agar Allah ﷻ mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat dan memberikan taufiq agar kita menjadi hamba-Nya yang bertaqwa. Amin.