AL-KAFI #1701 : BASUHAN KETIKA WUDUK MULAI DARI SIKU?

af1701 compressed

Soalan:

Assalamulaikum wrm. wbt.,

Salah seorang sahabat saya berkata bahawa cara mengambil wuduk umat Islam di Malaysia banyak kesalahan. Antara kesalahan tersebut ialah apabila membasuh tangan Ketika berwuduk dimulai dengan hujung jari kemudian mengalirkan air sampai ke siku. Sepatutnya perlu bermula daripada siku sampai ke hujung jari jemari. Saya berasa pelik dengan penjelasan sahabat saya itu dan ingin meminta pendapat pejabat mufti bagi kepastian. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Berkata Imam Yahya al-Imrani:

“Disunatkan seseorang itu untuk memulakan (basuhan tangan) dari tangan kanannya, kemudian kirinya, berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ:

إِذَا تَوَضَّأتُمْ.. فَابْدَؤُوْا بِمَيَامِنِكُمْ

Maksdnya: “Apabila kalian berwuduk... mulakanlah dengan bahagian kanan.”

Riwayat Ibn Majah (402) dan Ahmad (8652)

Jika dimulakan dengan tangan kiri sebelum tangan kanan, itu sudah memadai juga. Inilah pendapat kebanyakan ahli ilm. Manakala pendapat Fuqaha’ al-Sab`ah (Ahli Fiqh Yang Tujuh): Ia tidak memadai. Dalil mazhab kita (Syafieyyah) ialah firman Allah Taala:

فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ

Maksudnya: “maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku”

(Surah al-Maidah: 6)

Yakni Allah tidak membezakan siku. Berkata al-Saymari: Sekiranya seseorang itu sendiri yang membasuh tangannya maka dia mengambil air dengan telapak tangan kemudian dia bawakannya ke sikunya dengan aliran air, begitu juga dilakukan pada tangan kiri. Apabila orang lain yang menuangkan air baginya, mintakan orang itu untuk menuang air ke atas siku sampai ke hujung jemari tangan dalam keadaan orang itu berdiri di sebelah kiranya. Wajib memasukkan kedua-dua siku dalam basuhan, inilah pendapat semula ulama, melainkan Zufar dan Abu bakar bin Daud yang mengatakan siku adalah sempadan dan tidak wajib memasukkannya dalam basuhan.”

Rujuk al-Bayan fi Madzhab al-Imam al-Syafie (1/119-120); al-Hawi al-Kabir (1/131) oleh Imam al-Mawardi; al-Majmu Syarh al-Muhadzzab (1/394) oleh Imam al-Nawawi.

Ini selari dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (no.1934) dan Imam Muslim (no.226) daripada Saiyidina Uthman bin al-`Affan:

غَسَلَ يَدَهُ اليُمْنَى إِلَى المَرْفِقِ ثَلاَثًا، ثُمَّ غَسَلَ يَدَهُ اليُسْرَى إِلَى المَرْفِقِ ثَلاَثًا

Maksudnya: “Uthman membasuh tangannya sehingga ke siku tiga kali, kemudian membasuh tangan kirinya sehingga ke siku tiga kali.”

Kemudian Uthman berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا

Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah ﷺ berwuduk seperti wuduknya aku ini.”

Dikatakan bahawa kaedah membasuh tangan semasa wuduk bermula daripada siku ini merupakan kebiasaan kaum Syiah daripada mazhab Ithna `Asyariyyah. Dinukilkan daripada kitab tafsir al-Mizan fi Tafsir al-Quran oleh Muhammad Hussein al-Tobatoba’ie berkenaan tafsir ayat keenam Surah al-Mai`dah:

“Telah diterangkan seperti mana yang lepas bahawa Firman-Nya “إلى المرافق” dikaitkan dengan Firman-Nya “أيديكم” maka basuhan itu tertakluk pada kawasan itu, tanpa dikaitkan dengan tujuan, ertinya mungkin dimulakan daripada siku sehingga hujung jari jemari seperti mana kebiasaan tabiat manusia apabila membasuh tangannya dalam keadaan-keadaan lain selain aktiviti wuduk, atau mungkin juga dimulakan daripada hujung jari jemari kemudian berakhir pada siku. Akan tetapi berdasarkan riwayat-riwayat yang warid daripada jalan Imam-Imam Ahli Bayt – Alaihimussalam – berfatwa dengan bentuk yang pertama tanpa bentuk yang kedua.”

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa kaedah membasuh tangan semasa wuduk adalah sunat dimulakan daripada hujung jemari tapak tangan kemudian dibawakan air itu ke siku, bukan dimulakan dengan siku, melainkan jika orang lain menuangkan air wuduk untuk kita. Namun begitu, jika dimulakan basuhan daripada siku wuduk tetap sah kerana kawasan tangan yang diwajibkan sudah dibasuhkan tetapi hilang sebahagian daripada fadhilatnya. Ini berdasarkan hadis-hadis sahih yang diriwayatkan oleh ulama Ahlus Sunnah daripada Rasulullah ﷺ yang menerangkan maksud al-Quran.  Wallahua’lam.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada penanya. Marilah kita berdoa agar Allah ﷻ memberikan kita hidayah dan taufiq untuk melaksanakan Syariat-Nya dengan sempurna.