AL-KAFI #1724 : PERLUKAH NIAT KELUAR DARIPADA SOLAT?

kafi 1724

 

Soalan:

Adakah niat keluar daripada solat merupakan salah satu rukun solat? Jika ketika memberi salam saya leka dan sekadar melafazkan di mulut tanpa berniat di dalam hati, adakah solat saya sah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sememangnya terdapat pandangan yang meletakkan niat keluar daripada solat sebagai salah satu rukun solat, antaranya yang disebut oleh Imam Abu Syuja’ Ahmad bin al-Husain al-Asfahani dalam matannya:

وأركان الصلاة ثمانية عشر ركنا….. ونية الخروج من الصلاة

Maksudnya: Dan rukun-rukun solat itu ada lapan belas, (salah satunya ialah) niat untuk keluar daripada solat. (Rujuk Matan Abi Syuja’, hlm 9)

Namun demikian, para ulama yang mensyarahkan matan ini, antaranya Syeikh Taqiyuddin Al-Hisni mentarjihkan pandangan yang tidak meletakkannya sebagai rukun:

وَهل تجب نِيَّة الْخُرُوج من الصَّلَاة فِيهِ وَجْهَان: أَحدهمَا تجب وَهُوَ اخْتِيَار الشَّيْخ لِأَن السَّلَام ذكر وَاجِب فِي أحد طرفِي الصَّلَاة فَتجب فِيهِ النِّيَّة كتكبيرة الْإِحْرَام وَلِأَن السَّلَام لفظ آدَمِيّ يُنَاقض الصَّلَاة فِي وَضعه فَلَا بُد فِيهِ من نِيَّة تميزه وأصحهما أَنَّهَا لَا تجب قِيَاسا على سَائِر الْعِبَادَات

Maksudnya: Adakah wajib berniat untuk keluar daripada solat? Disana ada dua pandangan: Salah satunya ialah ianya wajib, dan ia merupakan pandangan yang dipilih oleh Syeikh (Abu Syuja’), kerana memberi salah merupakan satu zikir wajib pada salah satu daripada bahagian (الطرف ) solat (iaitu takbiratul ihram pada permulaan, salam pada pengakhiran); maka diwajibkan berniat keluar daripada solat ketika memberi salam sebagaimana wajib berniat memasuki solat ketika takbiratul ihram.

Salam juga merupakan lafaz seseorang yang membatalkan solat ketika diucapkan pada tempatnya, maka diperlukan niat ketika mengucapkannya untuk membezakan.

Namun pandangan yang lebih sahih ialah tidak wajib niat keluar daripada solat, berdasarkan qiyas terhadap ibadat-ibadat lain yang tidak mewajibkannya. (Rujuk Kifayah al-Akhyar fi Halli Ghayah al-Ikhtisar hlm. 110; Rujuk juga Al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’ 1/128 oleh Imam Khatib al-Syirbini, Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin hlm. 29 dan Mughni al-Muhtaj 1/340)

Namun meskipun pandangan yang muktamad ialah ia bukan rukun, para ulama seperti Imam al-Khatib al-Syirbini, Imam Zainuddin al-Malibari menyatakan bahawa kita disunatkan untuk berniat keluar daripada solat bagi meraikan pandangan ulama yang mewajibkannya serta keluar daripada khilaf:

وَلَكِنْ تُسَنُّ خُرُوجًا مِنْ الْخِلَافِ

Maksudnya: Namun demikian, disunatkan untuk berniat keluar daripada solat untuk keluar daripada khilaf. (Rujuk Mughni al-Muhtaj 1/385 dan Fath al-Mu’in hlm. 123)

Hal ini bertepatan dengan salah satu qaedah fiqh:

الخروج من الخلاف مستحب

Maksudnya: Keluar daripada khilaf itu adalah digalakkan.

Namun Syeikh Abu Bakar al-Dimyati mengingatkan bahawa:

(يسن نية الخروج من الصلاة بالتسليمة الأولى) أي عند ابتدائها. فإن نوى قبلها بطلت صلاته

Maksudnya: Disunatkan untuk berniat keluar dari solat ketika salam yang pertama, iaitu ketika permulaan salam. Jika dia berniat sebelum daripada itu, batallah solatnya. (Rujuk I’anah al-Tolibin fi Halli Alfaz Fath al-Mu’in 1/207. Rujuk juga Ghayah al-Bayan Syarh Zubad ibn Ruslan hlm. 98 oleh Imam Syamsuddin al-Ramli)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafi’e ialah niat keluar daripada solat ketika memberi salam yang pertama bukanlah salah satu rukun solat. Namun para ulama menyatakan hukumnya adalah sunat untuk berbuat demikian untuk keluar daripada khilaf.

Namun hendaklah berniat keluar solat itu ketika memberi salam yang pertama,dan jika berniat sebelumnya, maka solatnya terbatal.

Wallahu a’lam.

 

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan