AL-KAFI #1743 : HUKUM GABUNGKAN NIAT PUASA-PUASA SUNAT

af1743 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Jika dalam bulan Syawal suatu tahun, hari Jumaat, Sabtu, Ahad itu merupakan Hari Putih (bulan penuh). Saya cuma nak tanya bolehkah kita niat puasa enam sekali dengan niat puasa Hari Putih?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

 

Ringkasan Jawapan:

Diharuskan untuk menggabungkan beberapa niat dalam satu puasa sunat, terutama jika perlaksanaan puasa itu berbetulan dengan hari-hari yang digalakkan puasa, seperti puasa enam syawal, hari-hari putih, isnin dan khamis. Sebahagian ulama’ mensyaratkan supaya digabungkan niat, manakala sebahagiannya tidak, bahkan memadai meniatkannya sebagai puasa sunat secara umum bagi mendapatkan pahala berganda.

 

Huraian Jawapan:

Hukum menggabungkan beberapa niat dalam satu ibadah puasa, maka kami jawab seperti berikut.

Isu ini mempunyai perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafie. Mari kita merujuk kepada huraian Syeikh Sulaiman al-Bijairimi dalam Tuhfah al-Habib (2/376):

“[dan] syarat kedua [ialah menentukan niat] dalam puasa fardu contohnya dengan seseorang itu berniat setiap malam bahawa dia akan berpuasa pada siang hari esoknya dalam bulan Ramadhan, atau kerana nazar, atau kerana kaffarah, kerana puasa itu adalah ibadah yang dilampirkan kepada waktu tertentu maka wajib menentukannya dalam niat sama seperti solat lima waktu. Maka hukum puasa sunat terkeluar daripada hukum puasa fardu. Justeru, sah puasa sunat jika diniatkan secara mutlak. Jika dikatakan, “Berkata (Imam al-Nawawi) dalam al-Majmu` (6/295): Inilah yang disebutkan secara mutlak oleh Ashab dan sewajarnya disyaratkan ta`yin dalam puasa ratib (yang berulang saban waktu) seperti puasa Arafah, Asyura’, Hari-Hari Putih, Enam Syawal, sama seperti solat sunat rawatib bagi solat (fardu).” Maka (hujah) ini dijawab: puasa pada hari-hari yang disebutkan itu munsarif ilaiha (telah berpindah ke dalamnya), bahkan jika seseorang itu berniat puasa pada hari itu, tanpa disertai dengan niat-niat tadi, masih terhasil pahala puasa-puasa tadi, sama seperti hukum tahiyyahul masjid, kerana tujuan yang dikehendaki adalah wujudnya puasa pada hari-hari tadi.”

Inilah pendapat yang muktamad di sisi kebanyakan muta`akhkhirin. Rujuk Asna’ al-Matolib (1/412) oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari; Mughni al-Muhtaj (2/151) oleh Imam al-Khatib al-Syarbini; Nihayah al-Muhtaj (3/160) oleh Imam Syamsuddin al-Ramli; I`anah al-Tolibin (2/252) oleh Syeikh Abu Bakar al-Dimyati.

Di sisi Imam Ibn Hajar al-Haitami, beliau mengesahkan puasa sunat yang diniatkan secara mutlak, tetapi mensyaratkan ta`yin dengan niat-niat tertentu, seperti berniat puasa dengan menyertakan niat puasa enam, hari putih dan puasa Isnin Khamis, untuk mendapatkan pahala kesempurnaan dan pahala berganda. Rujuk Tuhfah al-Muhtaj (3/390). Barangkali ini bertujuan untuk mengharmonikan dengan perkataan Imam al-Nawawi dalam al-Majmu`. Wallahua`lam.

 

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa diharuskan untuk menggabungkan beberapa niat dalam satu puasa sunat, terutama jika perlaksanaan puasa itu berbetulan dengan hari-hari yang digalakkan puasa, seperti puasa enam syawal, hari-hari putih, isnin dan khamis. Sebahagian ulama mensyaratkan menentukan (ta`yin) niat, manakala sebahagian yang lain tidak mensyaratkan sekalipun diniatkan puasa secara mutlak bagi mendapatkan pahala berganda.