AL-KAFI #1789: HUKUM TAWAF WADA' MUSAFIR KE TAIF

HUKUM TAWAF WADA MUSAFIR KE TAIF 2

 

SOALAN

Assalamualikum, semasa mengerjakan umrah ada lawatan ke Taif, adakah perlu melakukan tawaf selamat tinggal? Ustaz kata, itu lawatan tak perlu buat.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Tawaf wada’ merupakan pekerjaan terakhir yang wajib dilakukan sebelum meninggalkan Mekah setelah selesai segala urusan-urusan haji dan umrah bagi pendapat muktamad mazhab syafie.

Di sini kami kemukakan perbezaan pendapat ulama dari 4 mazhab berkenaan dari segi hukum melakukan tawaf wada’ dengan sebab musafir:

(Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyah 17/58)

(Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyah 17/58)

 

HURAIAN JAWAPAN

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

 

Kami mulakan hal ini dengan nas daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (untuk meninggalkan Mekah). Lalu Rasulullah SAW bersabda: Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu meninggalkan Mekah sehinggalah akhir keberadaannya (di Mekah) al-Bait (Tawaf al-Wada`).”

Riwayat Muslim (1327)

 

Imam al-Nawawi berkata, “Hadis ini mengandungi dalil bagi pendapat yang mewajibkan Tawaf Wada’ dan apabila ditinggalkan maka harus membayar Dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami dan inilah pendapat majoriti Ulama.”

 (Rujuk: Syarah Sahih Muslim 9/79)

 

Imam al-Nawawi juga berkata: “Ashab kami mengatakan, “Sesiapa yang telah selesai dari manasiknya dan dia ingin bermukim di Mekah, maka tidak ada ke atasnya Tawaf al-Wada’. Perkara ini tidak ada khilaf padanya. Sama ada dia termasuk penduduknya atau bukan. Sekiranya dia ingin keluar dari Mekah menuju ke negaranya atau ke lainnya, maka dia mesti melakukan Tawaf al-Wada’.”

 (Rujuk: al-Majmu’ Syarah al- Muhazzab 8/254)

 

Imam al-Syairazi berkata:

وإذا أمر بشيء،كان ذلك نهيا عن ضده من جهة المعنى، فإن كان ذلك الأمر واجبا كان النهي عن ضده على سبيل الوجوب

Maksudnya: “apabila berlaku suruhan dalam sesuatu perkara, yang demikinan menunjukkan lawannya ialah bentuk larangan dari melakukannya dari sudut makna, oleh hal yang demikian, sekiranya larangan ke atas sesuatu perkara menunjukkan perintah melakukannya adalah merupakan wajib. Maka sesuatu larangan itu lawannya adalah menunjukkan atas jalan wajib”.

(Rujuk: al-Luma’ fi Usul al-Fiqh, Muassasah al-Risalah t.1, hlm31)

 

Berdasarkan kaedah ini lawan kepada larangan meninggalkan Mekah ialah melakukan tawaf wada`. Oleh itu melakukan tawaf wada` sebelum meninggalkan Mekah adalah wajib.

 

Menurut Sheikh Ibrahim al-Bajuri yang menukilkan kata-kata Imam Ibnu Qasim dan Abu Syuja’ dalam syarahnya berkata:

(طواف الوداع)  عند إرادة الخروج من مكة لسفر حاجا كان أولا طويلا كان السفر أو قصيرا وما ذكره المصنف من سنيته قول مرجوح هو كذلك فقوله لكن الأظهر وجوبه هو المعتمد

Maksudnya: “(melakukan tawaf wada’) bagi pendapat yang lemah mengatakan sunat melakukan tawaf wada’ sekiranya ingin keluar bermusafir daripada mekah, samaada perjalanan musafirnya jauh mahupun dekat.  manakala pendapat yang azhar (kuat) ialah wajib melakukan tawaf wada’ adalah merupakan pendapat yang muktamad.”

 (Rujuk: Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim, 1/323)

 

Mengikut kiraan Jarak perjalanan dari Bait al-Haram ke taif adalah 91km bersamaan dengan 1 jam 21 minit, seperti yang disebut dalam web: W.cutway.

 

Menurut keputusan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke–36 Musim Haji 1441H yang bersidang pada 22- 23 November 2019 bersamaan 24-25 Rabi’ul Awwal 1441 Hijrah telah memutuskan berkenaan wajib melaksanakan tawaf Wada’ bagi individu yang ingin meninggalkan Bait al-Haram ke bandar Taif kerana melepasi jarak qasar (2 marhalah).

 

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan yang dikemukakan, dan mengambil kira dari keputusan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-36 ialah Melaksanakan tawaf Wada’ bagi individu yang ingin meninggalkan Bait al-Haram ke suatu tempat yang jaraknya melebihi 2 marhalah hukumnya adalah wajib mengikut pendapat yang muktamad Mazhab Syafie.