AL-KAFI # 1795: FAKTOR BERLAKUNYA SERANGAN TERHADAP BANI MUSTALIQ

1795.png

Soalan

Adakah Nabi Menyerang Bani Mustaliq kerana Mereka berbangsa Yahudi?

Ringkasan Jawapan

Peperangan antara kaum muslimin dan Bani Mustaliq bukan disebabkan kerana perkauman. Bahkan, Bani Mustaliq adalah salah satu daripada bangsa Arab dan bukannya Yahudi. Islam mengajak umatnya untuk harmoni dalam perbezaan kaum dan budaya. Namun begitu, peperangan ini berlaku kerana terdapat ancaman daripada ketua Bani Mustaliq iaitu al-Harith bin Abu Dhirar yang ingin memerangi Nabi SAW dan kaum muslimin.

Huraian Jawapan

Al-Waqidi menyebutkan bahawa Bani Mustaliq adalah cabang daripada Bani Khuza’ah. Oleh itu, kawasan penempatan mereka terletak bersebelahan dengan lembah al-Muraisi’ yang berada dalam kawasan Bani Khuza’ah. (Lihat al-Maghazi li al-Waqidi, 1/404)

Peperangan Bani Mustaliq berlaku pada  bulan Sya’ban tahun kelima hijrah (terdapat juga pandangan yang mengatakan pada tahun keenam hijrah). Sebab terjadinya peperangan ini kerana Nabi SAW mendapat maklumat bahawa pemimpin Bani Mustaliq iaitu al-Harith bin Abu Dhirar mengajak kaumnya dan kaum Arab sekeliling untuk memerangi Rasulullah SAW dan umat Islam. (Lihat al-Maghazi li al-Waqidi, 1/404)

Kemudian, Rasulullah SAW mengutuskan Buraidah bin al-Hasib al-Aslami untuk mengesahkan kebenaran maklumat tersebut. Buraidah menyamar sebagai seorang pendokong al-Harith bin Abu Dhirar untuk mendapatkan maklumat yang jelas berkenaan pelan serangan tersebut. Setelah dipastikan maklumat tersebut, beliau pulang bertemu Rasulullah SAW dan memaklumkan serta mengesahkan berita yang beliau perolehi daripada pertemuan dengan al-Harith bin Abu Dhirar. (Lihat al-Maghazi li al-Waqidi, 1/404-405)

Dua hari sebelum berakhirnya bulan Sya’ban, Rasulullah SAW mengumpulkan para sahabat dan bergegas keluar untuk berperang. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, 1/298)

Pada masa yang sama sebahagian besar yang turut ikut serta adalah golongan munafik. Sedangkan, pada peperangan sebelum ini mereka tidak pernah ikut serta bersama dalam peperangan. Oleh itu, golongan ini sebenarnya hanya menginginkan habuan rampasan perang (ghanimah) bukannya mahu menolong orang Islam. (Lihat Fiqh al-Sirah, 298)

Al-Harith bin Abu Dhirar juga menghantar pengintip untuk mengenal pasti tentera kaum muslimin. Namun, pengintip tersebut tertangkap oleh tentera kaum muslimin dan dibunuh. Al-Harith bin Abu Dhirar dan pasukan tenteranya berasa takut yang tersangat apabila mengetahui bahawa Nabi SAW dan tentera umat Islam sedang bergerak menuju ke tempat mereka. Selain itu, ketakutan itu juga adalah disebabkan terbunuhnya pengintip yang dihantar oleh beliau. Beberapa kabilah Arab meninggalkan al-Harith dan pasukannya. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, 1/299)

Akhirnya, Rasulullah SAW dan pasukan tentera umat Islam telah sampai di Muraisi’. Menurut ahli sejarah, Muraisi’ merupakan sebuah kawasan perairan yang dimiliki oleh Bani Mustaliq di Qudaid. Rasulullah SAW meluruskan barisan ketenteraannya dan kaum muslimin telah bersiap sedia untuk berperang. Kemudian bendera Muhajirin diserahkan kepada Abu Bakar dan bendera Ansar diserahkan kepada Sa’d bin Ubadah. Tidak lama setelah itu mereka saling berbalas panahan, saling menyerang dan Rasulullah SAW mengarahkan agar kaum muslimin melakukan serangan secara serentak. Hal ini menyebabkan al-Harith dan pasukannya dapat dikalahkan. Ahli pasukan al-Harith kebanyakannya terbunuh, manakala kaum wanita dan kanak-kanak dijadikan tawanan dan binatang ternakan dirampas. Sedangkan, daripada kalangan kaum muslimin hanya seorang sahaja yang terbunuh. Kisah ini sebagaimana yang disebutkan oleh ahli sejarah dan tamadun. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, 1/299)

Seterusnya, terdapat peristiwa lain juga yang berlaku ketika peperangan Bani Mustaliq iaitu fitnah (Ifk) yang disebarkan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul. Beliau merupakan pemimpin kaum munafik ketika itu. Fitnah yang dilakukan adalah dengan menuduh Saidatina ‘Aisyah R.A berlaku curang dibelakang Nabi SAW. Bagi peristiwa fitnah (Ifk) ini telah kami jelaskan dengan panjang lebar pada  BAYAN LINNAS SIRI KE 181 : PERISTIWA AL-IFKI (FITNAH) TERHADAP AISYAH R.ANHA : PENGAJARAN DAN PETUNJUK MENGHADAPI FITNAH SEMASA.

Kesimpulan

Berdasarkan pemerhatian terhadap karya sirah, sebab utama Nabi SAW menyerang Bani Mustaliq adalah kerana mereka telah bersiap sedia dengan kelengkapan perang dan juga mereka telah menyeru kaum Arab di sekeliling mereka bagi mengatur pelan serangan ke atas Rasulullah SAW dan kaum muslimin. Serangan balas yang dilakukan oleh kaum muslimin bukan berasaskan sentimen perkauman. Tetapi, atas faktor ancaman yang diterima oleh Bani Mustaliq. Bani Mustaliq adalah salah satu daripada bangsa Arab dan bukannya Yahudi. Islam adalah agama yang tidak suka umatnya mempunyai sikap ‘asabiyyah (rasis) dalam kalangan masyarakat. Sikap ini juga antara sikap yang tidak disukai oleh Nabi SAW. Wallahua’lam.

طباعة