AL-KAFI #1830: KAEDAH MENENTUKAN DARAH SAMA ADA HAID ATAU ISTIHADAH

 

AK 1830

 

SOALAN

Assalamualaikum. Kebiasaan tempoh haid isteri saya ialah 7 hari. Untuk kes ini, tarikh akhir haidnya adalah 27 Jun. Selama ini beliau tak pernah keluar darah istihadah. Namun baru-baru ini, darah keluar semula pada 2 Julai, dipercayai akibat kesan sampingan ubat pencegah hamil yang diambil. Memandangkan tempoh sucinya tidak cukup 15 hari, saya telah memberitahunya bahawa itu adalah darah istihadah dan beliau meneruskan solat wajib harian. Namun timbul kekeliruan di mana ada artikel dan pendapat menyatakan, darah yang keluar sebelum tempoh maksimum haid habis iaitu 15 hari bukanlah istihadah dan tidak boleh menunaikan solat. Persoalannya;

1. Adakah sebenarnya darah yang keluar ini istihadah ataupun darah haid?

2. Apakah hukumnya solat yang dilaksanakan sepanjang tempoh darah ini keluar? Adakah berdosa dan sia-sia?

3. Jika sebenarnya darah itu adalah haid, apakah kesilapan saya disebabkan ceteknya ilmu menyebabkan saya menanggung dosa?

Mohon pencerahan. Jazakumullah.

Tambahan Info:

1. Tarikh hari pertama darah keluar: 20 Jun 2021 (haid seperti biasa)

2. Masa/ waktu hari pertama darah keluar: Sekitar jam 5.15 pagi

3. Tarikh mandi wajib: 27 Jun 2021

4. Masa/ waktu mandi wajib: Lebih kurang jam 12.30 tengahari

5. Keadaan darah yang keluar berserta tarikh: Cair tak seperti haid biasa, berwarna merah cerah, kuantiti lebih banyak dari biasa pada hari pertama, hari seterusnya kuantiti seperti haid biasa tapi masih cair, mula keluar pada 2 Julai 2021 @ 7 pagi, berhenti pada 5 Julai 2021 @ sekitar 12 tengahari.

 

RINGKASAN JAWAPAN

 

HURAIAN JAWAPAN

Wa’alaikumussalam WBT. Alhamdulilah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah banginda sehingga hari kiamat.

Definisi Haid Dan Istihadah

Imam al-Khatib al-Syirbini mendefinisikan haid seperti berikut:

دم جبلة أي تقتضيه الطباع السليمة يخرج من اقصى رحم المراة بعد بلوغها على سبيل الصحة من غير سبب في أوقات معلومة

Maksudnya: Darah semula jadi sebagai kejadian normal yang keluar daripada pangkal rahim seorang wanita yang telah baligh dalam keadaan sihat tanpa sebab-sebab tertentu dan pada waktu-waktu yang diketahui.

(Lihat: Mughni al-Muhtaj, 1/277)

Berdasarkan definisi di atas, dapat difahami bahawa haid ialah darah semulajadi yang keluar secara normal daripada pangkal rahim wanita bukan disebabkan sakit serta ia keluar pada waktu-waktu tertentu sama ada pada waktu sekurang-kurang haid atau sebanyak-banyak haid atau waktu kebiasaan haid.

(Rujuk: al-Ibanah wal al-Ifadhah, 13)

Definisi ini berbeza dengan darah istihadah iaitu:

هي الدم الزائد على اكثر الحيض والنفاس او هي الدم الخارج من غير أيام الحيض والنفاس

Maksudnya: Darah yang keluar melebihi tempoh sebanyak-banyak haid dan nifas atau darah yang keluar bukan pada hari-hari haid dan nifas.

(Lihat: al-Taqrirah al-Sadidah, 1/167)

Ini bermakna, darah haid berlaku dalam tempoh tertentu berbeza dengan istihadah yang tidak mempunyai tempoh waktu tertentu.

 

Tempoh Haid

Dalam kitab al-Taqrirah al-Sadidah penulis menyebutkan tempoh haid adalah seperti berikut:

Sekurang-kurang tempoh haid ialah sehari semalam (24 jam), sebanyak-banyak tempoh haid ialah 15 hari 15 malam dan kebiasaan tempoh haid ialah 6 atau 7 hari.

(Rujuk: al-Taqrirah al-Sadidah, 1/161)

Justeru, kami ringkaskan tempoh haid seperti berikut:

Imam al-Darimi dalam penulisannya menyebutkan bahawa:

Sekiranya seorang perempuan yang sudah mencapai umur haid (9 tahun dan ke atas) melihat darah yang keluar pada tempoh sekurang-kurang haid (sehari semalam) dan tidak melepasi sebanyak-banyak haid (15 hari 15 malam) maka kesemua darah itu adalah haid. Sama ada tempoh tersebut sama seperti adat kebiasaanya sebelum ini atau tidak. Sama ada darah yang keluar mempunyai warna yang sama atau berbeza. Hal ini demikian kerana, syarat-syarat haid telah terkumpul padanya.

(Rujuk: al-Najm al-Wahhaj Fi Syarh al-Minhaj, 1/498)

Berdasarkan kenyataan ini dapat difahami bahawa, darah yang keluar dalam tempoh 15 hari 15 malam, walaupun berbeza adat dengan bulan sebelum nya atau berbeza warna darah yang keluar, selagi mana ianya keluar dalam tempoh 15 hari 15 malam dan tidak melepasi tempoh tersebut, maka kesemuanya dihukumkan darah haid.

Walau bagaimanapun, sekiranya darah yang keluar melepasi tempoh 15 hari 15 malam dan bersambung dengan hari seterusnya tanpa berhenti maka darah yang keluar dihukumkan sebagai darah istihadah manakala wanita yang mengalami keadaan ini dinamakan sebagai wanita mustahadah yang memiliki beberapa pembahagian kerana darah haid dan istihadahnya telah bercampur dalam tempoh tersebut.

(Rujuk: Matan al-Zubad, 27)

 

Penentuan Haid Dan Istihadah Bagi Darah Yang Bercampur

Penentuan kepada permasalahan ini terbahagi kepada dua:

Sekiranya seorang wanita melihat terdapat perbezaan warna dan sifat darah dalam tempoh tersebut, maka dihukumkan haid pada darah yang kuat (sifat dan warnanya) dan dihukumkan istihadah bagi darah yang lemah (sifat dan warnanya) mengikut syarat-syarat tamyiz.

Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam penulisannya:

وَيُحْكَمُ لِلْمُعْتَادَةِ الْمُمَيِّزَةِ بِالتَّمْيِيزِ لَا الْعَادَةِ فِي الْأَصَحِّ

Maksudnya: Dihukumkan bagi perempuan Mu'tadah Mumayyizah dengan tamyiznya (Darah yang sifatnya kuat adalah haid, yang sifatnya lemah adalah istihadah). Tidak dihukumkan dengan adat sebelumnya menurut pandangan yang paling sahih.

(Rujuk: Minhaj al-Thalibin wa Umdah al-Muftin, 88)

Sekiranya seorang wanita melihat darah yang keluar dengan satu sifat iaitu tiada perbezaan warna pada darah tersebut, maka dihukumkan haidnya mengikut kadar adat kebiasaan haid yang sebelum manakala bakinya dihukumkan istihadah.

Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini dalam penulisannya:

وَإِن كَانَت مُعْتَادَة غير مُمَيزَة بِأَن سبق لَهَا حيض وطهر وَهِي تعلمهَا قدرا ووقتا فَترد إِلَيْهِمَا قدرا ووقتا

Maksudnya: Jika seorang perempuan pernah mengalami haid dan suci sebelumnya padahal dia tidak dapat membezakan sifat darah ini (yakni darah yang melebihi tempoh 15 hari 15 malam, kerana darah keluar dengan satu sifat ) sedangkan dia masih ingat kadar dan waktu bagi haid dan sucinya yang sebelum ini, maka dikembalikan kepada kadar dan waktu haid dan sucinya yang sebelum ini.

(Rujuk: al-Iqna Fi Hal Alfaz Matan Abi Syuja’, 1/242)

 

Berbalik kepada persoalan di atas, kami rumuskan jawapan seperti berikut:

TARIKH

PENJELASAN

20 Jun (5.15 pagi) – 5 Julai (5.15 pagi)

Tempoh 15 hari 15 malam.

Darah yang keluar dihukumkan haid

27 Jun – 1 Julai

Tempoh Naqa. Dihukumkan haid jika duduk dalam tempoh 15 hari 15 malam.

2 Julai (7 pagi) – 5 Julai (5.15 pagi)

Darah yang keluar masih dihukumkan haid

5 Julai (5.16 pagi – 12 Tenghari )

Darah yang keluar melepasi tempoh sebanyak-banyak haid 15 hari 15 malam dan sudah memasuki hari ke-16

 

Berdasarkan jadual di atas dapat difahami bahawa:

Semoga penjelasan ini mampu memberi penyelesaian dan jawapan kepada persoalan tuan. Wallahualam.

 

RUJUKAN