AL-KAFI #1914: HUKUM BERJIMAK KETIKA KETIADAAN BEKALAN AIR

HUKUM BERJIMAK KETIKA KETIADAAN BEKALAN AIR

 

Soalan:

Apakah hukum jika kita berjimak ketika dalam keadaan tiada bekalan air yang cukup untuk mandi, dan kita tahu kita tidak akan sempat untuk mencari bekalan air untuk mandi wajib sebelum tamat waktu solat?

Ringkasan Jawapan:

Harus hukumnya bagi seseorang itu untuk bersetubuh dengan pasangannya, meskipun dalam keadaan tiada bekalan air yang cukup untuk mandi wajib. Namun disyaratkan supaya ada air yang cukup untuk membasuh kemaluannya setelah bersetubuh, dan dia boleh bertayamum lalu solat tanpa perlu mengulangi solatnya itu. 

Namun sekiranya tiada air langsung yang boleh digunakan untuk membasuh kemaluan, maka dia diharamkan untuk melakukan persetubuhan setelah masuknya waktu solat, dan hanya diharuskan jika persetubuhan berlaku sebelum masuknya waktu solat.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Permasalahan berkenaan persetubuhan ketika dalam keadaan tiada air telah dibahaskan oleh para ulama mazhab Syafi‘e. Menurut Imam al-Nawawi:

قال الشافعي في الأم والأصحاب: يجوز للمسافر والمعزب في الإبل أن يجامع زوجته وإن كان عادماً للماء، ويغسل فرجه ويتيمم، واتفق أصحابنا على جواز الجماع من غير كراهة

Maksudnya: Menurut Imam al-Syafi‘e dalam kitab al-Umm dan para ulama mutakaddim mazhab Syafi’i: Seorang musafir dan penggembala yang membawa untanya ke padang ragut harus untuk menyetubuhi isterinya, meskipun dalam keadaan tiada air. Maka dia hanya perlu membasuh kemaluannya setelah bersetubuh dan bertayamum. Para ulama mutakaddim mazhab Syafi’i juga bersepakat bahawa jimak dalam keadaan tersebut adalah harus, dan tidak makruh hukumnya.[1] 

Hal ini ditegaskan lagi oleh Imam al-Ramli:

وَيَجُوزُ لِلرَّجُلِ جِماعُ أَهْلِهِ، وَإِنْ عَلِمَ عَدَم الماءِ وَقْتَ الصَّلاةِ فَيَتَيَمَّمُ وَيُصَلِّي مِنْ غَيْرِ إِعادَةٍ

Maksudnya: Diharuskan bagi seseorang lelaki itu untuk menyetubuhi isterinya, meskipun dia tahu tiada air ketika waktu solat. Dia boleh bertayamum dan solat tanpa perlu mengulangi solatnya itu.[2]

Namun Imam al-Bujairimi memperincikan lagi permasalahan ini, dan menurut beliau, jika seseorang itu tidak mempunyai air untuk membasuh kemaluannya selepas persetubuhan, maka haram hukumnya untuk dia bersetubuh jika telah masuk waktu solat. Namun jika dia bersetubuh sebelum masuknya waktu solat, hukumnya harus kerana dia belum ditaklifkan untuk mendirikan solat itu sebelum masuk waktunya.[3]

Wallahu a‘lam.

Rujukan:
[1] Rujuk Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab oleh Muhyiddin al-Nawawi (t.t) Matba‘ah al-Munirah, 2/239
[2] Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj oleh Syamsuddin al-Ramli (1984) Dar al-Fikr, 1/311
[3] Rujuk Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib oleh Sulayman al-Bujairimi (1995) Dar al-Fikr 1/307 dan I‘anah al-Talibin ‘ala Halli Alfaz Fath al-Mu‘in oleh Abu Bakr al-Dimyati (1997) Dar al-Fikr, Cetakan Pertama, 3/389

وَيَجُوزُ لِلرَّجُلِ جِمَاعُ أَهْلِهِ وَإِنْ عَلِمَ عَدَمَ الْمَاءِ وَقْتَ الصَّلَاةِ فَيَتَيَمَّمُ وَيُصَلِّي مِنْ غَيْرِ إعَادَةٍ اهـ. أَقُولُ: وَهُوَ ظَاهِرٌ حَيْثُ كَانَا مُسْتَنْجِيَيْنِ بِالْمَاءِ، وَإِلَّا لَمْ يَجُزْ لَهُ جِمَاعُهَا لِمَا فِيهِ مِنْ التَّضَمُّخِ بِالنَّجَاسَةِ، وَلِمَا يَتَرَتَّبُ عَلَيْهِ مِنْ بُطْلَانِ تَيَمُّمِهِ إذَا عَلِمَ أَنَّهُ لَمْ يَجِدْ مَاءً فِي وَقْتِ الصَّلَاةِ،

 إلَّا أَنَّهُ قَدْ مَرَّ فِي بَابِ الْغُسْلِ أَنَّهُ لَا يُكَلَّفُ غَسْلَ الذَّكَرِ مِنْ الْمَذْيِ، لِأَنَّهُ رُبَّمَا فَتَرَتْ شَهْوَتُهُ عَنْ جِمَاعٍ يُرِيدُهُ، وَتَقَدَّمَ أَنَّهُ يُعْفَى عَنْهُ بِالنِّسْبَةِ لِلْجِمَاعِ لَا لِمَا أَصَابَ بَدَنَهُ مِنْهُ أَوْ ثَوْبَهُ، وَعَلَيْهِ فَلَوْ عَلِمَ أَنَّهُ لَا يَجِدُ مَاءً يَغْسِلُ بِهِ مَا أَصَابَهُ مِنْهُ بَعْدَ الْجِمَاعِ، فَيَنْبَغِي حُرْمَتُهُ إذَا كَانَ ‌الْجِمَاعُ ‌بَعْدَ ‌دُخُولِ ‌الْوَقْتِ لَا قَبْلَهُ، فَلَا يَحْرُمُ لِعَدَمِ مُخَاطَبَتِهِ بِالصَّلَاةِ الْآنَ، وَهُوَ لَا يُكَلَّفُ تَحْصِيلَ شُرُوطِ الصَّلَاةِ قَبْلَ دُخُولِ وَقْتِهَ