BAYAN LI AL-HAJ #SIRI 10: HUKUM MELAKSANAKAN HAJI MENGGUNAKAN BANTUAN PERBELANJAAN DARIPADA ANAK-ANAK

 

SOALAN

Adakah sah seseorang yang menunaikan haji dengan menggunakan wang yang diberikan oleh anak-anak?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Agama Islam merupakan satu agama yang menganjurkan dan menggalakkan umatnya agar saling tolong-menolong ke arah kebaikan. Hal ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam membuat kebajikan dan ketaqwaan.” (Surah al-Maidah: 2)

Isu bantu-membantu dalam melaksanakan sesuatu kebajikan dan ketakwaan adalah merupakan salah satu sendi utama dalam membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sempurna sepertimana yang dianjurkan di dalam al-Quran. Oleh itu, manusia hendaklah sentiasa memberi pertolongan dalam mana-mana urusan yang membawa kepada kebaikan. Pertolongan ini termasuklah sesama individu ataupun masyarakat dalam soal kehidupan dunia mahupun kehidupan akhirat. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 3/1474)

Melihat kepada persoalan di atas, haji yang dilakukan oleh seseorang dengan menggunakan wang yang diberikan oleh anak-anak adalah sah dan tertunailah rukun Islam yang kelima ke atasnya. Sememangnya kita dianjurkan untuk sentiasa membantu ibubapa kita dan melayan mereka dengan layanan yang paling baik. Selain itu, salah satu perbuatan yang baik dalam menyantuni ibu bapa ialah dengan memberi perbelanjaan kepada mereka untuk menunaikan ibadah haji. Firman Allah SWT:

 

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’: 23)

 

KESIMPULAN

Dalam isu ini kami melihat bahawa telah menjadi tidak menjadi kewajipan ke atas mana-mana anak untuk menanggung kos perbelanjaan ibubapa mereka yang berniat untuk melaksanakan ibadah haji jika anak-anak tersebut mampu dan ini termasuk di dalam perlakuan ihsan anak terhadap ibubapa mereka. Justeru, ibadah haji yang dilaksanakan dengan menggunakan wang perbelanjaan yang diberikan oleh anak-anak adalah sah dan diterima di sisi Allah SWT.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam