IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-290 : APAKAH ADA HIMPITAN KUBUR?

irsyad hadith 2 33450309 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz.Saya ingin bertanya tentang himpitan kubur. Adakah sebenarnya terdapat himpitan ketika kita dimasukkan ke dalam kubur nanti?.Sahih atau tidak? Adakah itu antara azab kubur?. Mohon pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Himpitan kubur adalah perkara pertama yang akan dirasai oleh setiap manusia ketika dimasukkan ke dalam kubur.Memang terdapat hadis yang jelas berkenaan dengan himpitan kubur. Antaranya:

  1. Kata Imam Ahmad : Yahya[1] telah menceritakan kepada kami : Daripada Syu’bah : Sa’ad Bin Ibrahim telah menceritakan kepada kami. Ibnu Jaafar juga menceritakan kepada kami : Syubah telah menceritakan kepada kami daripada Sa’ad Bin Ibrahim daripada Nafi’. Ibnu Jaafar berkata : daripada seseorang daripada Aisyah. Nabi saw bersabda :

إِنَّ لِلْقَبْرِ ضَغْطَةً وَلَوْ كَانَ أَحَدٌ نَاجِيًا مِنْهَا نَجَا مِنْهَا سَعْدُ بْنُ مُعَاذٍ

Maksudnya :” Sesungguhnya bagi kubur itu ada himpitan. Kalau ada seseorang yang terselamat dari himpitan tersebut sudah pasti yang terselamat adalah Sa’ad Bin Muaz.”

Riwayat Imam Ahmad (24283) di dalam Musnad.

Al-Hafiz al-Iraqi menyatakan bahawa sanad yang dibawa oleh Imam Ahmad adalah sanad yang jayyid.

Rujuk al-Mughni ‘An Hamli al-Asfar fi al-Asfar (6/2655)

Lafaz hadis ini juga diriwayatkan dengan beberapa jalan periwayatan(sanad). Kesemua jalan tersebut tertumpu pada Syu’bah.

al-Tahawi di dalam Syarh Musykil al-Athar menukilkan sanad lafaz hadis tersebut seperti berikut :

“Ibrahim Bin Marzuq telah menceritakan kepada kami. Wahb Bin Jarir telah menceritakan kepada kami : Syu’bah telah menceritakan kepada kami : Daripada Sa’ad Bin Ibrahim daripada Nafi’ daripada Ummul Mukminin Aisyah sesungguhnya Rasulullah saw bersabda :….”

Kata al-Tahawi lagi : “Begitulah yang diriwayatkan oleh Ibnu Marzuq kepada kami. Tanpa ada perawi di antara Nafi’ dan Ummul Mukminin Aisyah.”

Rujuk Syarh Musyil al-Athar (1/248)

Di dalam sanad yang dibawa oleh Imam Ahmad terdapat seorang perawi bernama Muhammad Bin Jaafar. Beliau adalah seorang perawi yang paling thiqah yang meriwayatkan hadis dari Syu’bah. Namun, di dalam sanad tersebut beliau tidak menjelaskan siapa yang meriwayatkan daripada Aisyah (Mubham). Akan tetapi di dalam beberapa tempat,nama yang samar tersebut telah diperjelaskan oleh beberapa tokoh hadis seperti al-Tahawi dan al-Baihaqi.. Antara sanad yang dibawa oleh Imam al-Baihaqi untuk memperjelaskan perawi yang mubham itu ialah :

Ringkasnya, Sheikh Syu’aib al-Arnaut menghukum hadis ini sebagai hadis yang sahih.

  1. Ketika mana Sa’ad Bin Mu’az meninggal dunia, Rasulullah saw bersabda :

هَذَا الَّذِي تَحَرَّكَ لَهُ الْعَرْشُ وَفُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَشَهِدَهُ سَبْعُونَ أَلْفًا مِنْ الْمَلَائِكَةِ لَقَدْ ضُمَّ ضَمَّةً ثُمَّ فُرِّجَ عَنْهُ

Maksudnya :” Inilah yang menyebabkan bergeraknya arasy dan dibuka baginya pintu-pintu langit serta disaksikan oleh 70,000 malaikat. Dia telah dihimpit (di dalam kubur) kemudian dilepaskan daripadanya.”

Riwayat al-Nasaie (2054) di dalam Sunan al-Kubra

Lafaz hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Nasaie dengan sanad yang berikut. Kata beliau :

“Ishak Bin Ibrahim mengkhabarkan kepada kami. Beliau berkata : ‘Amru Bin Muhammad mengkhabarkan kepada kami. Kata beliau : Ibnu Idris menceritakan kepada kami daripada Ubaidullah daripada Nafi’ daripada Ibnu Umar daripada Rasulullah saw…”

Ibnu Idris di dalam sanad ini ialah Abdullah Bin Idris.Ali bin al-Madini menyatakan bahawa beliau lebih pakar di dalam hadis daripada ayahnya.

Rujuk Tahzib al-Tahzib (4/301)

Amru Bin Muhammad al-‘Anqazi al-Qurasyi pula merupakan seorang perawi yang thiqah. Imam Ahmad dan al-Nasaie menyatakan beliau seorang yang thiqah. Beliau juga adalah di antara perawi Imam Muslim.

Rujuk Tahzib al-Tahzib( 3/302)

Ringkasnya, sanad hadis dihukum sahih oleh kebanyakan pakar. Lafaz ini juga diriwayatkan juga dengan jalan yang lain.Antaranya yang dinukilkan oleh al-Tahawi :

“Fahd menceritakan kepada kami.Abu Huzaifah menceritakan kepada kami.Sufian menceritakan kepada kami daripada Sa’ad daripada Nafi’ daripada Ibnu Umar. Beliau berkata : Rasulullah saw bersabda ….”

Sheikh Syu’aib al-Arnaut menghukumkan sanad ini dengan sanad yang sahih.

Maka kami katakan bahawa hadis-hadis berkenaan adalah hadis yang sahih. Dan jelas mengatakan bahawa setiap mayat yang dimasukkan ke dalam kubur akan merasai peristiwa himpitan kubur. Sesiapa pun tidak akan terlepas daripadanya.

Maksud himpitan kubur

Namun apa yang dimaksudkan dengan himpitan kubur?.Adakah ia salah satu azab kubur. Bagi memahami apakah itu himpitan kubur. Ada eloknya kita kembali kepada penjelasan para ulama.

  1. al-Munawi menukilkan dari al-Hakim. Kata beliau :

“Tanah menjadi rindu. Apabila ia mendapati ada orang mukmin di dalamnya, ia akan menghimpitnya dengan himpitan rahmat sesuai dengan keadaan ketika orang itu datang.Jika yang datang itu adalah orang yang baik ia akan dilepaskan dengan segera.”

Rujuk Faidh al-Qadir (5/332)

  1. Dikatakan himpitan tersebut adalah himpitan rindu bukan himpitan sebab kemarahan. Para Nabi, Rasul-rasul dikecualikan dari himpitan ini. Inilah pandangan al-Munawi di dalam Faidh al-Qadir.
  1. al-Sindi menukilkan pandangan yang amat menarik dari al-Nasafi. Kata beliau:

“Himpitan kubur ini adalah seperti asal mereka. Tanah dianggap seperti ibu. Daripada ia manusia dicipta. Yang kemudiannya hilang dalam jangka masa yang panjang. Apabila mereka dikembalikan, tanah menghimpit mereka seperti mana pelukan ibu terhadap anak yang sudah lama hilang yang kemudian pulang semula kepadanya. Jika orang itu adalah orang yang taat kepada Allah, tanah akan menghimpitnya dengan penuh kelembutan. Siapa yang suka buat maksiat,tanah akan menghimpitnya dengan penuh kemarahan.”

Rujuk Hasyiah al-Sindi ‘ala al-Nasaie(4/97)

Maka dapat difahami dari ucapan al-Nasafi ini bahawa himpitan berlaku pada semua. Yang membezakan adalah cara himpitan mengikut keadaan orang yang masuk ke dalamnya. Ini lah juga di antara pandangan yang dikemukan oleh Imam al-Sayuti di dalam syarahannya terhadap Sunan al-Nasaie.

  1. Orang mukmin yang sejati akan dihimpit sebentar kemudian akan dilepaskan segera. Orang mukmin yang ada buat dosa akan dihimpit dalam jangka masa yang lama kemudian baru akan dilepaskan. Manakala orang kafir akan sentiasa dihimpit

Rujuk Faidh al-Qadir (2/167)

  1. Sheikh Abdul Muhsin al-Abbad ketika ditanya adakah himpitan yang berlaku pada orang mukmin sama dengan himpitan kubur yang dikenakan terhadap orang kafir?. Beliau menjawab bahawa himpitan yang berlaku pada orang kafir adalah satu azab sehingga tulang-tulang mereka berselarakan disebabkan himpitan tersebut. Manakala orang mukmin selepas dihimpit akan dilepaskan dan diluaskan kubur baginya.
  1. Imam al-Ramli pernah ditanya. Adakah ia berlaku sebelum atau selepas soalan para malaikat?. Beliau kemudiannya menukilkan ucapan daripada Abu Qasim al-sa’di bahawa himpitan kubur tidak dikecuali pada sesiapapun sama ada yang soleh atau yang ingkar.Yang membezakan adalah bagi orang kafir, mereka secara berterusan dihimpit. Manakala orang Muslim pula akan dihimpit pada awal mereka dimasukkan ke dalam kubur kemudian akan dilepaskan dengan segera.

Rujuk Fatawa al-Ramli (6/33)

Maka fahamlah kita bahawa himpitan kubur itu adalah satu peristiwa yang akan dilalui oleh semua orang ketika masuk ke dalam kubur. Ianya berdasarkan hadis yang dinilai oleh para ulama pakar sebagai sahih. Moga-moga himpitan tersebut tidak menjadi azab bagi kita. Akhir kata, perbanyakkan membaca doa :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ

Maksudnya :” Ya Allah, Aku berlindung dengan-Mu dari azab kubur Dan aku berlindung dari fitnah al-Masih Dajjal. Juga aku berlindung dengan-Mu dari fitnah ketika hidup dan juga ketika mati.”

Wallahu’alam

 

[1] Yahya di sini ialah Yahya Bin Said al-Qattan (w.198 H), Rujuk Siyar ‘alam al-Nubala (9/188)