IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-529 : TIADA KEBAIKAN BAGI ORANG YANG TIDAK MENGUMPULKAN HARTA

ih 529

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ada persoalan lagi tentang hadis. Saya pernah dengar seorang motivator sebut yang Nabi kata siapa yang tidak kumpulkan harta, maka dia tidak mendapat apa-apa kebaikan. Betul kah ada hadis ini? Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan:

Ia dinukilkan oleh Ibn al-Jauzi di dalam kitab al-Maudu’at. Hakikatnya, ia bukan ucapan Nabi SAW akan tetapi Ia adalah ucapan seorang Tabi’in yang terkenal di Madinah iaitu Sa’id bin al-Musayyab. Ia turut dijelaskan oleh Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman bahawa ucapan tersebut adalah ucapan Sa’id bin al-Musayyab bukan ucapan Nabi SAW. Al-Baghawi juga menisbahkan kepada Sa’id in al-Musayyab di dalam Syarh al-Sunnah.

Justeru, tidak boleh sama sekali menisbahkan ucapan tersebut kepada Nabi SAW. Bahkan ia boleh membawa kepada pendustaan ke atas Nabi SAW. Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam.

Huraian jawapan :

Asal matan hadis yang dikatakan tersebut adalah seperti berikut :

‌لَا ‌خَيْرَ ‌فِيمَنْ ‌لَا ‌يَجْمَعُ ‌الْمَالَ يَصِلُ بِهِ رَحِمَهُ وَيُؤَدِّي بِهِ عَنْ أَمَانَتِهِ وَيَسْتَغْنِي بِهِ عَنْ خَلْقِ رَبِّهِ

Maksudnya : “Tiada kebaikan yang diperoleh oleh orang yang tidak mengumpulkan harta di mana dia boleh menyambung hubungan kekeluargaan dengan harta tersebut, dia mampu untuk menunaikan amanah dengan harta tersebut dan merasa cukup dengan tidak meminta-meminta kepada makhluk Tuhannya.”

Hadis ini dinukilkan oleh Ibn al-Jauzi dalam kitab al-Maudhu’at. Beliau menukilkan sanad dan matan seperti berikut :

أَنْبَأَنَا ابْنُ خَيْرُونٍ عَنِ الْجَوْهَرِيِّ عَن الدَّارقطني عَن أبي حَاتِم بن حبَان حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يَحْيَى بْنِ زُهَيْرٍ حَدَّثَنَا الْعَلاءُ بْنُ مَسْلَمَةَ حَدَّثَنَا هَاشِمُ بْنُ الْقَاسِمِ عَنْ مُرْجَاءِ بْنِ رَجَاءٍ عَنْ سَعِيدٍ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Ibn Khairun telah memberitahu kami. Beliau meriwayatkan daripada al-Jauhari daripada al-Daruqutni daripada Abu Hatim bin Hibban. Beliau berkata : Ahmad Bin Yahya bin Zuhair telah menceritakan kepada kami bahawa beliau berkata : al-‘Ala Bin Maslamah telah menceritakan kepada kami bahawa beliau berkata : Hasyim bin al-Qasim telah menceritakan kepada kami bahawa beliau meriwayatkan daripada Murja’ bin Raja’ daripada Sa’id daripada Qatadah daripada Anas. Beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda…”

Dalam sanad hadis ini terdapat perawi yang bernama al-‘Ala bin Maslamah. Beliau adalah Abu Salim al-Rawwas. Ibn Hibban menyebut bahawa beliau banyak meriwayatkan hadis-hadis yang tertukar sanadnya daripada ahli Iraq. Bahkan beliau banyak menisbahkan hadis-hadis palsu kepada para perawi yang thiqah (dipercayai kredibilitinya) lebih-lebih lagi jika beliau meriwayatkan daripada Hasyim Bin al-Qasim daripada Muzji bin Raja daripada Sa’id daripada Qatadah daripada Anas.[1] Al-Hafiz al-Zahabi menukilkan ucapan Abu al-Fath al-Azdi yang mengkritik al-‘Ala’. Beliau menyatakan bahawa tidak boleh meriwayatkan hadis daripada beliau. Beliau seakan tidak memperdulikan apa yang beliau riwayatkan[2].

Dari sudut matan, menisbahkan lafaz tersebut kepada Nabi SAW adalah satu kesalahan. Ini kerana lafaz tersebut bukan lafaz yang diucapkan oleh Nabi SAW. Ia adalah ucapan salah seorang Tabi’in iaitu Sa’id bin al-Musayyab. Ucapan beliau dinukilkan oleh al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah[3]. Sa’id bin al-Musayyab berkata :

‌لَا ‌خَيْرَ ‌فِيمَنْ ‌لَا ‌يَجْمَعُ ‌الْمَالَ فَيَكُفُّ بِهِ وَجْهَهُ وَيُؤَدِّي بِهِ أَمَانَتَهُ وَيَصِلُ بِهِ رَحِمَهُ

Maksudnya : “Tiada kebaikan yang diperoleh oleh orang yang tidak mengumpulkan harta di mana dia boleh menahan dirinya (dari meminta-minta), menunaikan amanah dengan harta tersebut dan menyambung hubungan kekeluargaan.”

Ucapan tersebut turut dinukilkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman[4]. Beliau dengan jelas menyebut bahawa Sa’id bin Al-Musayyab yang menyebutnya bukan Nabi SAW. Imam al-Baihaqi berkata :

حَدَّثَنَاهُ السَّلَمِيُّ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ حَامِدِ بْنِ مَتْوَيْهِ حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَالِكٍ التِّرْمِذِيُّ حَدَّثَنَا أَبُو سَالِمٍ الرَّوَّاسُ الْعَلَاءُ بْنُ مَسْلَمَةَ حَدَّثَنَا أَبُو النَّضْرِ فَذَكَرَهُ. هَكَذَا رُوِيَ بِهَذَا الْإِسْنَادِ وَقَالَ فِيهِ رَاوِيَةٌ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. وَلَكِنِّي هِبْتُهُ، وَإِنَّمَا يُرْوَى هَذَا الْكَلَامُ بِعَيْنِهِ مِنْ قَوْلِ سَعِيدِ بْنِ الْمُسَيِّبِ

“Al-Sulami juga menceritakannya kepada kami, beliau berkata : Abdurrahman bin Hamid bin Matwaih telah menceritakan kepada kami bahawa beliau berkata : Ahmad bin Abdullah bin Malik al-Tirmizi telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Abu Salim al-Rawwas al-‘Ala bin Maslamah telah menceritakan kepada kami bahawa beliau berkata : Abu al-Nadr telah menceritakan kepada kami bahawa beliau menyebutkan hadis tersebut. Hadis tersebut diriwayatkan dengan sanad ini. Ada perawi yang menyebut : Rasulullah SAW bersabda. Namun saya takut untuk menyandarkan kepada Rasulullah. Ucapan ini secara tepatnya diucapkan oleh Sa’id Bin al-Musayyab.”

Kesimpulannya, lafaz yang disebutkan bukan ucapan Nabi SAW. Menisbahkan lafaz tersebut kepada Nabi adalah satu kesalahan dan merupakan satu perbuatan berdusta menggunakan nama Nabi SAW.  Ia merupakan ucapan Sa’id bin al-Musayyab, seorang Tabi’in yang terkenal.

Nota Hujung :

[1] Ibn Hibban, Muhammad Bin Hibban, al-Majruhin min al-Muhaddithin wa al-Dhu’afa wa al-Matrukin(1976), Dar al-Wa’i, Aleppo, j.2 h.185. Beliau menyatakan : ‌الْعَلَاء ‌بن ‌مسلمة ‌الرواس أَبُو سَالم من بَغْدَاد يروي عَن الْعِرَاقِيّين المقلوبات وَعَن الثِّقَات الموضوعات لَا يحل الِاحْتِجَاج بِهِ بِحَال رَوَى عَن هِشَام بْنِ الْقَاسِمِ عَنْ مُرْجِيِّ بْنِ رَجَاءٍ عَنْ سَعِيدٍ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَنَسٍ

[2] Syamsuddin al-Zahabi, Muhammad Bin Ahmad, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal (1963), Dar al-Ma’rifah, Beirut, j.3 h.105. al-Azdi menyebut :  لا تحل الرواية عنه، كان لا يبالى ما روى

[3] Al-Baghawi, al-Husain Bin Mas’ud, Syarh al-Sunnah (1983), al-Maktab al-Islami, Damsyik-Beirut, j.14 h.291.

[4] Abu Bakar al-Baihaqi, Ahmad Bin Al-Husain, Syu’ab al-Iman (2003), Maktabah al-Rusyd, Riyadh, j.2 h.448 no 1193.