IRSYAD HUKUM KE-111: ADAKAH BANJIR BESAR DI ZAMAN NABI NUH A.S MENENGGELAMKAN KESELURUHAN MANUSIA?

 

Soalan:

Adakah azab taufan dan banjir besar yang telah menimpa kaum Nabi Nuh AS telah menenggelamkan keseluruhan manusia?

 

Jawapan:

Al-Quran secara jelasnya menggambarkan bahawa apa yang ada di atas bumi ini telah ditenggelami oleh air ketika berlakunya peristiwa banjir besar yang menimpa kaum Nabi Nuh AS. Tidaklah terselemat dari kalangan manusia mahupun haiwan kecuali yang telah berada di atas bahtera Nabi Nuh AS.

Al-Quran menyebutkan mengenai kisah Nabi Nuh AS pada beberapa tempat di dalamnya. Kami nyatakan di sini sebahagian daripadanya:

Pertama: Di dalam Surah Al-Syu’aara’. Firman Allah ﷻ:

فَأَنجَيۡنَٰهُ وَمَن مَّعَهُۥ فِي ٱلۡفُلۡكِ ٱلۡمَشۡحُونِ ١١٩  ثُمَّ أَغۡرَقۡنَا بَعۡدُ ٱلۡبَاقِينَ ١٢٠

Maksudnya: Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersama-sama dengannya dalam bahtera yang penuh sarat (dengan berbagai makhluk). Kemudian daripada itu, Kami tenggelamkan golongan (kafir) yang tinggal (tidak turut bersama dalam bahtera).

(Al-Syu’aara: 119-120)

 

Kedua: Di dalam Surah Huud. Firman Allah ﷻ:

حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَ أَمۡرُنَا وَفَارَ ٱلتَّنُّورُ قُلۡنَا ٱحۡمِلۡ فِيهَا مِن كُلّٖ زَوۡجَيۡنِ ٱثۡنَيۡنِ وَأَهۡلَكَ إِلَّا مَن سَبَقَ عَلَيۡهِ ٱلۡقَوۡلُ وَمَنۡ ءَامَنَۚ وَمَآ ءَامَنَ مَعَهُۥٓ إِلَّا قَلِيلٞ 

Maksudnya: (Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: "Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman". Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.

(Huud: 40)

 

Ketiga: Di dalam Surah Yunus. Firman Allah ﷻ:

فَكَذَّبُوهُ فَنَجَّيۡنَٰهُ وَمَن مَّعَهُۥ فِي ٱلۡفُلۡكِ وَجَعَلۡنَٰهُمۡ خَلَٰٓئِفَ وَأَغۡرَقۡنَا ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَاۖ فَٱنظُرۡ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلۡمُنذَرِينَ 

Maksudnya: Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti-pengganti (yang memakmurkan bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya). Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran.

(Yunus: 73)

Keempat: Di dalam Surah As-Saffaat. Allah ﷻ telah berfirman:

وَجَعَلۡنَا ذُرِّيَّتَهُۥ هُمُ ٱلۡبَاقِينَ ٧٧  وَتَرَكۡنَا عَلَيۡهِ فِي ٱلۡأٓخِرِينَ ٧٨ سَلَٰمٌ عَلَىٰ نُوحٖ فِي ٱلۡعَٰلَمِينَ ٧٩  إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجۡزِي ٱلۡمُحۡسِنِينَ ٨٠ إِنَّهُۥ مِنۡ عِبَادِنَا ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٨١

Maksudnya: Dan Kami jadikan zuriat keturunannya sahaja orang-orang yang tinggal hidup (setelah Kami binasakan kaumnya yang ingkar). Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: "Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam ! " Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik. Sesungguhnya Nabi Nuh itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.

(As-Saffaat: 77-81)

 

Berdasarkan nas-nas di atas, kami kemukakan di sini beberapa pendapat ahli tafsir yang terkemuka:

Adapun mengenai tempoh berlakunya banjir besar tersebut, setakat pencarian kami, ianya berlaku selama 150 hari. Kami nukilkan di sini riwayat yang telah dibawakan oleh al-Imam Ibn Kathir (wafat 774H) Rahimahullah di dalam kitabnya, al-Bidayah wa al-Nihayah yang mana menyebut: Diriwayatkan daripada ‘Ilba’ bin Ahmar, daripada Ikrimah, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma telah berkata: “Adalah bersama-sama Nuh itu di dalam bahteranya 80 orang lelaki bersama ahli keluarga mereka dan mereka berada di dalam bahtera selama 150 hari…”.

Begitu juga dengan pendapat Qatadah Rahimahullah dan selainnya yang mana menyebut: “Mereka menaiki bahtera pada hari kesepuluh daripada bulan Rejab dan kemudian berlayar selama 150 hari dan kemudian menetap di atas Bukit al-Judiy selama sebulan. Adalah mereka keluar dari bahtera pada hari kesepuluh pada bulan Muharram dan Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan riwayat yang marfu’ yang mana mereka berpuasa pada hari tersebut”. [Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah. Dar Hajr, 1/272-273]

Di dalam isu ini, terdapat juga pendapat sebahagian kecil pandangan ulama yang mengatakan banjir besar yang tertimpa kepada kaum Nabi Nuh AS bersifat tidak menyeluruh, bermakna ianya tidak tertimpa kepada keseluruhan manusia berdasarkan kepada beberapa nas secara umum. Namun pendapat tersebut tidak bersifat khusus dari segi pendalilan berbanding pendapat jumhur. Antara hujahnya ialah firman Allah ﷻ:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبۡعَثَ رَسُولٗا 

Maksudnya: Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).

(Al-Isra’: 15)

 

Kesimpulan

Melihat kepada zahir nas dan pendapat para ulama’ mengenainya, dapat kami katakan di sini bahawa taufan banjir yang melanda kaum Nabi Nuh AS telah menghapuskan sekalian manusia yang ada kecuali mereka yang bersama-sama dengan Nabi Nuh AS di dalam bahteranya.

Namun sebenarnya bukan itu yang perlu kita fokuskan, seharusnya peristiwa azab yang menimpa kaum Nabi Nuh AS ini perlu dilihat dari aspek bagaimana sesuatu kaum itu di azab kerana menyalahi dakwah seorang utusan yang telah diutuskan oleh Allah  ﷻ dan menjadi pengajaran buat umat selepasnya agar berpegang teguh dengan dakwah yang telah dibawakan oleh para Anbiya’.

Semoga Allah ﷻ taufiq dan hidayahkan kita dalam menjalani kehidupan di dunia dengan meraih mardhatillah. Amin.

 

Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

19 Mei 2016 bersamaan 12 Sya’ban 1437H