IRSYAD AL-FATWA SIRI KE - 694 : HUKUM TANAM RAMBUT SINTETIK (TIRUAN)

      RAMBUT SINTETIK min

 

 

SOALAN

Assalamualaikum. Pesakit saya mempunyai masalah tiada bulu di badan mahupun rambut sejak lahir, imej botak yang ketiadaan rambut menjadikan dirinya dipandang aib oleh masyarakat sekeliling disamping hilang keyakinan diri. Oleh itu, pihak kami tidak boleh tanam rambut menggunakan rambut pesakit itu sendiri disebabkan ketiadaan rambut. Walau bagaimanapun terdapat alternatif lain untuk menyelesaikan masalah imej botak mahupun keguguran rambut dengan menanam rambut sintetik (tiruan). Persoalannya, apakah hukum menanam rambut sintetik? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan

Menanam rambut sintetik dibolehkan sekiranya tiada pilihan rambut sendiri berdasarkan ketetapan syarat-syarat berikut :  

Sementara itu, dilarang menanam rambut sintetik (tiruan) daripada sumber yang haram dan najis seperti bulu khinzir, bulu rambut bangkai atau rambut haiwan yang tidak dimakan dagingnya dan seumpamanya.

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Proses tanam rambut melibatkan pemindahan  rambut sendiri yang diambil bahagian lain  atau memindahkan rambut sendiri daripada kawasan yang lebat kepada kawasan kepala yang botak dari belakang atau sisi kepala ke bahagian depan atau atas kepala.[1]

Menanam rambut merupakan kaedah moden masa kini yang merupakan solusi terakhir bagi mereka yang mengalami masalah gugur yang kritikal.  Walau bagaimanapun tiada dalil yang jelas tentang  larangannya, namun  terdapat  kisah seorang bani Israel  yang berimej botak menyatakan permintaan kepada Malaikat untuk  mendapatkan rambut yang indah agar tidak dipandang hina. Ini berdasarkan hadis yang diriwayat daripada Abu Hurairah RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 "   إنَّ ثَلَاثَةً في بَنِي إِسْرَائِيلَ: أَبْرَصَ، وَأَقْرَعَ، وَأَعْمَى، بَدَا لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ أَنْ يَبْتَلِيَهُمْ، فَبَعَثَ إِلَيْهِمْ مَلَكًا، فأتَى الأبْرَصَ، فَقالَ: أَيُّ شَيءٍ أَحَبُّ إِلَيْكَ؟ قالَ: لَوْنٌ حَسَنٌ، وَجِلْدٌ حَسَنٌ؛ قدْ قَذِرَنِي النَّاسُ، قالَ: فَمَسَحَهُ فَذَهَبَ عنْه، فَأُعْطِيَ لَوْنًا حَسَنًا، وَجِلْدًا حَسَنًا، فَقالَ: أَيُّ المَالِ أَحَبُّ إِلَيْكَ؟ قالَ: الإبِلُ -أَوْ قالَ: البَقَرُ، هو شَكَّ في ذلكَ: إنَّ الأبْرَصَ وَالأقْرَعَ قالَ أَحَدُهُما: الإبِلُ، وَقالَ الآخَرُ: البَقَرُ-، فَأُعْطِيَ نَاقَةً عُشَرَاءَ، فَقالَ: يُبَارَكُ لكَ فِيهَا. وَأَتَى الأقْرَعَ فَقالَ: أَيُّ شَيءٍ أَحَبُّ إِلَيْكَ؟ قالَ: شَعَرٌ حَسَنٌ، وَيَذْهَبُ عَنِّي هذا؛ قدْ قَذِرَنِي النَّاسُ، قالَ: فَمَسَحَهُ فَذَهَبَ، وَأُعْطِيَ شَعَرًا حَسَنًا،

 

Maksudnya :  "Sesungguhnya terdapat tiga orang dari Bani Israil, iaitu: seorang menderita sakit kusta, seorang berkepala botak, dan seorang lagi buta. ALLAH ingin menguji mereka bertiga, maka diutuskan seorang malaikat kepada mereka. Pertama, malaikat itu pergi kepada si penderita sakit kusta dan bertanya kepadanya: "Apakah sesuatu yang paling kamu sukai?" Dia menjawab: "Warna rupa yang elok, kulit yang indah serta hilangnya penyakit  dari tubuhku yang membuat orang-orang menjauhiku. Baginda bersabda " Lantas Malaikat mengusapnya kulit pesakit kusta itu dan hilanglah penyakit yang dideritainya, serta diberi  warna rupa yang elok dan kulit yang indah.Malaikat pun bertanya lagi kepadanya: "Kekayaan apa yang paling kamu sukai?" Jawabnya: "Unta atau lembu." (perawi syak antara unta atau lembu yang dimintanya). Maka diberikan kepadanya seekor unta yang bunting dan mendoakannya: "Semoga ALLAH memberkati kepadamu dengan unta ini. "Kemudian Malaikat itu pergi kepada orang yang berkepala botak dan bertanya kepadanya: "Apakah sesuatu yang paling kamu sukai?" Dia menjawab: "Rambut yang indah, serta hilangnya penyakit ini yang membuat orang-orang menjauhiku. Lantas, Malaikat mengusap kepala orang yang botak itu, maka hilanglah penyakitnya serta tumbuhlah rambut yang indah…….”

Riwayat Sahih al-Bukhari 3464

Dr. Soleh bin Muhamad al-Fawzan dalam kitabnya al-Jarahah al-Tajmiliyyah   menyatakan hadis ini menjadi hujah keharusan serta menunjukkan tiada larangan bagi mereka yang berimej botak untuk mendapatkan rambut yang cantik agar dapat menghilangkan aib diri.  Mempunyai rambut yang cantik merupakan satu nikmat dan idaman setiap insan.  Oleh yang demikian, tiada kesalahan untuk berusaha mendapatkan nikmat tersebut selagi tidak bertentangan dengan syarak mahupun apa-apa perkara yang boleh mengubah ciptaan-Nya.[2]

Menanam rambut berbeza dengan menyambung rambut yang mana jelas terdapat larangan dalam riwayat hadis, Baginda SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ

MaksudnyaAllah melaknat wanita yang menyambung rambut dan wanita yang minta disambungkan rambutnya.

Riwayat Muslim (5687)

 

Seterusnya, menanam rambut mestilah daripada bahagian rambutnya sendiri kerana tidak dibenarkan menggunakan rambut orang lain. Rambut manusia tidak boleh dijual beli mahupun dimanfaatkan oleh orang lain kerana juzuk anggota anak Adam itu dimuliakan. Hal Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam…

Surah Al-Isra’: (70)

Al-Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam kitabnya Al-Majmu’ bahawa tidak boleh untuk menjual rambut manusia sama ada ia bersambung ataupun terpotong. [3]

Dr. Soleh bin Muhamad al-Fawzan dalam kitabnya al-Jarahah al-Tajmiliyyah   menyatakan tanam rambut adalah ubat untuk kebotakan yang merupakan kecacatan fizikal dan jiwa / emosi. Pesakit mungkin mengalami sakit di kepala akibat keguguran rambut. Namun, pada sudut emosinya merasakan kekurangan terhadap bentuk fizikalnya dan mengundang penghinaan dalam hati orang yang melihat.  Hal ini menyebabkan dia sakit psikologi dan keinginan untuk mengasingkan dirinya daripada orang ramai.  Hal tersebut merupakan alasan untuk membenarkan menjalani pembedahan tanam rambut disebabkan keperluan yang menepati darurat. Hal ini bersesuaian dengan kaedah fiqh berikut : [4]

الْحَاجَةُ تَنْزِلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ عَامَّةً كَانَتْ أَوْ خَاصَّةً

Maksudnya : “Suatu hajat (keperluan) boleh jatuh dalam katogeri  terdesak sama ada ia berbentuk umum mahupun khusus."[5]

Berdasarkan kaedah fiqh tersebut menunjukan jalan keluar daripada

Harus memindahkan  bahagian anggota  manusia ke bahagian lain daripada anggota tubuhnya dengan mengambil kira mendapat  manfaat lebih mengatasi risiko operasi. Pemindahan bahagian anggota dibenarkan dengan syarat  untuk mengantikan organ yang hilang, memulihkan bentuk dan fungsi selain membaiki kecacatan yang hilang (aib) yang boleh memberi kesan kepada fizikal dan  emosi (psikologi) seseorang”   [7]

Keputusan fatwa-fatwa menbenarkan proses menanam rambut bagi mereka yang mengalami keguguran rambut serta mereka yang berimej botak dengan menyatakan syarat-syarat tertentu. Berbalik kepada soalan yang diajukan, isu berkaitan tiada rambut sendiri untuk ditanam dirambutnya, maka alternatif lain adalah menggunakan bahan lain dengan syarat daripada sumber yang suci. Namun haram menggunakan sumber yang haram dan najis seperti bulu khinzir, bulu rambut bangkai atau rambut haiwan yang tidak dimakan dagingnya dan sebagainya.

PENUTUP

Kesimpulannya, setelah meneliti hujah yang dibentangkan, hukum menanam rambut  sintetik dibolehkan bagi tujuan rawatan serta menghilangkan aib  dengan syarat tidak mendatangkan mudarat dan bahan sintetik yang digunakan adalah suci. Namun, haram menggunakan sumber yang najis seperti bulu khinzir, bulu atau rambut bangkai atau rambut haiwan yang tidak dimakan dagingnya dan sebagainya.

Seterusnya, kami menasihati kepada mana-mana doktor kecantikan dan perubatan yang pakar dalam dalam bidang tersebut agar mengenal pasti pelanggan yang datang untuk menanam rambut. Pakar hanya boleh menerima pelanggan yang menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak, iaitu tujuan penyembuhan penyakit atau menghilangkan aib. Manakala, pelanggan yang sekadar menanam rambut demi kecantikan atau menambah kecantikan, maka haram seorang pakar bersubahat terhadap perkara yang melanggar larangan Allah.

 

RUJUKAN

[1] https://www.healthline.com/health/hair-transplant#types

[2] Soleh bin Muhamad al-Fawzan,(2008m)  al-Jarahah al-Tajmiliyyah . Dar at-Tadmuyyah : Riyadh Cet 2. p:152

[3] Al-Nawawi, Muḥyī al-Dīn Yahyā bin Sharf,  (t.t) l-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, jld 9 p: 254)

* وَاحْتَجَّ الْمَانِعُونَ بِأَنَّهُ لَا يُبَاعُ فِي الْعَادَةِ وَبِأَنَّهُ فَضْلَةُ آدَمِيٍّ فَلَمْ يَجُزْ بَيْعُهُ كَالدَّمْعِ وَالْعَرَقِ وَالْمُخَاطِ وَبِأَنَّ مَا لَا يَجُوزُ بَيْعُهُ مُتَّصِلًا لَا يَجُوزُ بَيْعُهُ مُنْفَصِلًا كَشَعْرِ الْآدَمِيِّ

 

[4]Soleh bin Muhamad al-Fawzan,(2008m)  al-Jarahah al-Tajmiliyyah . Dar at-Tadmuyyah  : Riyadh Cet 2. p:153

أن زراعة الشعر علاج للصلع، وهو عيب حسي ومعنوي، فالحسي ما قد يجده من آلام في الرأس بسبب فقد الشعر، والمعنوي ما يحس به من نقص في خلقته وازدراء في قلوب الناس، وهذا يعود عليه بالألم النفسي والرغبة في الانزواء عن الناس، وهذا موجب للترخيص بفعل الجراحة؛ لأنه حاجة، فتَنْزل منزلة الضرورة إعمالا للقاعدة الفقهية (   الْحَاجَةُ تَنْزِلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ عَامَّةً كَانَتْ أَوْ خَاصَّةً )

[5] Al-Suyuti, Jalaluddin (1990), Asybah wa Nadzair, Dar al-Kitab al-Ilmiyah, j :1 p: 88

[6] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10275

[7] https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3584#.YejDXf5Bw2w

 

طباعة