IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-63 : ADAKAH SEMUA AL-NAHY (KATA LARANGAN) BERMAKSUD HARAM

 

IUF63

 

SOALAN

Assalamualaikum Tuan Mufti. Saya ingin bertanya, adakah semua kata larangan yang terdapat dalam al-Quran dan Hadis Nabi SAW membawa kepada pengharaman perbuatan tersebut?.

Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Majoriti ulama berpendapat bahawa lafaz al-Nahy yang tidak diiringi tanda (qarinah) yang mengubahnya kepada maksud yang lain maka menunjukkan kepada makna haram. Sementara itu, bagi lafaz al-Nahy yang diringi dengan tanda (qarinah) yang mengubahnya dari maksud haram kepada maksud yang selainnya, maka maksud lafaz al-Nahy itu akan berubah berdasarkan tanda-tanda yang tertentu.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Dalam ilmu usul fiqh, terdapat perbahasan mengenai satu istilah bernama al-Nahy yang bermaksud larangan. Ia merupakan salah satu perkara yang dibincangkan dalam perbahasan di bawah tajuk cara-cara menetapkan sesuatu hukum dan kaedah-kaedah penemuannya.

Pengertian al-Nahy dari segi Bahasa dan Istilah

Menurut Ibn Manzur kalimah al-Nahy dari sudut Bahasa ialah perkataan lawan bagi al-Amr (kata suruhan). Ia bermaksud menegah atau menahan. Manakala al-Fairuzabadi menyatakan ia bermaksud permintaan untuk menahan dari sesuatu. Menurut ahli ilmu Nahu pula ia bermaksud permintaan untuk meninggal sesuatu perbuatan dengan menggunakan huruf Lam al-Nahiyah (لا) dan huruf terakhir pada perkataan berbaris sukun (mati)  jika ianya sedang atau akan berlaku.

(Rujuk Lisan al-Arab, 15/343 dan al-Mu’jam al-Wasit, 2/960)

Manakala dari sudut istilah syarak ia mempunyai pelbagai definisi yang diberikan oleh para ulama:

Menurut Dr. Muhammad Abu Nur Zuhair, al-Nahy bermaksud percakapan yang meminta untuk meninggalkan (sesuatu perbuatan) dengan menggunakan selain dari lafaz كف )tinggalkan( seperti perkataan ذر (tinggalkanlah) atau دع  (tinggalkan). 

(Rujuk Usul al-Fiqh, 2/177)

Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan pula menjelaskan al-Nahy adalah: permintaan untuk meninggalkan perlakuan sesuatu perbuatan dalam kedudukan yang tinggi (menguasai) dengan lafaz yang menunjukkan ke atas makna itu.

(Rujuk: Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 238)

Faedah, Makna dan Lafaz Al-Nahy

Bentuk lafaz al-Nahy yang menunjukkan ke atas larangan atau tegahan melakukan sesuatu perbuatan itu ialah lafaz (لا تفعل) yang bermaksud “jangan lakukan”. Namun begitu, lafaz ini mempunyai maksud yang pelbagai berdasarkan konteks ayat yang menunjukkan erti ungkapan yang terkandung di dalamnya. Antara maksudnya ialah:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا

Maksudnya: dan janganlah engkau mendekati perbuatan zina.

Surah Al-Isra’ (32)

لا يمسكن أحدكم ذكره بيمينه وهو يبول

Maksudnya: Jangan sesekali seorang pun dari kalian memegang kemaluannya dengan tangan kanannya ketika dia kencing.

Riwayat Muslim (267)

لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِنْ تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ

Maksudnya: Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu.

Surah al-Maidah (101)

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا

Maksudnya: (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami.

Surah Ali-Imran (8)

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَى مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْهُمْ

Maksudnya: Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya.

Surah Taha (131)

وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim.

Surah Ibrahim (42)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَعْتَذِرُوا الْيَوْمَ

Maksudnya: Malaikat itu akan berkata kepada orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka): "Hai orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah kamu menyatakan uzur (dengan meminta ampun) pada hari ini.

Surah al-Tahrim (7)

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa lafaz al-Nahy merupakan suatu kata larangan yang mempunyai pelbagai maksud dan kehendak berdasarkan konteks ayat yang terkandung dalam sesebuah ungkapannya.

Adakah al-Nahy memberikan makna haram?

Ulama usul fiqh mempunyai pendapat yang berbeza-beza mengenai lafaz al-Nahy. Namun begitu, majoriti ulama berpendapat bahawa lafaz al-Nahy yang tidak diringi dengan tanda (qarinah) yang boleh mengubahnya kepada maksud lain maka ianya menunjukkan makna haram. Hal ini sepertimana lafaz suruhan (الأمر) yang menunjukkan kepada penentuan hukum wajib. Oleh yang demikian, lafaz al-Nahy yang tidak disertai dengan tanda yang mengubahnya kepada maksud lain maka ianya membawa maksud haram.  Imam Jamaluddin al-Isnawi ada menukilkan pendapat Imam al-Syafie yang menyatakan bahawa:

وما نهى عنه فهو على التحريم، حتى يأتي دلالة عنه على أنه أراد غير التحريم

Maksudnya: Sesuatu yang dilarang maka ianya bermaksud haram, sehingga terdapat sesuatu yang menunjukkan bahawa ia bermaksud selain dari haram.

(Rujuk: Nihayah al-Sul, 1/435)

Majoriti ulama menyatakan dalil yang menyokong bahawa lafaz al-Nahy membawa maksud haram ialah berdasarkan firman Allah SWT yang berbunyi:

وما نهاكم عنه فانتهوا
Maksudnya: Dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.

Surah al-Hasyr (7)

Imam Jamaluddin al-Isnawi ada menukilkan pendalilan Imam al-Baidawi berdasarkan ayat al-Quran di atas dengan menyatakan bahawa Allah SWT menyuruh hamba-Nya agar meninggalkan segala perkara yang dilarang. Oleh itu, meninggalkan perkara yang dilarang merupakan satu kewajipan. Hal ini kerana ulama usul fiqh bersepakat bahawa lafaz suruhan (الأمر) bermaksud wajib.

(Rujuk: Nihayah al-Sul, 1/435)

 

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, lafaz al-Nahy yang tidak diiringi tanda yang mengubahnya kepada maksud yang lain maka menunjukkan kepada makna haram. Sementara itu, bagi lafaz al-Nahy yang diringi dengan tanda yang mengubahnya dari maksud haram kepada maksud yang selainnya, maka maksud lafaz al-Nahy itu akan berubah mengikut tanda yang mengiringinya. Oleh yang demikian, tidak semua lafaz al-Nahy itu akan membawa maksud haram, akan tetapi perlu melihat kepada konteks sesebuah ayat yang menunjukkan kepada kehendak sesuatu ungkapan.