IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-66: KAEDAH AL-HAJAH TUNAZZALU MANZILAT AL-DHARURAH : DEFINISI DAN DHAWABITH

 

IUF66

 

 

SOALAN

Assalamualaikum. Boleh terangkan kaedah fiqh al-hajah tunazzalu manzilat al-dharurah? Apa maksudnya dan bagaimanakah kita boleh mengaplikasikannya?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Maksud kaedah ini ialah sesuatu yang bersifat keperluan (al-hajah) mengambil hukum darurat yang mengubah hukum asal sesuatu perbuatan. Sepertimana sesuatu perbuatan yang haram diharuskan pada situasi darurat bagi mengelakkan kemudaratan, begitu juga diharuskan bagi sesetengah situasi yang bersifat hajah(keperluan). Hal ini sama ada keperluan itu bagi umum iaitu seluruh manusia atau khusus iaitu golongan-golongan yang tertentu.

Walau bagaimanapun tidak semua keperluan (al-hajah) tersebut boleh mengambil hukum darurat, maka hendaklah dipastikan ia menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh para ulama.

WaAllahu a’lam. 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Imam al-Suyuti memuatkan kaedah ini di dalam kitab al-Asybah wa al-Nadzair dengan maksud dan lafaz seperti berikut:

الْحَاجَةُ تَنْزِلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ عَامَّةً كَانَتْ أَوْ خَاصَّةً

Maksudnya: Sesuatu yang bersifat keperluan (hajat) mengambil hukum darurat sama ada umum atau khusus.[1] (Rujuk al-Asybah wa al-Nadzair, 1:88)

Kaedah ini merupakan salah satu daripada kaedah-kaedah fiqh yang berkaitan dengan tujuan syarak untuk mengangkat kesulitan dan menghilangkan kemudaratan daripada umat Islam. Hal ini dengan cara memberi ruang untuk menempatkan sesuatu al-hajah pada tempat al-dharurah.[2]

Secara umum kaedah ini bermaksud sesuatu keperluan (al-hajah) yang mendesak sama ada bagi umum atau khusus, memberi kesan kepada perubahan hukum sama seperti sesuatu yang bersifat darurat (al-dharurah). Hal itu sepertimana sesuatu perbuatan yang haram diharuskan pada situasi darurat bagi mengelakkan kemudaratan, begitu juga diharuskan bagi sesetengah situasi al-hajah.[3]

Perbezaan Antara Al-Hajah Dan Al-Dharurah

Terdapat perbezaan yang jelas antara keperluan bersifat hajiyyah dengan keperluan yang bersifat dharuriyyah. Keperluan yang bersifat hajiyyah (al-hajah) tidak sama bahkan lebih kurang kebergantungan terhadapnya berbanding keperluan yang bersifat dharuriyyah.

Terdapat tiga peringkat keperluan dan kehendak yang diraikan oleh syarak iaitu pertama dharuriyyah, kedua hajiyyah dan ketiga tahsiniyyah.

Dharuriyyah ialah tahap dimana seseorang jika tidak makan atau melakukan sesuatu perkara yang haram, maka ia akan membawa kepada kehilangan nyawa atau hampir kepadanya.

Manakala, hajiyyah pula ialah tahap dimana seseorang jika tidak makan atau melakukan sesuatu perkara, dia tidak akan kehilangan nyawa namun dia akan menghadapi situasi yang sangat sukar dan berada dalam kesempitan.

Adapun tahsiniyyah ialah tahap dimana seseorang inginkan sesuatu yang berbentuk kehendak dan tambahan bagi kemewahan dan kesenangan kehidupannya. Manakala apa yang selain daripada tiga peringkat ini, maka ia merupakan perhiasan dan lebihan selagimana ia tidak terkeluar daripada keharusan syarak.[4]

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa keperluan seseorang terhadap sesuatu yang bersifat hajiyyah tidaklah sampai seseorang itu kehilangan nyawa sepertimana keperluan dharuriyyah. Namun begitu, jika dia tidak mendapat atau melakukan sesuatu yang bersifat hajiyyah tersebut, ia akan menyebabkan dia berada dalam situasi yang sangat sukar dan berada dalam kesempitan.

Maksud ‘Umum’ Dan ‘Khusus’ Dalam Kaedah

Selain itu, dapat difahami daripada kaedah ini juga bahawa ia terpakai dalam keadaan umum dan juga khusus. Maksud keadaan ‘umum’ dalam kaedah ini ialah keperluan tersebut meliputi seluruh umat Islam. Manakala yang dimaksudkan dengan keadaan ‘khusus’ pula ialah keperluan tersebut hanya kepada golongan-golongan yang tertentu sahaja. Hal ini sepertimana yang dijelaskan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili bahawa:

ومعنى كونها عامة: أن يكون الاحتياج شاملاً جميع الأمة. ومعنى كونها خاصة: أن يكون الاحتياج لطائفة منهم، كأهل بلد، أو حرفة، وليس المراد من كونها خاصة أن تكون فردية إلا نادراً.

Maksudnya: Apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘umum’ tersebut ialah keperluan itu merangkumi seluruh ummah. Manakala, yang dimaksudkan dengan perkataan ‘khusus’ tersebut ialah keperluan itu hanya kepada sebahagian golongan sahaja seperti penduduk sesuatu negeri atau pekerja bagi sesuatu pekerjaan. Tidak dimaksudkan dengan khusus itu kepada individu tertentu kecuali dalam keadaan yang sangat sedikit.[5] (Rujuk al-Qawaid al-Fiqhiah, 1:288)

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa keperluan yang bersifat hajiyyah yang mengambil hukum dharurah itu, sama ada hukum itu umum meliputi seluruh umat Islam atau hanya terpakai kepada sesetengah golongan yang khusus sahaja.

Antara contoh aplikasi kaedah ini ialah sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Suyuti sebagai contoh:

مِنْ الْأَوْلَى: مَشْرُوعِيَّةُ الْإِجَارَةِ، وَالْجَعَالَةِ، وَالْحَوَالَةِ، وَنَحْوِهَا، جُوِّزَتْ عَلَى خِلَافِ الْقِيَاسِ لِمَا فِي الْأُولَى مِنْ وُرُودِ الْعَقْدِ عَلَى مَنَافِعَ مَعْدُومَةِ، وَفِي الثَّانِيَةِ مِنْ الْجَهَالَةِ، وَفِي الثَّالِثَةِ مِنْ بَيْعِ الدَّيْنِ بِالدَّيْنِ لِعُمُومِ الْحَاجَةِ إلَى ذَلِكَ وَالْحَاجَةُ إذَا عَمَّتْ كَانَتْ كَالضَّرُورَةِ.

Maksudnya: Antara contoh yang pertama (bagi umum): Ijarah (sewa), Ja’alah (upah), Hiwalah (pemindahan hutang) dan seumpamanya. Ia diharuskan walaupun ia khilaf dengan qiyas pada contoh yang pertama kerana akad tersebut atas manfaat yang tiada. Manakala contoh kedua kerana ketidaktahuan (barang yang diberikan). Contoh yang ketiga pula kerana ia akad yang mengandungi jual beli hutang dengan hutang. Hal ini kerana ia satu keperluan yang umum bagi manusia kepada akad tersebut dan sesuatu keperluan apabila ia merangkumi semua secara umum, maka hukumnya seperti darurat (al-dharurah).[6] (Rujuk al-Asybah wa al-Nadzair, 1:88)

Manakala contoh bagi yang bersifat khusus ialah diberikan pengecualian dan rukhsah untuk meninggalkan solat berjemaah kepada seseorang jika dia bimbang kehilangan harta bendanya apabila dia berbuat sedemikian. Hal ini seperti situasi seseorang yang mempunyai haiwan tunggangan dan dia tidak mendapati tempat untuk meninggalkannnya dengan selamat. Jika dia meninggalkannya di tempat yang terbuka maka dikhuatiri akan hilang. Maka dalam situasi ini dibenarkan baginya untuk meninggalkan solat secara berjemaah. Ini kerana dalam situasi ini keperluan bersifat hajiyyah (menjaga haiwan tunggangannya) mengambil hukum dharurah.[7]

Walau bagaimanapun, kaedah ini yang umum seperti ini tidak akan terlepas daripada ia digunakan dengan cara tidak sepatutnya.[8] Ini kerana bukan semua perkara yang bersifat hajiyyah itu boleh mengambil hukum sama seperti dharurah, bahkan ia hendaklah diaplikasikan dengan syarat-syarat tertentu. Oleh yang demikian, para ulama mensyaratkan bagi kaedah ini beberapa syarat dan dhawabith (garis panduan) seperti berikut:

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] Al-Suyuti, Jalaluddin, 1990, al-Asybah wa al-Nadzair, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 88.

[2] هذه القاعدة من قواعد رفع الحرج وإزالة الضرر عن الأمّة حيث تفتح باب إلحاق الحاجة بالضرورة. معلمة زايد للقواعد الفقهيّة والأصوليّة، ج7، ص 276.

[3]  ومعنى هذا أنَّ المحظور كما يباح دفعًا للضرر، يباح للحاجة. ، أصول التشريع الإسلامي ص 246.

[4] المراد بالحاجة هنا ما كان دون الضرورة، لأن مراتب ما يحرص الشرع على توفيره للإنسان ثلاث: الأولى: الضرورة: وهي بلوغ الإنسان حداً إذا لم يتناول الممنوع عنه هلك أو قارب، وهذا يبيح تناول الحرام، كما فُصِّل في قاعدة سابقة. الثانية: الحاجة: وهي بلوغ الإنسان حداً لو لم يجد ما يأكله لم يهلك غير أه يكون في جهد ومشقة، فهذا لا يبيح الحرام، ولكنه يسوغ الخروج على بعض القواعد العامة ويبيح الفطر في الصوم .الثالثة: الكمالية أو التحسينية: وهي ما يقصد من فعله نوع من الترفه وزيادة في لين العيش. وما عدا ذلك فهو زينة وفضول دون الخروج عن الحد المشروع.

[5] Al-Zuhaili, Muhammad, 2006, al-Qawaid al-Fiqhiah wa Tatbiquha fi al-Mazahib al-Arba’ah, Dar al-Fikr, Damsyik, jld. 1, hlmn. 288.

[6] Al-Suyuti, Jalaluddin, 1990, al-Asybah wa al-Nadzair, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 88.

[7] يرخص للإنسان أن يتخلف عن الجماعة إذا خاف بذهابه إليها أن يسرق ماله، أو يضيع عليه لوجود الحاجة. وضياع المال في حكم الفوات، كأن يكون عنده دابة ولا يجد مكانا يحفظها فيه، فإن أقيمت الصلاة وتركها فإنّها تضيع فحينئذ يجوز له أن يتخلّف عنها. لأنّ الحاجة تنزّل منزلة الضرورة عامة كانت أو خاصة. (معلمة زايد، ج 7، ص 276)

[8]  كما نبه إلى ذلك الدكتور علي الندوي حيث قال إنّها أصبحت محل الاستغلال بل حجة في الخروج من الحرمة إلى الإباحة لدى كثير من المتفقهين المسايرين للتيارات المعاصرةـ الواقع أنّها لا تقوم مقام الضرورة إلّا في حالات معيّنة. (معلمة زايد، ج 7، ص 276)

[9]