BAYAN AL-FALAK SIRI KE-26 : ULASAN MENGENAI JADUAL WAKTU SOLAT YANG DICETAK SECARA SELA MASA ATAU GABUNG TARIKH DALAM KALENDAR MASIHI

BAYAN FALAK 20 01 01 1

 

Solat adalah  ibadah fardu yang wajib didirkan dalam waktunya yang telah ditetapkan mengikut syari’at Islam. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dan juga hadis Rasulullah SAW. Antara firman Allah SWT adalah:

إِنَّ الصَّلاةَ كانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتاباً مَوْقُوتاً

Maksudnya:Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

Surah al-Nisa’ (103)

Perincian terhadap batas-batas waktu solat pula dijelaskan oleh hadis Rasulullah SAW. Secara khususnya, batas-batas waktu solat ini adalah mengikut pergerakan matahari yang merujuk kepada satu titik tertentu. Antara hadis yang memperincikan batas-batas waktu tersebut:

‌وَقْتُ ‌الظُّهْرِ إِذَا زَالَتِ الشَّمْسُ، وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ. مَا لَمْ يَحْضُرِ الْعَصْرُ، وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ، وَوَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبْ الشَّفَقُ، وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الأَوْسَطِ، وَوَقْتُ صَلَاةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ، مَا لَمْ تَطْلُعِ الشَّمْسُ.

Maksudnya:Waktu Zuhur itu ialah ketika matahari telah condong ke Barat sehingga bayang-bayang orang seperti tingginya selama belum masuk waktu Asar dan akhir waktu Asar itu ialah selama mana belum menguningnya matahari, dan waktu solat Maghrib hingga sebelum hilangnya awan mega merah dan waktu Isya' ialah hingga tengah malam dan waktu subuh mulai dari terbit fajar hingga selama matahari belum terbit.”

Riwayat Muslim (651)

Tuntutan syarak ini adalah bersifat pengekalan sehingga ke akhir zaman sekali pun berlaku proses perubahan sosial dan ‘uruf serta budaya rentetan inovasi dalam kemajuan teknologi. Justeru, segala perubahan kehidupan sosial dan ‘uruf dalam hal ini tidak perlu diambil kira dan ia dikira sebagai faktor perubahan yang terbatal atau tertolak dalam konteks kefarduan lima waktu.

Baru-baru ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) mendapati masih terdapat beberapa  syarikat tertentu yang mencetak takwim waktu solat berdasarkan kaedah yang tidak  menepati garis panduan yang ditetapkan. Justeru, kami telah membuat perbandingan  terhadap waktu solat berdasarkan data rasmi yang diterbitkan oleh PMWP dengan data waktu solat dalam dua naskhah kalendar tahun 2021 yang  diperolehi menerusi edaran yang dikeluarkan oleh surau dan masjid dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Berdasarkan semakan yang dibuat ke atas  jadual waktu solat (bagi Januari dan Mac) dalam dua kalendar yang menggunakan kaedah  gabungan tarikh atau sela hari, didapati terdapat perbezaan yang ketara antara 2 hingga  10 minit di antara waktu solat yang dikeluarkan oleh PMWP. Situasi ini boleh dilihat menerusi perbandingan yang dibuat terhadap jadual waktu solat di antara kalendar berkenaan.

Secara umumnya, data waktu solat bagi setiap negeri dikeluarkan oleh jabatan atau pejabat mufti negeri-negeri. Oleh yang demikian, data berkenaan boleh diperolehi secara terus daripada agensi-agensi tersebut atau daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berfungsi sebagai agensi penyelaras dalam hal ehwal pengeluaran takwim atau jadual waktu solat bagi seluruh Malaysia. Percetakan data waktu solat dalam kalendar masihi atau hijri perlu mematuhi beberapa perkara bagi memastikan cetakan waktu solat tersebut memenuhi kehendak hukum syarak, tepat, betul dan selaras dengan format yang telah ditetapkan oleh pejabat mufti. Sehubungan itu, percetakan data waktu solat yang menggabungkan beberapa tarikh atau sela tarikh sama ada 5 atau 7 hari bagi satu hari adalah tidak dibenarkan. Format asal yang dibenarkan ialah cetakan yang mempunyai tarikh hari ke hari dengan paparan waktu solat dimulai dengan waktu maghrib atau subuh mengikut tarikh hijri ataupun tarikh masihi mengikut jenis takwim yang diterbitkan.

Secara teorinya, hitungan waktu solat bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dibuat berdasarkan titik rujukan iaitu di Kampung Gedangsa (latitud 3° 45’ longitud 101° 23’) yang terletak lebih kurang 70 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur. Penggunaan titik rujukan ini telah diputuskan dan diselaraskan dengan zon waktu solat negeri Selangor, memandangkan kedudukan lokasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berada berhampiran dengan kawasan-kawasan di negeri Selangor. Terdapat beberapa faktor berlakunya perbezaan waktu solat ialah seperti berikut:

  1. Penggabungan tarikh waktu solat dengan mengambil waktu solat yang minimum atau maksimum bagi mewakili satu tarikh sama ada sela masa 2, 5 atau 10 hari.
  2. Penggunaan titik rujukan yang berbeza dengan lokasi rujukan rasmi.
  3. Merujuk kepada sumber yang tidak rasmi walaupun sumber yang rasmi mudah untuk diperolehi sama ada menerusi dalam talian mahupun secara bercetak.
  4. Kaedah hitungan yang berbeza terutama bagi waktu Subuh, Asar dan Isyak.
  5. Kurang memahami konsep dan kaedah hitungan waktu solat yang diamalkan di Malaysia.

Justeru perbezaan ini akan menyebabkan waktu permulaan bagi solat belum berlaku dan mengakibatkan ibadat solat atau ibadah yang berkaitan yang dilakukan tidak sah.  Sehubungan itu, waktu solat yang ideal ialah waktu solat yang menggunakan format cetakan mengikut tarikh harian dan yang dikeluarkan oleh agensi-agensi rasmi seperti PMWP. Ini kerana, penyusunan dan hitungan waktu solat yang digunakan berdasarkan kaedah yang selari hukum fiqh serta disemak dengan beberapa agensi seperti JAKIM dan Jabatan Ukur Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi memastikan waktu solat yang dikeluarkan itu tepat dan mengelakkan berlakunya kekeliruan di kalangan masyarakat.

Kesimpulannya, pemahaman terhadap penentuan waktu solat telah disebut jelas secara qati’ di dalam al-Quran mahupun hadis. Umpamanya, dalam isu penentuan waktu solat, syarak menuntut kesaksian iaitu pemerhatian menggunakan mata kasar terhadap pergerakan matahari bukan menggunakan hisab. Namun demikian, pemerhatian terhadap pergerakan harian matahari ini dilihat sebagai satu kaedah yang rumit disebabkan faktor langit yang tidak bersih dan berawan serta ufuk yang terbatas. Ini menimbulkan kesukaran bagi mendapatkan panjang bayang serta cahaya langit bagi menentukan waktu solat. Justeru, perkiraan waktu bagi pelaksanaan ibadah dilakukan dengan hitungan moden. Seiring dengan itu, perkembangan dalam isu-isu berkaitan waktu solat dikupas mengikut kearifan tempatan bagi sesebuah negara tersebut. Setiap kearifan tempatan ini mempunyai potensi dalam menyelesaikan permasalahan dalam isu yang berkait rapat dengan waktu solat. Justeru, penyelidikan secara mendalam terhadap pelaksanaan kaedah penentuan waktu solat dengan mengambil kira matlamat utama iaitu mengutamakan kebaikan (maṣlaḥah) dan mengelak keburukan (mafsadah) perlu dititik berat bagi mengisi kelompangan yang berkaitan. Keputusan Hakim atau pihak berautoriti dianggap sebagai penyelesai dan mengangkat sebarang khilaf yang berlaku seperti dalam kaedah yang masyhur.

حكم الحاكم يرفع الخلاف

Maksudnya: “Keputusan hakim (pemerintah) mengangkat khilaf”