UCAPAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN SEMPENA PERSIDANGAN ULAMA ASIA TENGGARA 2022

PETALING JAYA, 30 JUN 2022 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Muslim World League (MWL) telah menjemput Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan untuk menyampaikan ucapan sempena Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 yang diadakan pada 30 Jun 2022 bertempat di Sunway Resort, Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Majlis tersebut dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia. Majlis turut dihadiri, YB Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan YB Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary,  Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Persidangan ini juga telah dihadiri 1000 orang peserta daripada kalangan pemimpin, cendekiawan Islam daripada 20 buah negara termasuk Malaysia, ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan dan beberapa orang pegawai PMWP.

Malaysia telah dipilih menjadi tuan rumah walaupun mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa dan agama namun mampu menonjolkan agama Islam sebagai agama yang harmoni, selamat dan sejahtera dalam menyatupadukan masyarakat. Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan turut diberi peluang menyampaikan forum yang bertemakan Perpaduan Islam: Pelbagai Dimensi Dari Sudut Teologi Dan Sosiologi dengan menekankan hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia.