Realiti Perundangan Dalam Pelaksanaan Hudud Di Malaysia

Realiti perundangan menjadi isu tumpuan dalam perbincangan mengenai pelaksanaan hudud di negara ini kerana setiap undang-undang yang diamalkan hendaklah menepati kerangka perundangan. Dalam amalan dunia semasa, manamana negara berdaulat, perjalanan pentadbirannya adalah berlandaskan undangundang dan tidak boleh hanya dengan mengikut kehendak mana-mana pihak yang berkepentingan.

Sekiranya dilihat dari perspektif pentadbiran Islam, setiap aturan masyarakat juga hendaklah bersandarkan tuntutan Islam supaya negara itu teratur dan aman dalam perjalanannya.   

Bagi negara kita Malaysia, kita mempunyai sistem pentadbiran yang bersandarkan kepada prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undangundang. Justeru, apabila membincangkan suatu perkara berkaitan kesalahan dan hukuman atau undang-undang di Malaysia, maka perkara pertama yang perlu diambil perhatian ialah tentang kedudukannya dalam Perlembagaan dan sistem perundangan negara. Makalah ini cuba membawa ke hadapan persoalan ini dan cuba mengetengahkan beberapa isu berkaitan perlembagaan dan undang-undang mengenai kesalahan dan hukuman hudud. Antara persoalan yang saya cuba ketengahkan ialah, adakah wujud halangan atau kekangan dalam pelaksanaan hudud, terutamanya dalam hal berkaitan Perlembagaan Persekutuan. Antara subtajuk yang akan diperhalusi ialah, pertama, sifat keluhuran Perlembagaan; atau sifat Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara. Adakah sifat ini menghalang pelaksanaan hudud? Persoalan kedua berkaitan kedudukan sifat agama bagi negara. Ada hujah yang menyatakan bahawa negara ini negara sekular dan sifat sekular negara menghalang pelaksanaan hudud.   
  
Soalan yang saya cuba jawab ialah, adakah benar negara ini sebuah negara sekular dan seterusnya menjadi penghalang kepada pelaksanaan hudud? Perkara ketiga ialah mengenai sistem demokrasi yang sedang kita amalkan. Adakah amalan demokrasi ini menghalang pelaksanaan hudud dan hendaklah dibubarkan sekiranya kita mahu melaksana hudud? Seterusnya saya membincangkan persoalan pembahagian kuasa perundangan antara persekutuan dan negeri. Isu utama ialah, adakah hudud boleh dilaksana di peringkat negeri; undang-undangnya dibuat oleh Dewan Undangan Negeri dan penguatkuasaannya oleh Negeri dan seterusnya sebarang hal berkaitan pendakwaan dan perbicaraannya dilaksana di Mahkamah Syariah? Atau, adakah hudud boleh dibuat oleh Parlimen, dan seterusnya dikuatkuasa oleh agensi Persekutuan dan didakwa dan dibicara di Mahkamah Sivil? Sebelum saya teruskan dengan perbincangan berkaitan perundangan, kita lihat dahulu sedikit pengenalan mengenai hudud.   

 

Ringkasan Maksud Hudud

Secara harfiah hudud boleh diterjemahkan kepada bahasa Melayu sebagai had-had atau sekatan-sekatan. Dalam istilah perundangan dan bagi tujuan perbincangan ini saya merujuk hudud sebagai kesalahan-kesalahan beserta hukumannya disebut dengan jelas dalam al-Quran atau sunnah. Walaupun terdapat perbahasan fiqh atau tafsiran tentang apakah kesalahan dan hukuman hudud, saya tidak berniat untuk mengulasnya di sini. Cukuplah sekadar pengenalan umumnya sahaja disebut di sini bahawa hudud terdiri daripada tujuh kesalahan yang mana hukumannya didapati sama ada dalam al-Quran sendiri atau bersumber daripada hadis. Kesalahankesalahan tersebut ialah curi, zina, menuduh zina (qazf), rompak, memerangi kerajaan yang sah, riddah dan minum minuman memabukkan. Perincian seterusnya lebih memerlukan perhatian khusus dalam tulisan berlainan.  

 Dalam aspek lain perundangan Islam, hudud juga merujuk kepada had-had tertentu, yang mana, al-Quran melarang perbuatan membunuh dan menyebabkan kecederaan; secara ringkasnya kesalahan yang melibatkan tumpahnya darah. Ini juga adalah had-had atau batasan sistem kehidupan Islam yang dipagari dengan perundangannya. Mengenai perkara ini undang-undang Islam meletakkan kesalahan dan hukuman qisas yang secara harfiah bermaksud balas balik. Maksudnya,  perbuatan jenayah dilakukan seseorang, setelah dibuktikan boleh di‘qisas’kan atau dibalas balik ke atas pelaku itu. Berkaitan dengan qisas ini ialah diyyah atau sejumlah bayaran pampasan bagi kesalahan membunuh atau kesalahan seumpama denda atas kesalahan melibatkan darah seperti membunuh atau mengakibatkan kecederaan.  

Lebih luas daripada maksud hudud dalam perundangan Islam, hudud boleh juga disebut sebagai had-had yang dikenakan dalam cara hidup Islam. Dengan kata lain, hudud merujuk kepada larangan-larangan umum dalam sistem kehidupan yang dianjurkan Islam. Bagi tujuan penulisan ini saya hanya merujuk ‘hudud’ kepada maksud perundangan atau undang-undang jenayah Syariah sahaja dan bukan meliputi sistem kehidupan Islam. Kedua-dua aspek hudud ini (tujuh kesalahan, bunuh dan menyebabkan kecederaan) akan saya huraikan dalam kerangka perundangan kita. Saya mulakan perbincangan dengan membahaskan isu-isu yang ada hubungkait antara hudud, qisas dan diyyat dengan Perlembagaan Persekutuan.  

Hudud dan Perlembagaan Persekutuan   

Persoalan utama di sini ialah adakah Perlembagaan menyediakan ruang untuk pelaksanaan hudud, atau, adakah Perlembagaan meletakkan sebarang halangan atau kekangan kepada pelaksanaan hudud? Bagi menjawab dua persoalan ini, huraian akan diberikan kepada dua perkara yang sering dibawa ke hadapan dalam menolak pelaksanaan hudud. Perkara-perkara tersebut ialah, sifat keluhuran atau ketinggian Perlembagaan, dan kedua, sifat agama Persekutuan. 

 
Hudud dan Sifat Keluhuran Perlembagaan Persekutuan  

Sebagaimana kita maklum, Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara. Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan menyatakan antara lain,   
“Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apaapa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu”. 

Dalam Rukun Negara, kita meletakkan prinsip asas keluhuran Perlembagaan. Sebagai sebuah Perlembagaan bertulis, sifat asasnya ialah, ia menjadi undangundang tertinggi. Kenapa Perlembagaan menjadi undang-undang tertinggi negara? Asalnya ialah untuk membolehkan Perlembagaan menjadi dasar atau manifesto negara dan membolehkan negara yang mengamalkan Perlembagaan tersebut mempunyai suatu penanda aras kepada semua polisi dan perundangan negara. Selain daripada itu, dalam sebuah negara Persekutuan, Perlembagaan hendaklah diisytihar sebagai undang-undang tertinggi negara bagi tujuan perjanjian antara Negeri-negeri dan juga antara Negeri dan Persekutuan. Apa juga konflik atau pertelingkahan akan dirujuk kepada Perlembagaan dan Mahkamah tertinggi akan memutuskan mengenainya. 

Apa yang dimaksudkan dengan sifat ketinggian Perlembagaan ialah setiap undang-undang yang diluluskan oleh mana-mana Dewan Perundangan, sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, hendaklah sentiasa sepadan, selaras dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan. Sekiranya dibuktikan percanggahan dengan Perlembagaan, maka undang-undang itu adalah tidak sah dan terbatal. Dalam perbahasan mengenai hudud, persoalan yang cuba diselesaikan ialah, adakah sifat ketinggian Perlembagaan itu menyebabkan undang-undang hudud tidak sah dan seterusnya tidak boleh dilaksana?  

Kita menerima prinsip asas keluhuran Perlembagaan ini. Sekiranya hudud didapati bercanggah dengan Perlembagaan maka ia tidak sah dan tidak boleh dilaksana. Namun sekiranya hudud selaras dengan Perlembagaan, maka hukum Allah itu boleh diperkenal dan dilaksana dalam sistem dan institusi yang sedang kita amalkan kini. Walaupun kita menerima prinsip ketinggian Perlembagaan, Perlembagaan tidak secara harfiah meletak halangan penggunaan kepada penerimaan dan pemakaian prinsip agama. Selain itu, walaupun Perlembagaan tidak meletakkan secara khusus sumber undang-undang Islam, Perlembagaan tidak mempunyai peruntukan khusus yang menolak sumber perundangan Islam itu. Perlembagaan juga tidak mempunyai peruntukan khusus yang menolak pemakaian prinsip Islam atau menghalang penggunaan prinsip undang-undang Islam yang diterima secara sejagat, seperti prinsip kesaksamaan. Malah, saya percaya, Perlembagaan amat mendokong prinsip ini. Amat jelas, Perlembagaan tidak menggunakan perkataan “sekular” dalam mana-mana peruntukannya.   

Dengan tiadanya peruntukan yang secara harfiah menolak secara total sumber undang-undang Islam dan dengan tiadanya peruntukan berkaitan sifat sekular dalam Perlembagaan, maka kita boleh secara implikasi menyatakan bahawa Perlembagaan tidak menolak atau menghalang penggunaan prinsip Islam yang boleh dimanfaatkan. Dengan tidak adanya deklarasi berkaitan sifat sekular negara, maka sifat ketinggian Perlembagaan itu tidak semestinya menafikan kedudukan agama dan seterusnya menyatakan bahawa sifat ketinggian Perlembagaan itu menjadi kekangan atau halangan dalam pelaksanaan hukum hudud. Sebagai rumusan kita tidak boleh menganggap hudud menyalahi prinsip ketinggian Perlembagaan.  

Sifat Sekular   

Ada yang menghujah bahawa negara ini adalah negara sekular. Kesan daripada hujah ini, maka kesalahan dan hukuman hudud, qisas dan apa juga undang-undang yang mempunyai sifat atau elemen agama tidak boleh dilaksana.   
Sifat sekular negara sebagaimana tafsiran panel hakim dalam kes Che omar Che Soh1 menyebut,  “When the British came… through a series of treaties with the sultans beginning with the Treaty of Pangkor and through the so-called British advice, the religion of Islam became separated into two separate aspects, viz. the public aspect and the private aspect. The development of the public aspect of Islam had left the religion as a mere adjunct to the ruler's power and sovereignty. The ruler ceased to be regarded as God's vicegerent on earth but regarded as a sovereign within his territory. The concept of sovereignty ascribed to humans is alien to Islamic religion because in Islam, sovereignty belongs to God alone. By ascribing sovereignty to the ruler, i.e. to a human, the divine source of legal validity is severed and thus the British turned the system into a secular institution. Thus all laws including administration of Islamic laws had to receive this validity through a secular fiat”.

Beberapa pihak memetik keputusan kes Che Omar Che Soh ini sebagai hujah bahawa  negara ini adalah negara sekular. Sebenarnya saya ragu-ragu dengan ketepatan hujah yang menggunakan keputusan ini sebagai menyatakan tentang sifat sekular negara. Ini kerana keputusan kes ini tidak menyebut tentang negara sekular, tetapi sistem yang digunakan di negara ini sekular setelah British menjadikan institusi raja sebagai ‘sovereign’ dan prinsip ‘sovereignty’ ini bercanggah dengan hukum Islam dan undang-undang yang diluluskan menerusi cara sekular. Ternyata, keputusan tersebut tidak menggunakan istilah ‘secular state’ atau negara sekular.  

Adakah kita pasti bahawa sistem perundangan kita sekarang keseluruhannya bercanggah dengan sistem Islam dan secara implikasinya menjadikan negara ini negara sekular? Kita perlu berfikir panjang mengenai perkara ini kerana tidak semua sistem perundangan kita bercanggah dengan Islam. Sesungguhnya sistem demokrasi itu walaupun bukan sepenuhnya mendapat mandat Islam, tetapi tidak semuanya tidak Islamik. Apabila ada persamaan, adakah ia keseluruhannya sekular? Jawapan saya, ia bukan sekular, tetapi tidak sepenuhnya memenuhi tuntutan ajaran Islam.  
 Persoalan kedua, sekiranya mahu meraikan keputusan kes Che Omar Che Soh, adakah kita boleh dan patut mengambil pendekatan implikasi tentang sifat sekular negara? Pendekatan implikasi ini tidak sebenarnya tepat. Hujah saya ialah, Perlembagaan secara jelas dan nyata, meletakkan tanggungjawab ke atas Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara Islam dalam pemerintahannya. Walaupun kita belum menghuraikan tentang maksud memelihara Islam itu, yang jelasnya, agama Islam mendapat tempat bukan sahaja dalam Perkara 3, tetapi yang lebih kukuh ialah dalam Jadual Keempat berkenaan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong itu. Oleh itu pendekatan implikasi yang diambil daripada tafsiran hakim ini lebih rapuh berbanding peruntukan jelas dan nyata dalam sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong di dalam Perlembagaan sendiri.  

Satu lagi hujah saya mengenai keputusan Che Omar Che Soh ini ialah, walaupun dihujahkan bahawa instusi Raja Melayu telah dijadikan British sebagai kuasa utama, tetapi kuasa institusi raja itu tertakluk kepada Perlembagaan. Dan sebagaimana dihujahkan di atas, bahawa Perlembagaan, walaupun mempunyai sifat ketinggian, tidak pula meletakkan peruntukan khusus menolak kedudukan agama atau prinsip agama.  

Berkaitan hudud, persoalannya sekarang, disebabkan tidak ada deklarasi bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular, tetapi keputusan kes tersebut menyatakan tentang sifat sekular institusi dan proses perundangannya, maka, sekiranya hudud diluluskan melalui sistem sekular ini, adakah hudud boleh menjadi tidak sah? Jawapan saya ialah, hudud adalah sah sehinggalah ia dibuktikan bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan.  Sekiranya tidak dapat dibuktikan bahawa hudud itu bercanggah dengan Perlembagaan, maka, ia adalah undang-undang yang sah walaupun ia diluluskan oleh institusi perundangan yang dikatakan ‘secular fiat’. Kita mengambil prinsip keluhuran Perlembagaan yang juga disebut dalam kes Che Omar Che Soh.   

Selain daripada keputusan kes Che Omar Che Soh, hujah tentang sifat sekular negara juga sering dikaitkan dengan kenyataan Tunku Abdul Rahman dalam Kertas Putih dan juga kenyataan Hakim Abdul Hamid, ahli Suruhanjaya Reid ketika menulis pendapat berasingan yang memberikan sokongan untuk memasukkan peruntukan mengisytiharkan Islam sebagai agama bagi negara ini. 

Persoalan yang ingin saya timbulkan di sini ialah, sekiranya kita merujuk kepada sejarah dan kedudukan agama Islam di negara ini, adakah kenyataan Tunku dan kenyataan Hakim Abdul Hamid itu benar? Negara ini pada setiap masa tidak pernah menolak agama Islam. Walaupun dikatakan undang-undang Islam terpinggir, terutamanya undang-undang jenayah, tetapi masyarakat awam di negara kita tidak pernah menolak kewujudan agama bahkan agama sentiasa mendapat tempat bukan sahaja dalam hal-hal formal, seperti perundangan, malah juga perkara sosial. Sekiranya dikatakan ia adalah negara sekular, tidak mungkin ada cadangan dalam Memorandum Parti Perikatan dan Parti PAS kepada Suruhanjaya Reid yang mahukan kedudukan Islam dijamin dalam perundangan selepas merdeka.   
 Selain daripada itu, perspektif sejarah juga jelas. Tiada fakta yang diterima umum menunjukkan negara ini adalah negara sekular dalam erti kata negara menjurus kepada falsafah yang memisahkan agama atau menafikan agama daripada perundangan dan juga sistem sosialnya. Apa yang jelas ialah, dalam Perlembagaan Negeri Johor (1895) dan Perlembagaan Negeri Terengganu (1911) adalah dengan jelas disebut bahawa negeri-negeri Melayu tersebut adalah negerinegeri “Islamiyyah Malayuwiyyah”.  

Hujah yang lain, setelah kemerdekaan, sifat sekular negara juga boleh dinafikan dengan adanya Perkara 3 dan beberapa peruntukan lain dalam Perlembagaan yang meletakkan agama Islam di tempat yang sangat selesa seperti dalam lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana disebut dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan yang saya telah sebutkan di atas. Oleh itu, hujah untuk menolak hudud kerana negara ini sekular bukanlah satu hujah yang kukuh. Perkara 3(1)  Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan Islam sebagai agama bagi negara ini. Sekiranya dilihat secara keseluruhan, Perkara 3 ini adalah peruntukan umum yang meletakkan sifat Perlembagaan dari sudut kedudukan agama.   
 Berkaitan hukum jenayah, kesan kepada Perkara 3 ini, sebagaimana yang cuba dihujahkan oleh peguam  dalam kes Che Omar Che Soh ialah untuk menjadikan suatu hukuman (dalam kes ini hukuman mati mandatori) itu tidak sah sekiranya bertentangan atau menyalahi hukum yang dianjurkan Islam. Dalam penghakiman kes ini, ada disebut,   

“It is the contention of Mr. Ramdas Tikamdas that because Islam is the religion of the Federation, the law passed by Parliament must be imbued with Islamic and religious principles and Mr. Mura Raju, in addition, submitted that, because Syariah law is the existing law at the time of Merdeka, any law of general application in this country must conform to Syariah law”. 

Panel hakim walau bagaimanapun memutuskan, “Needless to say that this submission, in our view, will be contrary to the constitutional and legal history of the Federation and also to the Civil Law Act which provides for the reception of English common law in this country”.   
 Sebelum daripada petikan ini, hakim menyatakan bahawa sekiranya diniatkan oleh penggubal Perlembagaan untuk memberikan maksud sebenar “Islam” yang merupakan agama yang lengkap, iaitu satu cara hidup yang juga menyediakan undang-undang jenayah, maka, “there would have been another provision in the Constitution which would have the effect that any law contrary to the injunction of Islam will be void”. Dalam konteks ini, boleh dihujahkan bahawa tafsiran Perkara 3 sebagaimana dalam keputusan kes Che Omar Che Soh ini tidak mesra kepada pelaksanaan hudud.   
 Walaupun begitu, sebagaimana yang saya sebut di awal tadi, Perkara 3 adalah peruntukan umum yang meletakkan sifat agama kepada Perlembagaan. Perkara 3 ini bukanlah satu-satunya peruntukan Perlembagaan yang mesra Islam. Masih terdapat lagi ruang untuk kita menerima kesalahan dan hukuman hudud menerusi Perlembagaan. Kita boleh menghujah untuk lebih mesra kepada hudud dengan meletakkan hudud di bawah tiket undang-undang jenayah secara umum, bukan melabelkannya sebagai undang-undang Islam.     
                                                
Hudud dan Demokrasi   

Negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Pemilihan pemimpin dilakukan menerusi pilihan raya yang berpaksi kepada parti-parti politik. Tiada kriteria khusus sebagaimana kehendak Islam mengenai calon-calon mereka yang dipilih sebagai calon pilihan raya dan seterusnya menjadi perwakilan di Dewan Perundangan. Namun, umumnya budaya memerlukan keperibadian tinggi seseorang adalah penting.  
 Berkaitan hudud dan demokrasi, perlukah kita membubarkan sistem demokrasi dan menjadikan negara ini sebuah negara Islam untuk melaksanakan hudud sepenuhnya? Ada yang beranggapan bahawa pelaksanaan jenayah Syariah memerlukan pemansuhan sistem demokrasi. Ia juga dikatakan memerlukan pindaan Perlembagaan bagi menjadikan negara ini sebagai sebuah negara Islam dan seterusnya mengamalkan sistem mutlak berdasarkan agama Islam atau theocracy. Dan, dihujahkan lagi, sistem demokrasi berparlimen pula tidak boleh dipinda kerana sistem demokrasi adalah sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan.     Dalam konteks ini kita lihat demokrasi itu sendiri. Walaupun perbincangan mengenai Islam dan demokrasi ini panjang, saya cuba ringkaskan dengan merujuk kepada perkara yang perlu sahaja dalam perbahasan hudud ini. Seperti yang telah saya nyatakan di atas, demokrasi tidak semuanya bercanggah dengan prinsip Islam, walaupun terdapat perbezaannya. Islam mementingkan engagement atau mesyuarat, bahkan dalam beberapa keadaan Islam mewajibkan mekanisme ini bagi kepentingan masyarakat, bukan sahaja masyarakat Islam, tetapi keharmonian negara keseluruhannya. Islam mementingkan keadilan dan kesaksamaan. Islam tidak pernah meletakkan kuasa eksklusif atau mutlak kepada manusia, tetapi menetapkan had-had tertentu supaya sistem yang dimahukan manusia itu tidak mendatangkan keburukan atau kemudaratan kepada mereka. Bukankah demokrasi juga begitu? Demokrasi mementingkan pendapat umum. Demokrasi juga menggalakkan engagement. Demokrasi juga menolak kuasa mutlak kepada individu atau kelompok tertentu.   

Perbezaan antara Islam dan demokrasi ialah mengenai sumber hukum dan falsafah. Walaupun demokrasi yang kita ada ini bukan bersumber atau berfalsafah agama, kita boleh mencorakkannya supaya bertepatan dengan kehendak kita berdasarkan sistem perundangan negara. Atas dasar beberapa persamaan objektif antara Islam dan demokrasi itu (dan saya tidak nafikan adanya perbezaan antara keduanya), sebuah negara yang mengamalkan demokrasi masih berpeluang, secara sah untuk melaksanakan undang-undang jenayah Syariah tanpa perlu membubarkan demokrasi atau tanpa perlu mengisytiharkan sifat negara sebagai negara Islam. Kita tidak perlu meminda Perlembagaan untuk memasukkan peruntukan bahawa negara ini negara Islam. Walaupun sebagai orang Islam sudah tentu kita lebih teruja, sekiranya dapat, dengan perubahan itu.   

Namun, kita hendaklah menerima hakikat bahawa secara praktikalnya agak payah untuk kita meminggirkan sistem yang telah sekian lama diterima masyarakat. Perubahan mendadak yang meminggirkan sistem dan fahaman semasa berpotensi untuk menyebabkan berlakunya huru hara. Ini sudah tentu tidak disokong oleh sistem Islam.  Pengalaman dunia telah banyak untuk kita menilainya. Kita boleh menjadikan tragedi-tragedi di peringkat antarabangsa sebagai sempadan dan tauladan dalam apa juga perubahan besar yang kita mahu lakukan kepada sistem negara.   
 Dalam konteks demokrasi dan undang-undang jenayah, kita perlu faham bahawa antara tujuannya ialah untuk mewujudkan peraturan dalam sistem sosial masyarakat bagi menjaga keharmonian masyarakat. Undang-undang jenayah menentukan perkara yang tidak boleh dilakukan oleh anggota masyarakat serta hukuman yang boleh dikenakan bagi menjaga keharmonian, kestabilan dan keteraturan sistem sosial. Maka, dalam sistem demokrasi, segala apa yang dianggap boleh menjejas atau menggugat keadaan sosial masyarakat boleh dijadikan kesalahan jenayah. Oleh itu, ia bergantung kepada falsafah negara itu sendiri. Dalam falsafah negara kita yang meletakkan kedudukan agama pada tempat yang selesa yang mana kita meletakkan kepercayaan kepada tuhan, kita mementingkan kesetiaan kepada raja dan negara, kita meletakkan Perlembagaan sebagai sumber undang-undang, kita mendaulatkan undang-undang dan kita juga menjaga kemoralan. Walau pun begitu, setakat ini belum ada hujah yang menyatakan bahawa sesuatu undang-undang itu tidak sah kerana ia bercanggah dengan falsafah negara. Tetapi kita dapati beberapa keputusan kes telah meletakkan falsafah negara sebagai elemen penting dalam mentafsir undang-undang. Walaupun kita belum berhadapan dengan hujah ini, penting untuk kita penuhi kehendak falsafah negara kerana kita tidak mahu nanti undang-undang itu ditolak oleh masyarakat. Oleh itu, sekiranya tujuan undang-undang jenayah Syariah ini menepati falsafah negara, maka ia adalah undang-undang yang boleh disesuaikan dengan sistem demokrasi yang sedang kita amalkan ini.   

Mengenai proses penggubalan, sesuatu undang-undang akan sah beroperasi sekiranya ia melalui proses perundangan yang diiktiraf dalam demokrasi. Oleh itu, sekiranya rang undang-undang jenayah Syariah ini melalui proses perundangan yang diisytiharkan oleh Perlembagaan dan diluluskan berdasarkan kepada sistem perundangan dalam sistem demokrasi yang kita amalkan ini maka ia akan menjadi undang-undang yang sah. Setelah menepati kesemua prosedur demokrasi tersebut, undang-undang jenayah Syariah ini boleh dilaksanakan tanpa perlu menukar identiti negara. Kita tidak perlu bubarkan demokrasi.   

Hudud dan Pembahagian Kuasa Perundangan   

Sebagaimana kita maklum, Perlembagaan membahagikan kuasa legislatif kepada Persekutuan dan juga Negeri.5 Pembahagian kuasa ini menjadikan Islam, termasuk undang-undang-undang jenayah Islam sebagai urusan negeri-negeri, manakala urusan berkaitan pentadbiran keadilan secara umum, termasuklah pewujudan kesalahan jenayah dan prosedurnya di bawah kuasa legislatif Persekutuan.  Setakat ini, oleh kerana pembahagian kuasa, maka terdapat empat kesalahan hudud telah dibuat oleh Dewan Undangan Negeri. Kesalahan-kesalahan tersebut ialah, zina, menuduh zina, minum arak dan murtad. Empat kesalahan ini dianggap sebagai kesalahan terhadap perintah agama Islam dan hanya terpakai ke atas orang Islam. Tiga kesalahan hudud yang lain, iaitu curi, rompak dan memerangi kerajaan sah telah disebut dalam Kanun Keseksaan, iaitu satu undang-undang di peringkat Persekutuan yang diterima pakai ke atas semua pihak. Begitu juga dengan kesalahan membunuh dan menyebabkan kecederaan. Keduanya ini terdapat dalam undang-undang Persekutuan. Sekiranya kita boleh menerima kesalahan-kesalahan tersebut sebagai kesalahan umum bagi semua rakyat Malaysia, perubahan yang perlu dilakukan untuk meletakkan hukuman hudud dan seterusnya menjadikan kesalahan-kesalahan yang ada di bawah undang-undang Persekutuan ini sebagai jenayah umum.   
Hudud sebagai Undang-Undang Jenayah Umum  

Sekiranya hudud dilabelkan sebagai undang-undang jenayah umum, dan membebaskan hudud daripada sekatan undang-undang yang bersumberkan agama Islam, maka hudud boleh digubal oleh Parlimen. Dari perspektif Perlembagaan, tiada halangan untuk Parlimen menggubal undang-undang hudud di bawah tiket "undangundang jenayah". Asalkan sahaja ia adalah berkaitan dengan mana-mana perkara yang disebut dalam Senarai Persekutuan. Perkara ini agak jelas sebagaimana disebut dalam Butiran 4(h) Senarai Persekutuan, pada Jadual Kesembilan. Tiada sekatan yang diletakkan ke atas Kuasa Parlimen bagi tujuan “Pewujudan kesalahan berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan atau yang diperkatakan oleh undang-undang persekutuan;”   

Senarai Persekutuan begitu luas untuk merangkum kesalahan-kesalahan hudud seperti Hirabah, mencuri, al-baghy, zina, qazf, riddah dan minum arak atas sebab falsafah undang-undang jenayah berkaitan ketenteraman atau keselamatan awam. Lebih daripada itu kita perlu selaraskan falsafah undang-undang jenayah yang sedang kita amalkan di Mahkamah Sivil bagi mengembalikannya kepada falsafah jenayah sebagaimana kehendak hukum Allah itu; terutamanya berkaitan maqasid Syariah yang mempertahan kedudukan agama, akal, keturunan, harta dan kehormatan. Ini juga bagi memudahkan kita untuk menyelaraskan tuntutan Syariah dengan peruntukan Perlembagaan, terutamanya dalam menggariskan hukuman bagi kesalahan riddah, dan minum arak yang sentiasa sahaja dihujah dan dikaitkan dengan kebebasan beragama atau kebebasan individu.  

Dengan lebar dan luasnya kuasa Parlimen (dengan sedikit persediaan berhujah mengenai falsafah undang-undang jenayah) berkaitan penggubalan undang-undang jenayah serta hukumannya, maka lebih sesuai untuk hudud (kesalahan dan hukuman) digubal oleh Parlimen dan seterusnya dilaksana di peringkat Persekutuan berbanding di peringkat negeri.    

Dewan Undangan Negeri, Mahkamah Syariah dan Hudud   

Perlembagaan tidak menyekat Dewan Undangan Negeri daripada menggubal undang-undang hudud di bawah tiket “kesalahan-kesalahan terhadap perintah Islam”. Frasa ini begitu luas sehingga mencakupi semua perkara yang dikatakan sebagai jenayah menurut perspektif hukum syarak. Sudah tentu ia juga merangkum hudud. Walaupun tiada halangan bagi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang hudud, kesukaran perundangan mungkin berlaku apabila Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan meletakkan tiga syarat utama ke atas kuasa dan bidang kuasa negeri. Pertama, dalam kes-kes melibatkan kesalahan berkaitan perintah agama Islam, Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang-orang Islam; kedua,  mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa ke atas perkara yang tiada dalam Senarai Persekutuan dan; ketiga, Perlembagaan membenarkan Parlimen untuk menggubal undang-undang berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah.   

Kesukaran pelaksanaan hudud sekiranya dibicarakan di Mahkamah Syariah ialah berkaitan pihak-pihak yang terlibat dalam kes tersebut. Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa berkaitan kesalahan ke atas orang-orang Islam sahaja. Sekiranya hudud perlu dilaksanakan juga ke atas orang bukan Islam maka bidang kuasa Mahkamah Syariah terhadap pihak bukan beragama Islam memerlukan pindaan Perlembagaan. Kita mengambil perhatian tentang kedudukan fiqh mengenai persoalan sama ada hudud terpakai ke atas orang bukan Islam atau tidak, maka kemungkinan perkara ini bukan merupakan persoalan besar sekiranya kita mengambil pendekatan hudud hanya melibatkan orang Islam.  
  
Dalam Butiran 1 Senarai Negeri,  Jadual Kesembilan, Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa tetang “pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan;”. Dengan adanya peruntukan ini, beberapa kesalahan hudud, (seperti yang telah saya sebutkan tadi) berada dalam undang-undang Persekutuan. Maka ia agak payah untuk dimasukkan dalam undang-undang negeri dengan kewujudan frasa ini.   
 
Satu perkara lagi ialah, disebut dengan jelas dalan Butiran 1 tersebut bahawa mahkamah Syariah “tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan”. Walaupun belum ada tafsiran Mahkamah mengenai frasa Perlembagaan ini, atas peruntukan inilah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan) 1984 yang meletakkan bidang kuasa mahkamah Syariah berkaitan hukuman kepada 3 tahun penjara, 5 ribu ringgit denda dan 6 sebatan telah digubal oleh Parlimen. Akta ini adalah halangan nyata bagi mahkamah Syariah dalam melaksanakan hudud. Dalam konteks ini halangan Perlembagaan tidak berlaku di peringkat penggubalan hudud oleh Dewan Undangan Negeri tetapi halangan diwujudkan oleh Akta 1965 dan Perlembagaan membuka ruang kepada halangan ini.  

Proses Pelaksanaan Kesalahan dan Hukuman Hudud   

Dalam pelaksanaan hukum hudud, kita memerlukan undang-undang prosedur dan dalam perbicaraan kes hudud, kita memerlukan undang-undang keterangan. Keduadua jenis undang-undang ini boleh diluluskan oleh badan perundangan berkaitan. Penguatkuasaan hudud perlu dilakukan oleh agensi penguatkuasa yang layak dan mampu. Sekiranya di peringkat Persekutuan, maka penyiasatan dilakukan oleh pasukan Polis, dan Pejabat Peguam Negara melaksanakan tanggungjawab berkaitan pendakwaan dan seterusnya perbicaraan di Mahkamah Sivil. Bagi proses penyiasatan dan pendakwaan ini, sekatan atau halangan perundangan tidak begitu ketara. Sebagaimana diperuntukkan bawah seksyen 3 dan 20 Akta Polis, tugas penguatkuasaan undang-undang yang sah beroperasi adalah tanggungjawab Polis dan begitu juga tanggungjawab Pejabat Peguam Negara sebagaimana kehendak Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.  

 Sekiranya kita mengambil pendekatan hudud sebagai urusan negeri, komplikasi dari segi penguatkuasaan akan menjadi lebih ketara kerana bidang kuasa negeri yang terhad. Ini belum lagi mengambil kira proses pentadbiran lain, seperti pengendalian orang tertuduh serta penyampaian saman kepada saksi. Walau apapun urusan teknikal, proses pelaksanaan ini boleh difikirkan setelah kita selesai dan mencapai kata sepakat dan muktamad dalam menentukan kedudukan substantif hudud dan kedudukannya dalam konteks Perlembagaan dan falsafah perundangan negara. Kita baharu sahaja bermula pada tahap pertama dalam proses yang panjang dan mencabar. Perincian teknikal boleh dilakukan setelah urusan falsafah ini selesai.   

 

Penutup

Secara keseluruhannya dapatlah disimpulkan bahawa Perlembagaan tidak meletakkan halangan yang muktamad bagi pelaksanaan hudud, sama ada dari segi penggubalan undang-undang (substantif, prosedur atau keterangan) atau juga dari segi institusi pelaksana. Dengan kata lain Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai peruntukan khusus yang menafikan ruang penggubalan dan pelaksanaan hudud di negara ini.   
 Menerusi peruntukan Perlembagaan adalah difahami bahawa kemungkinan untuk penggubalan hudud boleh berlaku di peringkat perundangan negeri dan juga Persekutuan. Namun begitu walaupun kedua-dua peringkat Badan Perundangan mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang hudud, Badan Perundangan di peringkat Persekutuan, iaitu Parlimen didapati sebagai kompeten dan lebih berkesan. Ini kerana kuasa Parlimen berkaitan pengwujudan kesalahan dan hukuman begitu jelas sekali. Namun, kita mempunyai masalah dalam memahami dan mengubah falsafah undang-undnag jenayah dalam sistem sivil dan kesukaran mengubah fahaman atau falsafah semasa untuk kita masukkan falsafah jenayah Syariah.   

Sekiranya hudud ini mahu dibuat di peringkat negeri, kita mungkin menghadapi pelbagai komplikasi undang-undang, terutamanya dari segi kuasa Dewan Perundangan Negeri dan juga bidang kuasa Mahkamah Syariah. Mungkin juga soal keberkesanan dalam pelaksanaan undang-undang itu juga perlu diambil berat. Pertama, dari segi keseragaman undang-undang antara negeri-negeri. Kedua dari segi institusi pelaksana, seperti agensi penguatkuasaan, pendakwaan dan juga mahkamah. Keberkesanan sesuatu undang-undang, hudud tidak terkecuali, berkait rapat dengan kecekapan institusi penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan. Sekiranya dibicarakan di mahkamah Syariah, komplikasi terzahir dari sudut jumlah hukuman yang tidak selaras dengan hukuman hudud, melainkan kita mengubah peruntukan berkaitan bidang kuasa hukuman Mahkamah Syariah. Selain daripada itu, hudud ini akan hanya terpakai kepada orang Islam, serta hanya melibatkan kesalahan yang tidak ada dalam Senarai Persekutuan. Walaupun Perlembagaan secara umumnya tidak menyekat Badan Perundangan Negeri daripada menggubal kesalahan berkaitan perintah agama Islam dan hudud ini merupakan sebahagian daripada perintah agama Islam, perkara-perkara berkaitan juga hendaklah diambil berat kerana ia akan mendatangkan reputasi negatif terhadap hukuman jenayah Syariah khususnya dan seterusnya memberi kesan buruk kepada kedudukan agama Islam umumnya.  

Sekiranya kita mengambil pendekatan memperkenalkan hudud sebagai undang-undang jenayah umum dengan meletakkannya di bawah bidang kuasa Parlimen, maka perkara pokok yang perlu diusahakan ialah dengan menjelaskan falsafah undang-undang jenayah Syariah supaya boleh dirangkum di bawah Senarai Persekutuan dan seterusnya mewujudkan deraf undang-undang berkenaan hudud (substantif, prosedur dan keterangan) yang mantap.   

Oleh :   Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti A. Aziz  
Panel Jawatankuasa Pemikir Isu Islam Semasa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan