Utusan Online : Ateis Melayu makin ramai

 

GOLONGAN ateis dalam kalangan masyarakat Melayu semakin bertambah hingga Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mewujudkan sebuah unit khusus dalam memberi bimbingan serta memantau penularan keadaan tersebut.

Pegawai Unit Konsultasi Akidah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Mohamad Razif Mohamad Fuad berkata, Unit Konsultasi Akidah telah diwujudkan setahun lalu dengan fokus utama untuk membantu golongan itu kembali kepada akidah Islam yang sebenar.

“Golongan ateis semakin ramai, unit ini bertujuan untuk memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada mereka yang terlibat terutamanya orang Melayu beragama Islam.

“Kami mengalu-alukan mereka yang terjebak dengan fahaman tersebut untuk mengikuti sesi bimbingan, diskusi dan khidmat nasihat yang dikendalikan pegawai-pegawai yang bertauliah,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Mohamad Razif berkata, pendekatan yang digunakan untuk membantu golongan tersebut bukan satu tugas yang mudah kerana pegawai perlu memahami perkara logik yang sering dimainkan oleh golongan itu.

Oleh demikian, pihaknya menyarankan golongan pendakwah agar mempersiapkan diri dengan pengetahuan mendalam dan cara-cara lebih proaktif untuk menarik kembali golongan tersebut kembali ke jalan Islam.

Menurutnya, sebahagian pendakwah kita sedikit lemah menterjemahkan pemahaman al-Quran dan hadis kepada perkara-perkara logik, yang bersangkut dengan persoalan-persoalan di bangkitkan golongan ateis.

“Jadi kita perlu perkasa kan pendakwah kita, agar mereka mampu menerangkan dengan penerangan lebih intelektual berpandukan al-Quran dan hadis,” katanya lagi.

Mohamad Razif berkata, setakat ini kebanyakan individu yang datang ke unit tersebut adalah atas kerelaan sendiri. Tambahnya, tiada paksaan dan proses bimbingan dilaksanakan berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.

“Mereka yang hadir akan dibimbing melalui proses konsultasi selain butiran peribadi akan diambil namun semua itu tertakluk kepada persetujuan kedua belah pihak,” jelasnya.

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ateis-melayu-makin-ramai-1.713147#ixzz5M8LRup22
© Utusan Melayu (M) Bhd