QALAM MUFTI #52: MENJADIKAN SIRAH RASULULLAH SEBAGAI IKTIBAR

qalam mufti rasulullah ssebagai iktibar.JPG

 

Pada petang yang mulia ini, 10 November 2019 bersamaan 13 Rabiul Awwal 1441 Hijrah, kami terbaca kisah Nabi SAW dari Surah al-Hujurat, dalam Tafsir al-Maraghi. Kami tertarik dengan hakikat binaan bilik-bilik bagi para isteri Nabi SAW. Kami nukilkan di sini, kenyataan tersebut:

Al-Hujurat (الحُجُرَات) atau al-Hujrat (الحُجْرَات) adalah bentuk jama’ daripada perkataan al-Hujrah (الحُجْرَة), yang ertinya sebidang tanah yang dibatasi. Sedangkan maksud di sini ialah bilik-bilik isteri-isteri Nabi SAW. Mereka ada sembilan orang yang masing-masing mempunyai bilik sendiri, dibuat daripada pelepah tamar yang mana pada pintu masing-masing ditutup dengan selembar kain daripada bulu hitam. Bilik-bilik itu tidak tinggi dan dapat disentuh atapnya dengan tangan.

Namun, pada masa pemerintahan al-Walid ibn Abd al-Malik, beliau telah mengarahkan agar bilik-bilik itu dimasukkan ke dalam masjid Rasulullah SAW. Hal ini menyebabkan ramai yang menangis.

Sa’id ibn Musayyab pada waktu itu berkata: “Sesungguhnya aku ingin sahaja mereka membiarkan bilik-bilik itu tetap dalam keadaannya yang asli, biarlah penduduk Madinah berkembang dan orang dari seluruh pelosok datang lalu melihat keadaan Rasulullah SAW dalam hidupnya. Supaya perkara itu menjadi pelajaran yang dapat membuat orang untuk berzuhud, dan tidak bermegah-megah dan saling berlumba dalam kehidupan dunia.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 13/6486)

Itulah Bait al-Nabawi yang berada di puncak kebahagiaan hidup sehingga apa yang disebut Baiti Jannati terpakai dalam kehidupan Rasulullah SAW dengan penuh mawaddah, mahabbah dan rahmah.

Semoga ia akan menginsafkan kita di atas kurniaan nikmat Allah yang begitu banyak kepada kita. Justeru, marilah sama-sama kita mensyukuri nikmat Allah. Kami akhiri dengan doa Nabi Sulaiman AS:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".

Surah al-Naml (19)