BAYAN LINNAS SIRI KE-178: HUKUM PESAKIT YANG MENJALANI RAWATAN DIALISIS DI SIANG HARI RAMADHAN

rawatan dialisis ramadhan.JPG

 

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dirafa’kan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Telah sampai ke meja kami satu persoalan berhubung status puasa pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis. Isu ini merupakan hal yang amat penting untuk dibincangkan kerana ianya masalah yang berulang pada setiap kali Ramadhan. Perdebatan isu ini sentiasa berlaku antara pendapat yang mengatakan batal puasa dengan sebab rawatan dialisis dan pendapat yang sebaliknya. Ia kadang-kadang menjadi hangat dan kritikal apabila kenyataan yang boleh melukakan maruah serta keluar dari garis adab khilaf.

Justeru, kami mengambil kecaknaan dalam isu ini dan telah merujuk kepada ahli ikhtisas dari kalangan pakar perubatan untuk mendapat satu kenyataan yang tuntas dengan makrifat yang sebenar. Kajian ini menggabungkan antara kajian maktabi dan lapangan. Selepas hampir sebulan, makanya Alhamdulillah kami dapat menerbitkan Bayan Linnas pada kali ini. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini sebagai Hukum Pesakit yang Menjalani Rawatan Dialisis di Siang Hari Ramadhan.

Kami juga mengambil kesempatan untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada pakar yang terlibat serta Unit Buhuth, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) yang bertungkus lumus membuat kajian dan semakan dengan sebaik mungkin dalam isu ini. Kami katakan jazakumullahu khairal jaza’. Semoga ia memberi sebuah jawapan yang tuntas dan menjawab persoalan kepada kita semua dalam melayari bahtera kehidupan mengikut neraca Syarak terutamanya kepada pesakit yang terlibat secara langsung dalam rawatan dialisis.

 

Latarbelakang

Maklumat yang telah kami perolehi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, bilangan pesakit yang menerima rawatan dialisis adalah seramai 39,711 orang.[1] Daripada jumlah tersebut, 35,781 (90%) menerima rawatan hemodialisis (HD) dan 3,930 (10%) orang menerima rawatan dialisis peritoneal (PD). Melihat kepada peratusan ini, dapat disimpulkan bahawa majoriti pesakit buah pinggang di Malaysia menjalani rawatan HD dan cuma sebahagian kecilnya menjalani rawatan PD.

Secara asasnya, orang yang berpuasa dibolehkan berbuka jika seseorang itu sakit. Ianya boleh sahaja datang dalam bentuk penyakit yang memudaratkan pesakit atau yang menyebabkan penderitaan yang teruk. Walau bagaimanapun, seseorang yang menderita kesakitan wajib berbuka sekiranya bimbang penyakit itu membahayakan dirinya.

Firman Allah SWT:

وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”

                                               (Surah al-Baqarah: 185)

Syeikh Tahir Ibn Asyur berkata: “Orang yang sakit adalah yang berubah daripada keadaan stabil pada tabi’inya, membawa kepada fizikalnya demam, sakit atau lumpuh. Para fuqaha’ telah khilaf dalam menentukan sakit yang mewajibkan berbuka. Adapun sakit pada ghalibnya menyebabkan pesakit tidak mampu berpuasa dan jika meneruskannya boleh membinasakannya, maka tiada khilaf dia harus berbuka bahkan wajib berbuka. (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/162)

Timbul isu di sini, bagaimana pula dengan keadaan pesakit yang menjalani rawatan dialisis di siang hari Ramadhan? Bolehkah mereka berpuasa seperti orang biasa yang lain? Hal ini akan dikupas dengan terperinci dalam Bayan Linnas kali ini.

 

Jenis-Jenis Rawatan Dialisis

Dialisis merupakan suatu proses pembersihan darah yang dilakukan dengan menggunakan mesin dialisis bagi menjalankan fungsi yang sama seperti buah pinggang manusia yang sihat. Proses dialisis biasanya dilakukan untuk membuang sisa-sisa metabolisma dan lebihan cecair agar tidak terkumpul di dalam tubuh serta menjaga tubuh badan supaya sentiasa berada dalam keadaan yang seimbang. Terdapat dua cara yang biasa dijalankan iaitu:

 

Pertama: Peritoneal Dialysis (PD)

Kaedah dialisis ini memerlukan cecair dialisis dimasukkan ke dalam rongga peritoneum di perut (ruang abdomen) melalui tiub khas (Tenchoff catheter) yang dimasukkan secara kekal melalui prosedur pembedahan kecil. Selaput atau membran yang menyelaputi perut (peritoneum) membolehkan bahan kumuhan dan cecair yang berlebihan diserap daripada darah ke dalam cecair dialisis. Cecair ini kemudiannya dibuang daripada badan secara berkala.

nkf-pd-image-1.jpg

Sumber gambar: https://nkf.org.my/kidney-transplant/peritoneal-dialysis/

Terdapat dua jenis PD :

       a. Continous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD)

CAPD memerlukan 4 atau 6 pertukaran (exchanges) sehari di rumah, tanpa penggunaan mesin. Proses ini boleh dilakukan oleh pesakit sendiri. Pertukaran (exchanges) adalah satu proses di mana air dialisis yang steril dimasukkan ke dalam abdomen dan apabila dikeluarkan, ia turut membawa bahan kumuhan dan lebihan air dari badan. Cecair dialisis dibiarkan di dalam rongga ini selama 4 hingga 6 jam, seterusnya dikeluarkan dari abdomen serta digantikan dengan cecair dialisis yang baru.

 

       b. Continuos Cycling Peritoneal Dialysis (CCPD)

CCPD dilakukan di rumah menggunakan mesin yang dipanggil cycler. Cycler mampu membuat pertukaran selama 8 hingga 10 jam lamanya, biasanya pada waktu malam semasa pesakit sedang tidur.

 

Kedua: Hemodialysis (HD)

Buah pinggang tiruan (haemodialyzer) disambung dengan mesin penapis yang berfungsi untuk membuang sisa kotoran dan cecair yang berlebihan dari badan. Prosedur ini dijalankan oleh unit khas (unit hemodialisis) di hospital dan mengambil masa 4 jam ke 5 jam setiap sesi (3 sesi seminggu). Pesakit akan memerlukan fistula supaya darah dari badan dapat mengalir ke buah pinggang tiruan. Pakar bedah akan membuat fistula ini dengan menyambungkan salur darah arteri dengan vena sehingga menjadi salur darah vena menjadi lebih besar dan seakan-akan seperti salur darah arteri.[2]

P14T4_Haemodialysis.jpg

Sumber gambar: http://www.myhealth.gov.my/hemodialisis/

Definisi al-Jauf

Perbincangan berkenaan hukum dialisis semasa puasa tidak dapat dipisahkan dengan perbahasan isu jauf kerana ia melibatkan tebukan/pembedahan kecil sebagai prosedur wajib rawatan ini. Oleh itu, kami mulakan dengan definisi jauf di sisi mazhab Syafie. Jauf sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Ruslan adalah:

وكُـــلِّ عَـيْــنٍ وَصَــلَــتْ مُـسَـمَّــىجَـــوفٍ بِمَـنْـفَـذٍ وذِكْــــرِ صَــوْمَــا

كالـبَـطْـنِ والـدِّمَــاغِ ثـــم الـمُـثُــنِودُبُــــــرٍ وبـــاطِــــنٍ مِـــــــن أُذُنِ

Maksudnya: “Setiap sesuatu ‘ain (zat) yang sampai kepada yang disebut # rongga melalui saluran terbuka dan dalam keadaan ingat (hendaklah dia menahan itu semua, iaitu jangan sampai masuk) # (Rongga tubuh itu) seperti perut, otak, kemudiannya pundi kencing # Dan (lubang) dubur dan bahagian dalam telinga.“ (Lihat al-Zubad fi Fiqh al-Islami, m. 156)

Ibn Ruslan berkata: Tidak mengapa sampai minyak ke dalam rongga atau perut (jauf) dengan sebab diserap melalui bulu roma. Begitu juga tidak membatalkan puasa dengan makan kerana terlupa sekalipun banyak. (Lihat Ghayah al-Bayan Syarh Zubad Ibn Ruslan, hlm. 232)

Jauf sepertimana yang disebut oleh Imam al-Ramli dalam Ghayah al-Bayan iaitu syarah bagi matan Zubad ialah perut, otak, pundi kencing, lubang dubur dan bahagian dalam telinga. Justeru, jika sesuatu ‘ain itu sampai kepada jauf melalui saluran yang terbuka, maka batallah puasanya. Tetapi, jika sampai melalui saluran yang tidak terbuka, maka tidak batal seperti:

  1. Minyak yang sampai kepada jauf melalui serapan daripada lubang pori-pori (liang roma).
  2. Kepala atau perut yang disapu minyak dengan sesuatu akhirnya masuk ke dalam.
  3. Celak yang dipakai pada mata kemudian terdapat rasa celak pada tekak. (Lihat Ghayah al-Bayan, hlm. 302)

Sebahagian ulama menyatakan bahawa luka juga dikategorikan sebagai saluran yang terbuka manakala sebahagian yang lain menyatakan ia tidak memberi kesan apa-apa kepada puasa kerana ia bukanlah saluran terbuka secara asal. Pendapat ini disebutkan dalam Jurnal Majma’ al-Fiqh al-Islami, 10/652)

 

Adaptasi Fiqh (Takyif Fiqhi) bagi HD

Persoalan berkenaan HD adalah isu kontemporari yang tidak dibincangkan oleh para ulama’ terdahulu. Dalam hal ini, terdapat dua jenis belahan yang dilakukan iaitu belahan pertama yang selari dengan permasalahan bekam kerana melibatkan pengeluaran darah dan belahan kedua kerana penambahan darah melalui saluran urat. Para ulama’ berbeza pandangan tentang hukum berbekam di siang hari Ramadhan samada membatalkan atau tidak.

Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan #60: Hukum Berbekam & Menderma Darah Ketika Berpuasa, kami cenderung kepada pendapat jumhur ulama iaitu Malikiyyah, Syafi’iyyah dan Hanafiyyah yang mana mengatakan bahawa berbekam itu tidak membatalkan puasa. Pun begitu, ianya dianggap makruh di sisi ulama’ Syafi’iyyah dan Malikiyyah. (Lihat al-Mabsut, 3/57; al-Mudawwanah al-Kubra, 1/198; Mughni al-Muhtaj, 1/431)

Antara dalil-dalil yang dinyatakan adalah:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم احْتَجَمَ وَهُوَ صَائِمٌ

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi SAW berbekam dan pada ketika itu Baginda sedang berpuasa.”

                                                Riwayat al-Bukhari (1337)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Adapun hijamah atau berbekam mengikut pendapat jumhur adalah tidak batal secara mutlak. Sedangkan pendapat Saidina Ali, Atha', al-Auza'ie, Ahmad, Ishaq dan Abi Thaur adalah batal. Mereka berpendapat wajib qadha' bahkan Atha' memberi pendapat dikenakan kafarah. Beliau berkata dengan pendapat Ahmad, daripada al-Syafi'iyyah iaitu Ibn Khuzaimah, Ibn al-Munzir, Abu al-Walid al-Naisaburi dan Ibn Hibban. Imam al-Tirmizi menukilkan daripada al-Za'farani bahawa Imam Syafie telah menta'liq pendapat tentang kesahihan hadis tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 4/174)

أَكُنْتُمْ تَكْرَهُونَ الْحِجَامَةَ لِلصَّائِمِ على عهد النبي صلى الله عليه وسلم؟ قَالَ: لَا، إِلَّا مِنْ أَجْلِ الضَّعْفِ

Maksudnya: Adakah kamu memakruhkan berbekam bagi orang yang sedang berpuasa?” Jawab Anas bin Malik RA: “Tidak, kecuali jika ia boleh melemahkan (tubuh badan)”.

Riwayat al-Bukhari (1940)

Berdasarkan nas ini bahawa berbekam tidaklah membatalkan puasa.

 

Adaptasi Fiqh (Takyif Fiqhi) bagi PD

Persoalan berkenaan PD juga adalah isu kontemporari yang tidak dibincangkan oleh para ulama’ terdahulu. Pun begitu, terdapat permasalahan berkenaan rawatan yang melibatkan rongga (mudawah al-ja’ifah) yang dibincangkan para ulama’ dalam kalangan empat mazhab untuk diqiyaskan dalam isu ini. Secara asasnya, terdapat dua pandangan bagi hukum rawatan yang melibatkan rongga ini samada membatalkan puasa atau tidak.

 

Pertama: Membatalkan Puasa

Jumhur ulama’ iaitu para ulama’ Hanafiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah berpandangan bahawa ianya membatalkan puasa. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Kasani, Imam al-Mirghinani, Imam al-Syirazi, Imam al-Nawawi dan Imam al-Mardawi. (Lihat Bada’i al-Sana’i, 2/93; al-Hidayah Syarh al-Hidayah, 1/125; al-Muhazzab, 1/182; al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/330; al-Insaf, 3/299)

Antara dalil-dalil yang dinyatakan adalah dinyatakan sebuah athar daripada Ibn Abbas:

إِنَّمَا الفطر مِمَّا دَخَلَ وَلَيْسَ مِمَّا خَرَجَ

Maksudnya: “Bahawasanya dikira batal puasa atas apa yang masuk, bukan apa yang keluar.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (8042)

Kaedah ini bersifat aghlabiyyah, bukan kulliyyah. Inilah pendapat kebanyakan ulama'.

 

Kedua: Tidak Membatalkan Puasa

Ini adalah pandangan para ulama Malikiah. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Sahnun dan Imam al-Dardir. (Lihat al-Mudawwanah al-Kubra, 1/533; al-Syarh al-Kabir, 1/ 533)

Antara dalil yang dinyatakan adalah ubat-ubat tersebut tidak sampai kepada bahagian makanan dan minuman. Jika tidak dimasukkan, pesakit akan mati pada saat itu. (Lihat al-Syarh al-Kabir, 1/ 533)

Guru kami menyebut: “Manakala suntikan melalui urat pula tidak membatalkannya kerana ia bukan ruang yang terbuka dan begitulah seterusnya.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/342)

 

Pandangan Para Ulama’ Berhubung Status Puasa Pesakit yang Menjalani Dialisis

Setakat kajian yang kami jalankan, ada institusi yang memfatwakannya secara umum tanpa meletakkan hukum yang berbeza kepada PD dan HD. Ada juga yang membezakan hukumnya kerana jenisnya yang berbeza.

Pertama: Membatalkan Puasa

Kami mulakan dengan institusi dan para ulama’ yang memfatwakan kedua-dua jenis dialisis sebagai membatalkan puasa.

Ini kerana, darah yang dimasukkan setelah ia dicuci dengan menggunakan mesin (alat khas) akan sampai ke rongga perut dan seterusnya ke perut dan kemudian akan diproses untuk sampai ke seluruh badan. Untuk rawatan PD, tiub akan dimasukkan yang dinamakan catheter ke dalam ruang perut. Selain daripada itu, ianya akan memberikan tenaga kerana kemasukan air glukosa.

Kedua: Tidak Membatalkan Puasa

Disenaraikan di sini institusi dan tokoh ulama’ yang memfatwakan kedua-dua jenis dialisis sebagai tidak membatalkan puasa.

Dalilnya adalah ianya diqiyaskan kepada hukum berbekam yang dipegang oleh jumhur ulama’. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Siyam, hlm. 269). Ubat yang dimasukkan dalam darah ketika proses dialisis pula tidak bertujuan untuk mengenyangkan sebaliknya untuk tujuan rawatan.

 

Tarjih

Setelah melihat kepada kedua-dua hujah dan dalil, makanya kami cenderung kepada pendapat bahawa secara umumnya, rawatan dialisis di siang hari Ramadhan tidak membatalkan puasa. Ini kerana:

Pertama: Hadith yang digunakan bagi menunjukkan pesakit dialisis batal puasa iaitu (إِنَّمَا الفطر مِمَّا دَخَلَ وَلَيْسَ مِمَّا خَرَجَ):

  1. Berstatus dhaif dan tidak sahih. Pada sanadnya terdapat perawi yang tidak dikenali. Kedhaifannya telah dinyatakan oleh para a’immah antaranya al-Zaila’i dalam Nasb al-Rayah (2/453).
  2. Di samping itu kami katakan ia termasuk dalam aghlabiyyah bukan kulliyyah.
  3. Begitu juga al-Hafiz Ibn Hajar selepas menyebut hadith yang hijamah membatalkan puasa telah menyebut hadis yang tidak membatalkan puasa.

Kedua: Apa yang difahami dengan membatalkan puasa bukanlah apa yang sampai kepada mana-mana rongga tetapi apa yang sampai kepada ruang penghadaman untuk makanan dan minuman. Hakikat rawatan dialisis tidak sampai kepada perut.

Ketiga: Sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali, para sahabat sentiasa mengalami luka-luka (terutamanya dalam perang) dan mereka mengubati luka mereka. Nabi SAW tidak sama sekali mengingatkan mereka bahawa puasa mereka batal atas tindakan mereka. Umum mengetahui juga bahawa tidak dibenarkan melewat-lewatkan penjelasan (sehingga keluar) daripada waktu yang diperlukan. (Lihat al-Mustasfa min Usul al-Fiqh, hlm. 192)

Keempat: Para ulama’ Syafi’iyyah mempunyai tiga pendapat dalam pengunaan jarum suntikan (al-ibrah) ketika berpuasa (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 452). Mereka bersepakat hukumnya harus sekiranya darurat. Tetapi mereka berbeza pendapat pada batal ataupun tidak puasa:

  1. Penggunaan jarum suntikan membatalkan puasa secara mutlak kerana ianya menyampaikan ‘ain kepada jauf.
  2. Penggunaan jarum suntikan tidak membatalkan puasa secara mutlak kerana ianya tidak melalui saluran yang terbuka. Ini merupakan pendapat yang ditegaskan oleh mantan Syeikh al-Azhar, Syeikh Bakhit al-Muti’i.
  3. Penggunaan jarum suntikan sekiranya memberi khasiat, maka batal puasa. Sekiranya tidak, terdapat dua pandangan:
    1. Sekiranya ia dalam urat-urat yang berongga, batal puasa.
    2. Sekiranya ia dalam otot, iaitu urat yang tidak berongga, tidak batal puasa.

Inilah pandangan yang dipegang oleh Syeikh Abdul Aziz ibn Abdullah ibn Baz, al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth wa al-Ifta’ dan selainnya. Ulama’ Syafi’iyyah kontemporari seperti al-Habib Ahmad bin Umar al-Syatiri berpandangan, suntikan membatalkan puasa secara ijmak. (Lihat Syarah al-Yaqut wa al-Nafis, hlm. 2308). Dengan penuh keinsafan, tanpa mengurangi sedikit pun penghormatan kami kepada ulama’, kami berpendapat isu ini boleh didiskusikan semula oleh para ulama’ kini kerana ia berbeza dengan apa yang dinyatakan oleh Al-Habib Hasan bin Ahmad bin Muhammad Al Kaff dalam al-Taqrirat al-Sadidah.

Kelima: Terdapat kajian perubatan yang mengesahkan bahawa pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis boleh meneruskan puasa mereka tanpa sebarang mudarat yang besar. Kajian ke atas pesakit HD oleh beberapa pengkaji melaporkan komplikasi pesakit-pesakit HD yang berpuasa dari segi fizikal (contohnya tekanan darah dan berat badan). Didapati keputusan darah menunjukkan garam potassium sedikit tinggi. Namun pesakit dinasihatkan supaya mengawal pengambilan makanan yang tinggi potassium terutamanya semasa berbuka.[4] Untuk pesakit PD pula, kajian tidak menunjukkan mudarat besar kepada pesakit untuk berpuasa dengan syarat mendapat perhatian dari pihak doktor dan keadaan klinikalnya stabil.[5]

Keenam: Kami cenderung untuk menggunakan kaedah ulama Syafi’iyyah yang digunapakai bagi pendapat no. 4 (b). Dalam isu dialisis (HD dan PD), kami melihat bahawa ianya tidak membatalkan puasa secara mutlak dengan syarat ia dilakukan kerana darurat. Antara hujah kami adalah:

  1. Bagi HD, hukumnya sama seperti berbekam dengan kami berpegang kepada jumhur ulama’.
  2. Bagi PD, ‘ain atau air glukosa tersebut tidak melalui saluran yang terbuka pada asalnya. Pembedahan atau saluran terbuka yang dibuat oleh doktor itu adalah pada lapisan peritoneum (dinding perut) sahaja dan tidak sampai ke ruang jauf di sisi Syafi’iyyah seperti yang difahami oleh para ulama’ yang menghukumkan batalnya puasa mereka yang menjalankan PD.
  3. Catheter yang dimasukkan ke bahagian peritoneum sama sekali tidak masuk ke ruang Mantan Mufti Besar Mesir iaitu Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’i menegaskan bahawa suntikan di bawah kulit tidak membatalkan puasa berdasarkan kesepakatan mazhab yang empat, baik suntikan itu untuk rawatan atau mengenyangkan ataupun untuk pembiusan, dan di mana saja dari zahir badan kerana suntikan ini sama sekali tidak menyampaikan sesuatu ke dalam rongga dari jalur yang biasa. Kalaupun kita katakan sampai maka hanya sampai (ke dalam rongga) melalui liang roma kulit, tempat sampai melalui liang roma itu tidak di namakan jauf ataupun pada kedudukan jauf. Liang roma kulit tidak termasuk dalam saluran terbuka secara uruf dan adat. (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 1/93)
  4. Walaupun air glukosa di dalam PD yang berfungsi untuk mengeluarkan air daripada badan pesakit melalui proses osmosis berpotensi untuk memberikan jumlah tenaga yang sama seperti pesakit mengambil oral glukosa, kesannya berbeza kepada setiap individu. Kajian oleh Al-Wakeel J. juga menunjukkan bahawa rawatan PD tidak membawa mudarat besar kepada pesakit untuk berpuasa dengan syarat mendapat perhatian dari pihak doktor dan keadaan klinikalnya stabil. Apapun, ianya bergantung kepada pesakit dan nasihat doktor. Ini sebagaimana kaedah fiqh:

الحُكْمُ يَدُوْرُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُوداً وَعَدَماً

Maksudnya: Sesuatu hukum itu tertakluk kepada kewujudan atau ketiadaan ‘illahnya.

 

  1. Kami menganggap rasa lapar dan dahaga bukanlah alasan (illah) tetapi hikmah dalam pensyariatan puasa kerana jika dianggap sebagai illah, itu adalah sesuatu yang subjektif bagi setiap individu. Ada yang boleh bertahan tanpa berbuka puasa dan ada yang sebaliknya.

 

Kesimpulan

Kami mulakan dengan kaedah ulama’ yang masyhur:

أَحْكَامُ الشَّارِعِ مُعَلَّلَةٌ بِالأَسْبَابِ مُرْتَبِطَةٌ بِالمصَالِحِ

Maksudnya: Hukum-hukum syarak itu diillahkan dengan sebab-sebab, diikat dengan maslahat-maslahat.

Ertinya, tidak boleh menetapkan hukum atas sesuatu berdasarkan zahir ianya sunnah atau tidak semata-mata, sebaliknya melihat kepada maslahat suatu perkara itu. Begitu juga, hukum Syarak sentiasa mempunyai maslahat yang terkadang-kadang tidak dijangkaui oleh akal dan mantiq manusia, tetapi dapat dikesani dengan suluhan yang sentiasa memahami nilai tinggi Syariat.

Kami menegaskan bahawa pandangan yang kami pegang ini hanya terpakai untuk orang yang berada dalam keadaan darurat sahaja dan sangat memerlukan rawatan PD. Adapun selain daripada pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan PD, maka dihukumkan batal puasa. Adapun berkaitan rawatan HD, tidak batal puasa pesakitnya. Amat wajar meminta pandangan dan nasihat daripada pakar samada untuk meneruskan puasa atau tidak dan jangan hanya mengambil keputusan dalam keadaan tidak ada sebarang bentuk kejelasan atau pengetahuan.

Dengan jawapan ini, akan memberi peluang dan ruang kepada umat Islam yang ditimpa ujian rawatan ini untuk meneruskan puasa mengikut kadar kemampuan mereka dengan perasaan yang tenang serta yakin dengan mengharapkan penerimaan ibadat puasa mereka yang menatijahkan taqwa. Sesungguhnya rahmat Allah SWT amat luas kepada hamba-Nya yang ingin mengabdikan diri kepada-Nya kerana mencari keredhaan-Nya. Kami menutup perbahasan ini dengan berdoa kepada Allah:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami;”

Surah al-Baqarah (286)

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.

 

Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
25 Mei 2019 bersamaan 20 Ramadhan 1440 Hijrah.

 

 

Nota Hujung:

[1] Data yang dicatatkan sehingga Disember 2016. [http://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Rujukan/NCD/National%20Strategic%20Plan/act_kid-1-min.pdf] Berdasarkan perkembangan mutakhir ini, makanya sudah barang tentu berlaku peningkatan pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis.

[2] Lihat juga Hemodialisis di portal rasmi Kementeri Kesihatan Malaysia. [http://www.myhealth.gov.my/hemodialisis/]

[3] Nama sebenarnya Thabit al-Bunaniy, seorang tabi;in, muhaddith yang thiqah, menetap di Basrah. Beliau cintakan al-Quran dan membaca setiap hari dan malam. Sentiasa berpuasa serta berguru dengan Anas bin Malik R.A hampir empat puluh tahun. Meninggal usia pada usia 86 tahun sebelum wabak taun dua tahun. (Lihat ar.wikipedia.org/wiki/ثابت_البناني)

[4] Wan Md Adnan WA, Zaharan NL, Wong MH, Lim SK. The effects of intermittent fasting during the month of Ramadan in chronic haemodialysis patients in a tropical climate country. PLoS One. 2014 Dec 29;9(12):e114262. doi: 10.1371/journal.pone.0114262. eCollection 2014. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/25546434

[5] Al Wakeel J, Mitwalli AH, Alsuwaida A, et al. Recommendations for fasting in Ramadan for patients on peritoneal dialysis. Perit Dial Int. 2013;33:86-91. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3598257/