BAYAN LINNAS SIRI KE-180: FIQH JALAN RAYA SEMPENA HARI RAYA

 fiqh jalan raya poster.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Adat orang Melayu pulang ke kampung ketika menjelang musim perayaan seperti Aidilfitri adalah satu adat yang baik. Namun, matlamat yang baik tersebut – yang sepatutnya dihiasi dengan kegembiraan bersama ahli keluarga – dibimbangi bertukar menjadi tragedi akibat kecuaian sesetengah pemandu jalanraya ketika dalam perjalanan pulang.

Justeru, atas kecaknaan tersebut, dalam isu Bayan Linnas pada kali ini, kami bawakan perbincangan berkenaan Fiqh Jalan Raya Sempena Hari Raya. Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada semua serta meningkatkan sikap berhemah ketika perjalanan ke kampung halaman.

 

Kemalangan Jalan Raya Pada Musim Perayaan

Kita dapati isu kemalangan jalan raya pada setiap kali musim perayaan masih lagi membelenggu pengguna jalan raya di negara ini. Lebih membimbangkan statistik kemalangan dan angka kematian sentiasa meningkat saban tahun. Jika berlaku penurunan sekalipun, ia sekadar dalam peratusan yang amat rendah. Situasi sebegini menyebabkan pihak berkuasa terutamanya Polis Di Raja Malaysia (PDRM) terpaksa mengadakan kempen yang agresif demi memastikan jumlah kemalangan dapat diturunkan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador memaklumkan, laporan statistik Op Selamat 13/2018 mencatatkan, sebanyak 22,411 kes kemalangan dilaporkan berbanding Op Selamat 11/2017 dengan 22,402 kes, sekaligus mencatatkan peningkatan sembilan kes iaitu 0.04 peratus. Walau bagaimanapun kadar kemalangan maut menunjukkan penurunan sebanyak empat kes (1.7 peratus), manakala bagi kes kematian pula menurun sebanyak sembilan kes (3.5 peratus).[1]

Ini menunjukkan, kempen yang agresif dalam Op Selamat 13/2018 oleh PDRM berjaya memberi impak yang berkesan dalam menurunkan kadar kematian dalam kalangan pengguna jalan raya. Sehubungan dengan itu, kami berkeyakinan tinggi jika semua pihak turut membantu menjayakan kempen yang dilaksanakan oleh pihak PDRM tersebut, maka sudah barang tentu angka kemalangan dan kematian maut akan dapat diturunkan secara lebih signifikan.

Justeru, kami mengambil inisiatif menggarap artikel ini bagi menjelaskan isu-isu berkaitan jalan raya menurut perspektif fiqh Islam. Moga-moga ia dapat dihadamkan oleh para pengguna jalan raya demi kemaslahatan kita bersama. Ringkasnya, topik-topik yang akan dibincangkan adalah seperti berikut:

 

Takrif Fiqh dan Jalan Raya

Fiqh dari segi bahasa membawa maksud: Mempunyai ilmu terhadap sesuatu dan memahaminya. Akan tetapi penggunaannya di dalam al-Quran menunjukkan bahawa fiqh itu merupakan kefahaman yang mendalam. Imam al-Baidhawi mendefinisikan fiqh dari sudut istilah dengan katanya: Ilmu berkenaan hukum-hakam syarak yang bersifat amali atau praktikal yang diambil dari dalil-dalil tafsili (bersifat juz’i). (Lihat Minhaj al-Usul oleh al-Baidhawi, hlm. 22)

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jalan raya ialah jalan yang besar dan bertar. Sekarang ini, terdapat highway atau lebuhraya yang lebih selesa untuk memandu dengan kelengkapan dan kemudahan yang disediakan seperti RnR yang merangkumi pelbagai bentuk keperluan pemandu seperti makan minum, tandas, surau, petrol pam dan lain-lain.

 

Persediaan Diri Sebelum Memulakan Perjalanan

Pertama, sebagai seorang muslim, kita dituntut untuk mempersiapkan diri dengan amalan-amalan sunnah serta mengetahui adab-adab musafir sebelum memulakan perjalanan. Ini bagi memastikan permusafiran kita mendapat keredhaan dan keberkatan Allah SWT.

Sebaiknya sebelum melakukan perjalanan, hendaklah memperbaiki niat serta tujuan musafir kerana Allah SWT. Ini seperti hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

أَنَّ رَجُلاً قَالَ : يَا رَسُولَ اللهِ ، إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُسَافِرَ فَأَوْصِنِي ، قَالَ : عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ ، وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ ، فَلَمَّا أَنْ وَلَّى الرَّجُلُ ، قَالَ : اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ ، وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ.

Maksudnya: Bahawasanya ada seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku hendak berjalan jauh. Maka berilah wasiat kepadaku. Baginda bersabda, Engkau hendaklah bertakwa kepada Allah dan bertakbir ketika menaiki di tempat yang tinggi. Kemudian ketika orang itu ingin pergi, Baginda SAW berdoa untuknya: Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya, dan mudahkanlah perjalanannya.”

Riwayat al-Tirmizi (3445)

Syeikh al-Mubarakfuri yang mensyarahkan hadith ini menyatakan ia merupakan pesanan supaya orang yang bermusafir itu:

Kedua, melakukan solat sunat dua rakaat sebelum memulakan perjalanan dengan mengharapkan kemudahan di sepanjang perjalanan. Ini seperti yang diajar Baginda SAW ketika mana hendak melakukan sesuatu pekerjaan, sebaiknya mengerjakan solat sunat dua rakaat terlebih dahulu. Hadith daripada Jabir RA, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ يُعَلِّمُنَا الاِسْتِخَارَةَ فِي الأُمُورِ كُلِّهَا كَالسُّورَةِ مِنَ الْقُرْآنِ  

Maksudnya: Nabi SAW mengajar kami melakukan Solat Istikharah sebelum melakukan setiap perkara sepertimana Baginda mengajar surah dari al-Quran.

Riwayat al-Bukhari (6382)

Ketiga, membaca doa sebelum keluar rumah untuk bermusafir dan mengharap pertolongan daripada Allah SWT. Ini kerana doa merupakan senjata bagi orang yang beriman. Hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, Sabda Nabi SAW:

مَنْ قَالَ - يَعْنِي إِذَا خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ - بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ ‏.‏ يُقَالُ لَهُ كُفِيتَ وَوُقِيتَ ‏.‏ وَتَنَحَّى عَنْهُ الشَّيْطَانُ

Maksudnya: Barang siapa yang berkata (iaitu apabila ia keluar rumah):

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

“Dengan Nama Allah, aku bertawakkal kepada-Nya dan tiada tipu daya dan kekuatan melainkan daripada Allah.”

Maka akan dikatakan kepadanya (iaitu para malaikat mendoakannya) sesungguhnya kamu akan dicukupi dan akan dilindungi, dan syaitan akan menjauhkan daripadanya.

Riwayat al-Tirmizi (3426)

 

Keempat, berdoa apabila menaiki kenderaan untuk memulakan perjalanan. Doa adalah satu ibadah menzahirkan keberhajatan seseorang hamba kepada Allah SWT. (Lihat al-Azkar oleh al-Nawawi, hlm. 395) Imam al-Khattabi dalam mendefinisikan doa menyebut: “Doa adalah permohonan untuk pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba kepada Tuhannya. Hakikat doa itu adalah menzahirkan kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri kepada Allah yang di dalamnya terpateri pengagungan terhadap Allah SWT dan mengiktiraf sifat kemuliaan dan pemurah-Nya.” (Lihay Sya’n al-Dua’, hln. 4)

Terdapat beberapa doa yang diajar oleh Rasulullah SAW apabila seseorang itu ingin bermusafir. Antaranya adalah seperti yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA, beliau berkata: “Adapun Rasulullah SAW apabila Baginda duduk di atas tunggangannya dengan tujuan untuk keluar bermusafir, Baginda akan bertakbir sebanyak tiga kali (Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!). Kemudian Baginda akan berdoa:

سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا، وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

Maksudnya: “Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah! Kami mohon kepada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan ia dikira sebagai amalan yang Engkau redhai. Ya Allah! kami mohon agar permusafiran ini menjadi mudah ke atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika permusafiran dan Penjaga bagi ahli keluarga (yang ditinggalkan). Ya Allah! aku mohon berlindung daripada-Mu agar Engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga kami.”

Riwayat Muslim (1342)

Imam al-Nawawi berkata: “Hadith ini menunjukkan sunat memulakan permusafiran dengan membaca doa ini. Dan telah banyak zikir-zikir dan doa-doa berkaitan permusafiran ini yang mana aku telah himpunkannya di dalam kitab al-Azkar. Maksud “وَعْثَاءِ” adalah kesukaran dan keperitan. Manakala “كَآبَةِ” bermaksud berubahnya diri seseorang itu kepada kesedihan atau seumpama dengannya dan maksud “الْمُنْقَلَبِ” pula adalah perubahan (yang buruk pada harta dan keluarga).” (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 111/9)

Imam al-Baidhawi mensyarahkan hadith ini: “وَعْثَاءِ” bererti kepayahan dan kesusahan. Manakala “كَآبَةِ” bermaksud keadaan yang buruk dan suatu bentuk kesedihan. Dikehendaki daripada hadith ini adalah doa bagi tujuan memohon perlindungan daripada segala pemandangan yang mengakibatkan kekecewaan dan daripada kepulangan yang teruk kerana berlaku kekurangan pada harta atau ahli keluarga (seperti kerosakan atau kematian).” (Lihat Tuhfah al-Abrar, 95/2)

Tambahan pula, makna “أَنْتَ الصَّاحِبُ” adalah Allah SWT akan sentiasa bersama dengan orang yang bermusafir. Selain itu, ia juga membawa makna Allah SWT akan memudahkan urusan orang yang bermusafir. Bagi perkataan “وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ” bermaksud Allah SWT akan melindungi orang yang bermusafir dengan membantunya serta menolongnya. Allah SWT juga merupakan penjaga kepada ahli keluarga yang ditinggalkan dan pada setiap perkara yang berada di bawah perlindungannya. (Lihat Syarah Riyadh al-Salihin, 112/3)

Kelima, sentiasa bermuhasabah diri semasa di dalam perjalanan dan menjaga akhlak ketika di dalam pemanduan. Ini kerana akhak merupakan faktor penting bagi orang Islam. Seperti hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA’ Sabda Nabi SAW:

إنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: Sesungguhnya tidaklah aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.

Riwayat Imam Ahmad (8952)

Menjauhkan diri dari sifat sombong dan riak. Ini kerana sifat ini sangat dibenci oleh Allah SWT. Sepertimana Firman-Nya:

وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا

Maksudnya: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong

Surah al-Isra’ (37)

Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya mensyarahkan “Iaitu janganlah kamu berjalan sepertimana orang yang sombong. Oleh itu hindarkanlah diri daripada perasaan bongkak dan tinggi diri”. (Lihat Tafsir al-Maraghi 15/47)

Semasa di atas jalan raya seharusnya banyak bersabar serta bertasamuh (toleransi) sesama pemandu yang lain supaya dapat melahirkan suasana yang harmoni. Ini sepertimana yang disarankan Baginda SAW, Allah SWT akan meluaskan pemberian kepada orang yang bersabar. Hadith yang diriwayatkan oleh Abi Said al-Khudri RA, Sabda Nabi SAW:

وَمَنْ يَتَصَبَّرْ يُصَبِّرْهُ اللَّهُ، وَمَا أُعْطِيَ أَحَدٌ عَطَاءً خَيْرًا وَأَوْسَعَ مِنَ الصَّبْرِ

Maksudnya: Barang siapa yang berusaha untuk bersabar Allah akan beri kesabaran kepadanya. Dan tidak ada nikmat yang lebih baik dan luas melainkan memiliki kesabaran

Riwayat al-Bukhari (1469)

Berdasarkan penerangan dan dalil di atas dapat disimpulkan, bahawa faktor persiapan diri memainkan peranan yang penting bagi menjaga tatasusila di atas jalan raya serta menjadi pemandu yang berhemah. Ini sekaligus akan menjadikan seseorang itu sebagai pemandu yang berhemah dan sentiasa mematuhi segala peraturan jalan raya yang dikuatkuasakan.

 

Memastikan Kenderaan dalam Keadaan Baik

Kenderaan memainkan peranan penting memastikan kelancaran dan keselamatan dalam perjalanan atau permusafiran. Kerana itu, Islam amat mementingkan keadaan kenderaan yang baik dalam sesuatu permusafiran. Diriwayatkan oleh Nafi’ Bin Abdul Harith daripada Nabi SAW. Baginda bersabda :

مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ

Maksudnya: “Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang baik.”

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (457)

Kenderaan yang baik juga adalah satu keringanan dan kemudahan bagi seseorang. Ia memudahkan seseorang untuk bergerak ke sana dan ke mari. Zaman dahulu kala, haiwan tunggangan yang baik adalah suatu kenikmatan. Ianya dianggap sebagai sebuah kenderaan untuk memudahkan pergerakan. Al-Munawi ketika menjelaskan makna kenderaan yang baik, kata beliau ia adalah tunggangan yang laju, selesa dan mudah dinaiki. Ia mempercepatkan masa untuk bertemu sahabat handai tanpa perlu ada kesusahan dan kepenatan. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/422)

Kenderaan yang elok juga menenangkan hati. Ia menjauhkan kita daripada rasa gundah gulana. Lalu ia boleh digunakan untuk berzikir dan memuji Allah. Bayangkan jika seseorang mempunyai kenderaan yang sentiasa bermasalah. Sedang memandu tiba-tiba kenderaannya rosak. Maka, ia akan mencetuskan perasaan cepat marah, perasaan resah dek kerana lambat ke destinasi yang ingin dituju dan lain-lain perasaan yang mengganggu. Kata Imam al-Tahawi: “Ia (kenderaan yang baik) menjauhkan hati daripada kegelisahan. Kenderaan yang baik menjadikan penunggangnya sibuk dengan zikir kepada Allah ataupun sibuk dengan perkara lain disebabkan kenderaannya yang tidak elok yang mana ia menyakitkan orang yang menaikinya.” (Lihat Syarah Musykil al-Athar, 7/212)

Justeru, sebelum memulakan perjalanan, haruslah kita mengambil cakna terhadap pesanan para pakar kenderaan dan pihak berwajib agar memastikan kenderaan yang ingin digunakan itu dalam keadaan yang baik. Antaranya adalah seperti berikut:

Semua persiapan ini perlu dilakukan sebagai langkah keselamatan dan juga bertawakal kepada Allah SWT semoga kita sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat dalam perlindungan Allah SWT.

 

Kewajipan Mematuhi Peraturan Jalan Raya

Secara asasnya, undang-undang jalan raya terbina di atas konsep al-maslahah al-mursalah. Iaitu maslahah yang tidak dinaskan oleh syarak sama ada syarak membatalkannya atau syarak mengambil kira akannya. Ia dianggap sebagai maslahah kerana ia mendatangkan manfaat dan menghalang kemudharatan. Manakala ia dinamakan sebagai mursalah kerana ia tidak disebutkan oleh syarak sama ada ia diambil kira ataupun ia dibatalkan (tidak diambil kira).

Syeikh Abdul Fattah bin Muhammad berkata: ‘’Ia dinamakan sebagai al-maslahah al-mursalah kerana ia merupakan manfaat yang tidak terdapat dalil yang menyatakan tentangnya’’. (Lihat al-I’lam fi Usul al-Ahkam oleh Abd al-Fattah bin Muhammad, hlm. 152)

Namun tidak dapat dinafikan bahawa usul-usul agama yang umum menyaksikan dan mengiktiraf akannya. Sekalipun maslahah mursalah ini bukanlah dalil yang mustaqil (bersendiri), ia adalah hujah dengan beberapa syarat berikut:

Manakala Imam al-Syathibi menambah beberapa syarat lain untuk membolehkan beramal dengan al-Maslahah al-Mursalah iaitu:

Merujuk kepada hujahan yang dikemukakan oleh Imam al-Syathibi di atas, kami menyatakan bahawa ia sangat tepat dan sesuai untuk dipakai pada undang-undang dan juga peraturan jalan raya. Ini kerana, peraturan-peraturan tersebut terdapat padanya maslahah-maslahah yang selari dengan maqasid syara’.

Sebagai contoh, penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar dan juga topi keledar, peraturan had laju adalah bertujuan untuk menjaga nyawa manusia. Seperti yang diketahui umum, hifz al-nafs (menjaga nyawa) merupakan antara teras paling utama dalam maqasid syarak.

Nas-nas syarak yang umum banyak menyebutkan tentang hal ini. Antaranya adalah firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan.

Surah al-Baqarah (195)

Demikian juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh membalas mudharat dengan mudharat.

Riwayat Ibn Majah (2341)

Berdasarkan beberapa nas di atas maka terbinalah beberapa kaedah fekah seperti berikut:

الضَّرَرُ يُزَال

Maksudnya: Kemudharatan itu dielakkan.

Selain dari itu terdapat juga kaedah yang menyebut:

دَرْءُ المَفَاسِدِ أَولَى مِنْ جَلْبِ المَصَالِح

Maksudnya: Menolak kerosakan itu lebih utama berbanding mendatangkan maslahah.

Selain itu juga perlaksanaan undang-undang jalan raya ini juga selari dengan salah satu teras maqasid syarak iaitu hifz al-mal yang bererti memelihara harta. Seperti yang diketahui, kemalangan-kemalangan yang berlaku disebabkan pengabaian terhadap peraturan lalu lintas akan turut menyebabkan kerosakan kepada harta benda seperti kenderaan, pembahagi jalan, lampu-lampu isyarat, dan sebagainya. Justeru, dalam konsep menjaga dan memelihara harta inilah ditetapkan beberapa undang-undang lalu lintas dan jalan raya.

Sepertimana yang kita maklum, peraturan dan penguatkuasaan undang-undang jalanraya ini adalah datang dari pihak berkuasa yang menguruskan sesebuah negara. Terdapat sebuah kaedah fiqh yang masyhur dalam menyebutkan tanggungjawab para pemerintah iaitu:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi imam (pemerintah atau pihak berkuasa) ke atas rakyatnya diikat dengan maslahat.” (Rujuk al-Asybah wa al-Nazair oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti, hlm. 121)

Syeikh Muhammad al-Burnu berkata: "Makna kaedah fiqhiyyah ini bahawa hak pelaksanaan pemerintah terhadap rakyat dan apa yang mereka wajibkan ke atas rakyat sama ada mahu atau enggan tertakluk kepada hasil dan manfaat, sama ada berkaitan agama atau dunia." (Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 2/57)

Ibn Nujaim berkata jika sekiranya tindakan pemerintah dibina atas asas maslahat sama ada berkenaan dengan hal umum, maka ia tidak boleh dilaksanakan pada hukum Syara; melainkan menepati syarak. Inilah juga pendapat Abu Yusuf. (Lihat al-Asybah wa al-Naza'ir, hlm. 337)

Di Malaysia, pihak berkuasa melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) adalah merupakan badan yang bertanggungjawab menyelia dan menyelenggara segala kemaslahatan manusia yang berada di atas jalan raya. Justeru, MOT dengan usaha Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bernaung di bawahnya memainkan peranan besar dalam memberikan manfaat kepada pengguna jalan raya dan menolak sebarang kemudaratan kepada mereka.

Antara fungsi JPJ seperti yang disebutkan oleh ensiklopedia bebas, Wikipedia:

Justeru, penguatkasaan berkaitan dengan undang-undang jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 adalah bertujuan untuk memberikan kemaslahatan kepada seluruh pengguna jalan raya.

Dengan itu, kami menyatakan bahawa hukum mematuhi peraturan lalu lintas dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan oleh pihak berkuasa adalah wajib. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah) kepada ulil amri dari kalangan kamu.

Surah Al-Nisa’ (59)

Maka ini adalah antara dalil yang menunjukkan kepada kewajipan mentaati para pemerintah selama mana sesuatu arahan yang dikeluarkan dari pihak pemerintah tidak bercanggahan dengan Al-Quran dan juga Al-Sunnah. Ini kerana apabila tiada sistem dan undang-undang jalanraya yang baik untuk dipatuhi, maka jadilah suasana caca merba dan yang parahnya boleh membawa kepada kemalangan.

Bahkan ia selari dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Ali bin Abi Thalib bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Tiada ketaatan dalam perkara maksiat. Sesungguhnya ketaatan itu adalah hanya pada perkara yang makruf (kebaikan).

Riwayat Al-Bukhari (7257)

Kami juga menyatakan, sekiranya pemanduan itu dilakukan secara merbahaya atau tidak mengikut undang-undang jalan raya lalu mengakibatkan kecelakaan kepada diri sendiri, para pengguna jalan raya yang lain, atau mana-mana infrastruktur awam maka seseorang itu dianggap berdosa di atas kesalahan tidak mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

 

Hukum Memakai Tali Pinggang dan Topi Keledar

Setiap pengguna jalan raya perlu berasa bertanggungjawab dalam mematuhi segala undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan. Antara tujuan utama diadakan undang-undang ini adalah bagi membendung salah laku jalan raya yang memungkinkan berlakunya kemalangan jalan raya sebagaimana dijelaskan pada sub-topik sebelum ini. Antara kesalahan undang-undang jalan raya yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya ialah tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memakai topi keledar. Antara tujuan penggunaan kedua-duanya:

Penggunaan tali pinggang keledar adalah bertujuan untuk melindungi pengguna jalan raya daripada sebarang ancaman pergerakan yang boleh membahayakan ketika berlakunya perlanggaran trafik atau ketika kenderaan berhenti secara mengejut. Penggunaannya juga berfungsi untuk mengurangkan risiko kematian atau kecederaan serius semasa perlanggaran dengan mengurangkan daya hentaman pada bahagian dalaman badan manusia dengan cara mengekalkan penumpang pada kedudukan yang betul.[2]

Penggunaan topi keledar bagi penunggang motosikal berperanan sebagai topi keselamatan yang bertujuan untuk melindungi kepala penunggang daripada sebarang hentakan ketikamana terjadinya kemalangan.[3]

Pemakaian tali pinggang keledar dan topi keledar adalah satu piawaian keselamatan bagi mengelakkan berlakunya kecederaan atau risiko yang serius ketika berlakunya kemalangan.

Selain daripada itu, warta pemakaian tali pinggang keledar dan topi keledar ini adalah di bawah undang-undang “Akta Pengangkutan Jalan 1987” Akta 333 serta “Ordinan Lalu Lintas Jalan 1959”. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam untuk mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah selagimana perkara tersebut tidak menyalahi syarak.

Berdasarkan kepada hujahan di atas, kami nyatakan bahawa menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam untuk mematuhi setiap undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan oleh pemerintah. Ini kerana, undang-undang jalan raya yang diwartakan ini adalah berlandaskan kepada al-maslahah al-mursalah yang bertujuan memberi kebaikan dan kesejahteraan serta menolak kemudaratan kepada seluruh pengguna jalan raya dan harta benda. Ini bertetapan dengan maqasid syariah yang lima iaitu hifz al-nafs (memelihara nyawa) dan hifz al-mal (memelihara harta).

 

Hukum Memandu Secara Merbahaya

Menurut sebuah jurnal yang dikeluarkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pemanduan secara merbahaya ialah pemanduan berisiko dan memandu secara agresif adalah sangat sinonim dengan setetengah negara termasuk Malaysia. Tingkah laku pemanduan secara agresif dan berisiko merupakan antara tingkahlaku yang boleh membawa kepada kemalangan termasuklah melanggar lampu isyarat, memotong tanpa memberi isyarat, memandu secara agresif, terlalu laju dan sebagainya.[4]

Menurut laporan statistik kemalangan jalan raya yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia menunjukkan pada tahun 2017, sebanyak 533,875 kes kemalangan direkodkan dan menyebabkan 6740 kematian. Bilangan ini sangat menyedihkan.[5] Oleh itu, hal ini perlu untuk diteliti bersama tentang tingkah laku ini menurut syarak. Kami sebutkan sebuah firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛوَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya : Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Surah al-Baqarah (195)

Di dalam ayat di atas jelas menunjukkan larangan untuk berbuat sesuatu yang merbahaya kepada diri sendiri. Sesungguhnya Islam adalah agama yang sangat menegaskan pentingnya penjagaan diri seiring dengan Maqasid al-Syariah yang mengangkat kewajipan untuk menjaga akal dan diri manusia itu sendiri.

Kemudian ayat di atas juga menekankan kepentingan untuk berlaku ihsan, belas kasihan atau melakukan sesuatu dengan cermat dalam segala aspek kehidupan. Perintah untuk melakukan ihsan ini adalah umum kepada semua perkara kerana ayat di atas tidak didatangkan dalam bentuk yang muqayyad (terikat atau khusus). Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Manan. (1/145).

Selain daripada menghalang melakukan sesuatu yang bahaya ke atas diri sendiri, di samping turut menghalang sebarang perbuatan yang boleh membawa kepada kemudharatan kepada orang lain. Ini sebagaimana yang telah dijelaskan dalam kaedah-kaedah yang telah dinyatakan dalam sub-topik Kewajipan Mematuhi Peraturan Jalan Raya sebelum ini.

Maka, kami nyatakan memandu secara merbahaya adalah diharamkan kerana boleh membawa kepada kemalangan sama ada melibatkan orang lain atau tidak. Selain mengangkat prinsip Maqasid al-Shariah untuk menjaga nyawa, Islam juga sangat tegas menolak sebarang bentuk kemudharatan yang berkemungkinan berlaku. Oleh itu, semua pemandu dinasihatkan agar memandu dengan berhati-hati dan mengelakkan daripada pemanduan yang merbahaya. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengubah statistik kemalangan, melainkan manusia itu sendiri seperti yang difirmankan oleh Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. 

Surah al-Ra’du (11)

Menurut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu “memandu secara melulu dan berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain” dan boleh dihukum penjara hingga lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya.

 

Hukum Memotong Barisan

Memotong barisan di atas jalan raya merupakan satu insiden yang sering berlaku terutamanya ketika kesesakan lalu lintas. Ia sering berlaku ketika berbaris untuk membayar tol dan keluar atau masuk simpang. Sikap tidak sabar dan mementingkan diri sendiri yang terdapat pada sebahagian daripada pemandu menjadi punca utama berlakunya perbuatan memotong barisan di atas jalan raya.

Memotong barisan merupakan salah satu kesalahan lalu lintas yang boleh dikenakan denda sebanyak RM300 oleh pihak berkuasa seperti mana peraturan yang telah digariskan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR)[6]. Dari sudut hukum, adakah dibolehkan untuk memotong barisan lalu lintas, terutamanya ketika kesesakan lalu lintas di musim perayaan?

Pertamanya, memotong barisan merupakan salah satu daripada kesalahan lalu lintas seperti yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Oleh itu, tindakan memotong barisan merupakan salah satu tindakan yang melanggar arahan pemerintah yang mana kita dituntut untuk mentaatinya selagi mana tidak bertentangan dengan syara’. Allah SWT berfirman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada pemerintah (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”

Surah al-Baqarah: 59

Nabi SAW bersabda:

لا طَاعَةَ في مَعْصِيَةٍ، إنَّما الطَّاعَةُ في المَعروفِ

Maksudnya: “Tiada ketaatan dalam perkara maksiat, sesungguhnya ketaatan adalah pada perkara kebaikan”

Riwayat al-Bukhari (7257)

Keduanya, undang-undang jalan raya yang telah dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa adalah berasaskan kepada Maslahah Mursalah. Ia merupakan suatu maslahah yang tidak dinaskan oleh syarak sama ada syarak membatalkannya atau syarak menerimanya. Penguatkuasaan undang-undang yang melarang perbuatan memotong barisan merupakan salah satu bentuk maslahah mursalah kerana ia merupakan suatu permasalahan yang bermanfaat, bersifat umum dan tidak bercanggah dengan nas.

Ketiganya, penguatkuasaan undang-undang jalan raya, khususnya yang berkaitan dengan memotong barisan adalah bertepatan dengan prinsip maqasid syar’iyyah, iaitu hifz an-nafs (menjaga nyawa) dan Hifz al-Maal (menjaga harta). Ini kerana perbuatan memotong barisan boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya yang boleh membahayakan keselamatan dan kerosakan harta benda.

Perbuatan memotong barisan di atas jalan raya boleh mendatangkan mudarat kepada pemandu yang melakukan perbuatan tersebut, bahkan perbuatan tersebut turut boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain jika berlaku kemalangan yang boleh mengakibatkan kehilangan jiwa atau kerosakan harta benda seperti kerosakan ke atas kenderaan yang terbabit dan sebagainya. Maka, perbuatan memotong barisan adalah bertentangan dengan kaedah tiada mudarat kepada diri sendiri dan memudarat kepada orang lain.

Selain itu, perbuatan memotong barisan juga merupakan satu perbuatan yang boleh mengakibatkan kita mengambil hak orang lain yang lebih berhak daripada kita. Ketika kesesakan lalu lintas berlaku, semua kereta beratur didalam barisan untuk menuju ke destinasi tertentu mengikut aturan dan susunan yang mana sesiapa yang tiba di situ terlebih dahulu akan berada di hadapan, diikuti dengan mereka yang tiba selepasnya dan begitulah seterusnya. Perbuatan memotong barisan menyebabkan seseorang itu telah mengambil hak orang lain yang telah tiba di situ terlebih dahulu dan sudah menunggu lebih lama daripadanya. Kaedah Fiqh ada menyebut:

كُلُّ مَنْ سَبَقَ إِلَى مُبَاحٍ فَهُوَ أَحَقُّ بِهِ

Maksudnya: “Setiap orang yang mendahului pada perkara-perkara harus, maka dia yang paling berhak terhadap perkara tersebut”

Sheikh Abdul Muhsin al-Zamil Hafizahullah mengatakan: “Kaedah ini meliputi banyak perkara…antaranya ialah yang mendahului orang lain di tempat-tempat awam” Rujuk Syarah Qawaid as-Sa’diyyah (1/179-180)

Perbuatan mengambil hak orang lain adalah satu perbuatan yang zalim sesama manusia dan Allah SWT telah mengancam orang melakukan kezaliman terhadap manusia lain dengan azab yang pedih seperti mana firman-Nya:

إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya:Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman terhadap manusia dan bermaharajalela di atas muka bumi tanpa sebab yang benar. Mereka itulah orang-orang yang mendapat azab seksa yang amat menyakitkan”.

Surah al-Syura: 42

Perbuatan memotong barisan juga boleh membawa kepada pergaduhan dan pertengkaran di kalangan para pengguna jalan raya. Ini adalah perkara yang ditegah di dalam syara’ seperti mana firman Allah SWT dan sabda Nabi SAW:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah SWT bersama dengan orang-orang yang sabar”

Surah al-Anfal : 46

لا تَبَاغَضُوا ، وَلا تَحَاسَدُوا ، وَلا تَدَابَرُوا

Maksudnya: “Janganlah kamu semua saling caci-mencaci, dengki-mendengki, sindir-menyindir”

Riwayat al-Bukhari (6065) dan Muslim (2559)

Dengan itu, kami berpandangan bahawa hukum memotong barisan adalah dilarang dan tidak dibenarkan kecuali dalam keadaan darurat seperti dalam keadaan kecemasan yang memerlukan seseorang itu untuk tiba di hospital dengan secepat mungkin atau dalam keadaan mendapat kebenaran daripada semua pemandu lain yang terlibat jika suatu barisan dipotong.

 

Hukum Memandu di Lorong Kecemasan

Antara perbuatan yang menimbulkan mudarat terhadap diri dan orang lain ialah memandu di lorong kecemasan tanpa keperluan untuk menggunakannya. Keadaan ini berlaku kerana sesetengah pengguna jalan raya tidak sabar menunggu di laluan yang sepatutnya akibat kesesakan dan mahu memotong kenderaan-kenderaan di hadapan mereka untuk sampai ke destinasi yang dituju dengan cepat.

Lorong kecemasan ialah lorong khas yang digunakan jika berlaku kecemasan ketika berada dalam perjalanan atau untuk memberhentikan kenderaan jika berlaku kerosakan bagi mengelakkan kesesakan jalan raya. Selain itu, ia dikhususkan juga kepada kenderaan khas seperti ambulans, bomba, polis dan sebagainya bagi memudahkan mereka untuk menjalankan tugas. Antara kemudaratan yang akan timbul daripada perbuatan memandu di lorong kecemasan tanpa keperluan ini ialah:

Terdapat banyak kes-kes yang dilaporkan akibat daripada penyalahgunaan lorong kecemasan ini. Antara kes yang pernah tular yang dilaporkan oleh Astro Awani apabila ambulans terlewat sampai ke tempat kemalangan yang melibatkan antara pembonceng motorsikal dan sebuah Proton Iswara di kilometer 228 Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) pada 2016 akibat daripada penyalahgunaan lorong kecemasan. Saksi memberitahu bahawa walaupun siren ambulans dibunyikan, namun pengguna jalan raya berpura-pura tidak tahu dan tidak mengendahkannya menyebabkan mangsa kemalangan berada dalam keadaan kritikal[7].

Sesungguhnya tindakan memandu di lorong kecemasan tanpa keperluan seperti ini timbul daripada sikap mementingkan diri sendiri sendiri dan tergopoh-gapah. Sikap mementingkan diri sendiri dan tergopah-gapah ini merupakan sikap negatif yang patut dihindarkan, kerana ia merupakan amalan syaitan berdasarkan hadith Rasulullah SAW:

التَّأَنِّي مِنَ اللَّهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: Sifat tenang itu ialah daripada Allah SWT, manakala sikap tergopoh gapah itu ialah daripada syaitan.

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (20767)

Sedangkan Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk sentiasa mengambil berat dan bertimbang rasa terhadap orang lain. Rasulullah SAW bersabda:

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ، لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ، مَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ، كَانَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ فِي حَاجَتِهِ، وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً، فَرَّجَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهُ بِهَا كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Seorang muslim itu saudara bagi muslim yang lainnya. Tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh pula menyerahkan kepada orang yang hendak menyakitinya. Barangsiapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajatnya. Barangsiapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, nescaya Allah akan melapangkan kesusahan-kesusahannya di Hari Kiamat. Dan barangsiapa yang menutupi kesalahan seorang muslim, nescaya Allah akan menutupi kesalahannya kelak di Hari Kiamat.

Riwayat al-Bukhari (2442) dan Muslim (2580)

Selain itu juga, Islam melarang kita daripada menimbulkan gangguan dan rasa tidak senang di jalan-jalan awam. Dalam satu hadith, Rasulullah SAW melarang umatnya daripada perbuatan yang menganggu ketenteraman jalan yang dilalui oleh ramai. Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِيَّاكُم وَالْجُلُوسَ في الطُّرُقاتِ، فقَالُوا: يَا رسَولَ اللَّه، مَا لَنَا مِنْ مَجالِسنَا بُدٌّ، نَتحدَّثُ فِيهَا، فَقَالَ رسولُ اللَّه ﷺ: فَإِذَا أَبَيْتُمْ إِلَّا الْمَجْلِس فَأَعْطُوا الطَّريقَ حَقَّهُ، قالوا: ومَا حَقُّ الطَّرِيقِ يَا رسولَ اللَّه؟ قَالَ: غَضُّ الْبَصَر، وكَفُّ الأَذَى، ورَدُّ السَّلامِ، وَالأَمْرُ بالْمَعْروفِ، والنَّهْيُ عنِ الْمُنْكَرِ

Maksudnya: Awasilah kamu daripada duduk di persimpangan jalan. Lantas mereka berkata: ya Rasulullah, kami sudah biasa yang menjadi majlis kami. Kami berbicara padanya. Lantas sabda Nabi SAW: Kalau kamu enggan kecuali dalam majlis tersebut, maka berilah hak jalan. Sahabat bertanya, apa itu hak jalan hai Rasulullah. Jawab Baginda: Tundukkan pandangan, menahan daripada yang menyakitkan, menjawab salam, meklaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.

Riwayat al-Bukhari (5790) dan Muslim (2121)

Larangan dalam hadith di atas mencakupi semua bentuk gangguan yang ditimbulkan kepada pengguna-pengguna jalan raya. Tindakan menggunakan lorong kecemasan tanpa keperluan juga merupakan salah satu perbuatan yang menggangu jalan. Apatahlagi, ia menghalang laluan yang dikhususkan kepada orang yang berada dalam keadaan kecemasan, yang pasti akan memudaratkan orang tersebut jika tidak dapat menggunakannya. Disamping itu, Rasulullah SAW turut memberitahu tentang ganjaran yang besar bagi sesiapa yang membuang gangguan di jalan-jalan yang digunakan orang ramai untuk lalu-lalang. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَقَدْ رَأَيْتُ رَجُلًا يَتَقَلَّبُ فِي الْجَنَّةِ، فِي شَجَرَةٍ قَطَعَهَا مِنْ ظَهْرِ الطَّرِيقِ، كَانَتْ تُؤْذِي النَّاسَ

Maksudnya: Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki bermundar-mandir di dalam Syurga, (dia masuk ke dalam Syurga) atas perbuatan baiknya iaitu memotong sepohon pokok yang berada di tengah-tengah jalan, yang sejak lama menganggu orang ramai yang lalu-lalang di situ.

Riwayat Muslim (1914)

Justeru, kami berpendapat bahawa hukum memandu di lorong kecemasan tanpa keperluan boleh membawa kepada haram kerana ia boleh menimbulkan kemudaratan terhadap diri sendiri dan orang lain. Paling mustahak ia menyebabkan mereka yang perlu menggunakannya pada waktu-waktu kecemasan seperti ambulans, bomba dan polis akan terhalang. Sekaligus akan mendatangkan akibat yang lain seperti tidak sempat menyelamatkan nyawa mangsa kemalangan dan seumpamanya.

 

Hukum Menggunakan Lampu Kenderaan Yang Menyilaukan

Lampu kereta di bahagian hadapan dilengkapi dengan dua fungsi iaitu lampu malap (dim) dan lampu suluh (beam). Ianya membantu mencerahkan dan menerangkan jalan yang berada di hadapan. Ada di antara pengguna jalan raya yang menggunakan HID iaitu High Intensity Discharge Headlamp. Ia adalah lampu yang tidak menggunakan filament akan tetapi menggunakan gas xenon. Lampu HID menghasilkan cahaya putih yang cerah iaitu sekitar dua atau tiga kali ganda lampu halogen yang biasa digunakan.

Walaupun lampu HID membolehkan pemandu melihat jalan dengan lebih terang akan tetapi ia boleh membutakan dan meyilaukan pandangan pemandu yang datang dari arah bertentangan sehingga boleh mendatangkan bahaya. Ia bukan sahaja mendatangkan bahaya kepada pemandu lain akan tetapi lampu jenis ini juga membahayakan penggunanya sendiri khususnya ketika hujan. Penggunaan lampu jenis ini menyebabkan pemandu melihat secara samar-samar jalan yang ada di hadapan ketika waktu hujan.

Bahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak membenarkan pemasangan lampu HID secara aksesori  kecuali penukaran keseluruhan sistem lampu tersebut dengan mendapat akreditasi daripada badan yang diberi kuasa seperti SIRIM. JPJ menegaskan:

“Penguatkuasaan terhadap kenderaan yang menggunakan lampu HID yang dipasang secara aksesori (Retrofit) boleh diambil tindakan dibawah Kaedah 94 Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959 iaitu 'keadaan kenderaan bermotor yang digunakan di atas jalan raya dan semua bahagian dan aksesorinya hendaklah sentiasa tidak mengakibatkan atau mungkin mengakibatkan merbahaya pada orang di dalam kenderaan atau di atas jalanraya', kesalahan ini boleh didenda sehingga RM 2000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih 6 bulan dibawah seskyen 119(1) APJ 1987.”[8]

Melihat kepada keadaan ini, kami melihat bahawa penggunaan lampu yang tidak memenuhi spesifikasi adalah tidak dibenarkan. Ini kerana ianya boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Membahayakan nyawa orang lain ini pernah diingatkan oleh Nabi SAW di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ubadah Bin Somit. Kata beliau:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَليْهِ وسَلَّمَ قَضَى أَنْ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menetapkan bahawa tidak boleh memudaratkan (orang lain) dan tidak boleh membalas mudarat (dengan mudarat).”

Riwayat Ibnu Majah (2340)

Di dalam kaedah fiqh menyatakan :

دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ

Maksudnya: “Menolak kemudaratan didahulukan daripada memperoleh kemaslahatan.”

Dapat kita fahami daripada kaedah ini bahawa memang lampu yang tidak memenuhi spesifikasi seperti lampu HID mempunyai manfaatnya seperti mampu memberikan pandangan yang lebih jelas ketika memandu, akan tetapi dalam pada masa yang sama ianya membahayakan pemandu lain yang datang dari arah yang bertentangan. Sedangkan antara hak-hak jalan yang perlu diraikan oleh pengguna adalah tidak menyusahkan atau mengganggu atau menyakiti pengguna jalan yang lain. Ini sebagaimana hadith Abi Sa’id al-Khudri, Nabi SAW bersabda:

إِيَّاكُم وَالْجُلُوسَ في الطُّرُقاتِ، فقَالُوا: يَا رسَولَ اللَّه، مَا لَنَا مِنْ مَجالِسنَا بُدٌّ، نَتحدَّثُ فِيهَا، فَقَالَ رسولُ اللَّه ﷺ: فَإِذَا أَبَيْتُمْ إِلَّا الْمَجْلِس فَأَعْطُوا الطَّريقَ حَقَّهُ، قالوا: ومَا حَقُّ الطَّرِيقِ يَا رسولَ اللَّه؟ قَالَ: غَضُّ الْبَصَر، وكَفُّ الأَذَى، ورَدُّ السَّلامِ، وَالأَمْرُ بالْمَعْروفِ، والنَّهْيُ عنِ الْمُنْكَرِ

Maksudnya: Awasilah kamu daripada duduk di persimpangan jalan. Lantas mereka berkata: ya Rasulullah, kami sudah biasa yang menjadi majlis kami. Kami berbicara padanya. Lantas sabda Nabi SAW: Kalau kamu enggan kecuali dalam majlis tersebut, maka berilah hak jalan. Sahabat bertanya, apa itu hak jalan hai Rasulullah. Jawab Baginda: Tundukkan pandangan, menahan daripada yang menyakitkan, menjawab salam, meklaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.

Riwayat al-Bukhari (5790) dan Muslim (2121)

Hukum Memandu Dalam Keadaan Mengantuk

 

Pada asalnya seseorang yang melakukan suatu kesalahan dalam keadaan tertidur adalah tidak berdosa. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ القَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَشِبَّ، وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Tiga golongan orang yang tidak akan dicatat (yakni terbebas dari beban kewajiban): orang tidur sehingga ia bangun, anak kecil sampai ia dewasa, dan orang gila sampai ia waras.”

     Riwayat al-Tirmizi (1423)

Oleh sebab itu, orang yang tidur sebelum masuk waktu solat kemudian berlanjutan tidur sehingga tamat waktu solat adalah tidak berdosa. Dia hanya wajib melaksanakan solat tersebut setelah dia bangun dari tidurnya. Individu ini sama hukumnya dengan orang yang tersilap dan lupa.

Firman Allah SWT:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ

Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya.”

(Surah al-Ahzab: 5)

Sebuah hadith Rasulullah ﷺ daripada Ibn Abbas R.Anhuma menyebut:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِى الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Allah SWT telah ampunkan umatku daripada kesilapan, lupa dan perbuatan yang dipaksa.”

Riwayat Ibn Majah (2045)

Dalam konteks amal ibadat, Imam al-Baghawi menyebutkan dalam kitabnya Syarh al-Sunnah (4/57) satu Bab Meninggalkan Amalan Kerana Terlalu Mengantuk dan Penat. Beliau nyatakan hadith Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ يُصَلِّي فَلْيَرْقُدْ، حَتَّى يَذْهَبَ عَنْهُ النَّوْمُ، فَإِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا صَلَّى وَهُوَ نَاعِسٌ، لاَ يَدْرِي لَعَلَّهُ يَسْتَغْفِرُ فَيَسُبُّ نَفْسَهُ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kalian mengantuk ketika solat, maka hendaklah dia baring tidur, sehingga hilang daripadanya rasa ingin tidur, kerana salah seorang daripada kalian apabila dia solat dalam keadaan mengantuk, dia tidak mengerti barangkali dia ingin memohon keampunan tetapi akhirnya hanya mencaci diri sendiri.”

Riwayat al-Bukhari (786) dan Muslim (782)

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ مِنَ اللَّيْلِ فَاسْتَعْجَمَ الْقُرْآنُ عَلَى لِسَانِهِ فَلَمْ يَدْرِ مَا يَقُولُ فَلْيَضْطَجِعْ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kalian mendirikan Qiyamullail lalu bacaan al-Qur’an dia menjadi kucar kacir (akibat mengantuk) sehingga dia tidak mengerti apa yang dia baca, baca berbaringlah (yakni berehat atau tidur sehingga segar kembali).”

Riwayat Muslim (787)

Imam al-Nawawi Rahimahullah menyarahkan maksud (فَاسْتَعْجَمَ) ialah: “sukar untuk menyebut dan tidak dapat melepasi lisannya kerana rasa mengantuk yang menguasai.” (Rujuk al-Minhaj Syarh Muslim, 6/75)

Seseorang yang berasa mengantuk ketika melakukan suatu amalan, disunatkan untuk tidur terlebih dahulu sehingga hilang rasa mengantuknya, agar dia tidak merosakkan amalan tersebut.

(Surah al-Nisa’:92)

Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah ﷺ:

إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ فِي الصَّلاةِ فَلْيَنَمْ حَتَّى يَعْلَمَ مَا يَقْرَأُ

Maksudnya: “Jika salah seorang kalian mengantuk semasa solat, hendaklah dia tidur (dahulu) sehingga dia sedar apa yang dia baca.”

Riwayat al-Bukhari (206)

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Hukum ini umum bagi solat fardu dan solat sunat, pada waktu siang dan malam. Inilah mazhab kami (Syafieyyah) dan Jumhur, tetapi disyaratkan tidak keluar daripada waktunya bagi solat fardu.”

Justeru, disunatkan bagi orang yang bangun qiamullail untuk tidur jika terlalu mengantuk untuk solat dan membaca al-Quran dan makruh jika dia meneruskan amalannya dalam keadaan mengantuk. Rujuk Nihayah al-Muhtaj (2/132); al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadat (hlm. 256)

Selain daripada tidur, terdapat cara lain yang ditunjukkan Islam untuk mengatasi masalah mengantuk semasa beribadah. Caranya ialah dengan bergerak dan berpindah tempat duduk. Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الجُمُعَةِ فَلْيَتَحَوَّلْ مِنْ مَجْلِسِهِ ذَلِكَ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu mengantuk semasa hari Jumaat (semasa khutbah) maka hendaklah dia berpindah daripada tempat duduknya.”

Riwayat al-Tirmidzi (526).

Berkata Imam al-Syafie Rahimahullah: “Aku menyukai jika seseorang itu mengantuk dan mendapati ada ruang lain yang tidak diduduki oleh sesiapa untuk berpindah ke tempat itu.” Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (4/545)

Ertinya, dalam hukum hakam ibadat, seseorang itu apabila diserang perasaan mengantuk hendaklah melakukan tindakan yang munasabah bagi menghilang rasa mengantuk itu seperti tidur atau bergerak beralih tempat. Dalam Bahasa kita hari ini, bolehlah seseorang itu melakukan senaman ringan dan minum kopi, contohnya. Ini berkenaan soal ibadat yang tidak berkait dengan hak orang lain.

Bagaimana pula jika perasaan mengantuk itu berkait dengan hak-hak orang lain yang terpelihara? Contohnya, seseorang yang memandu secara mabuk atau mengantuk, kemudian melanggar orang atau kereta lain dan mengakibatkan kemalangan. Pastinya jawapannya mestilah berbeza daripada sekadar hukum sunat atau makruh sahaja.

Menurut Kaedah Fiqh, “Sesuatu yang membawa kepada perkara yang haram adalah diharamkan”. Para ulama dalam mengeluarkan hukum fiqh menggunakan kaedah tersebut untuk mengeluarkan fatwa:

مَا أَدَّى إِلَى الحَرَامِ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Sesuatu yang membawa kepada perkara yang haram adalah diharamkan”

Rujuk al-Wajiz oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili

Ini berdasarkan hadith Abdullah bin Amr R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ مِنْ أَكْبَرِ الكَبَائِرِ أَنْ يَلْعَنَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَكَيْفَ يَلْعَنُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ؟ قَالَ: يَسُبُّ الرَّجُلُ أَبَا الرَّجُلِ، فَيَسُبُّ أَبَاهُ، وَيَسُبُّ أُمَّهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya dosa yang paling besar dalam dosa-dosa yang besar ialah seorang lelaki melaknat ibu bapanya. Ditanya: Wahai Rasulullah, bagaimana boleh seseorang itu melaknat ibu bapanya? Sabda Baginda: Seseorang itu mencaci ayah kepada orang lain, lalu orang itu mencaci ayahnya, dan ibunya.”

Riwayat al-Bukhari (5973)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah menyebut beberapa huraian ulama terhadith hadith ini dalam Fath al-Bari (10/404).

Berkata Imam Ibn Battal Rahimahullah: “Hadith ini ialah asal bagi kaedah sad al-dzarai` (menutup jalan-jalan kerosakan).”

Menurut Ibn Hajar, hadith ini dapat difahami bahawa siapa yang meramal perbuatannya akan membawa perkara yang diharamkan maka perbuatan itu haram juga ke atasnya, sekalipun dia tidak bermaksud untuk melakukan perkara yang haram. Punca larangan bagi hadith ini ialah firman Taala:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”

(Surah al-An`am: 108)

Imam al-Mawardi Rahimahullah mengistinbatkan daripada ayat ini beberapa larangan:

Ibn Hajar menyebut pada tempat yang lain:

وَتَرْكُ مَا يَشْتَبِهُ الْأَمْرُ فِيهِ مِنَ الْمُبَاحِ خَشْيَةً مِنَ الْوُقُوعِ فِي الْمَحْذُورِ

Maksudnya: “Dan hendaklah meninnggalkan suatu perkara yang tidak pasti pada urusannya daripada jenis yang diharuskan kerana takut jatuh ke dalam perkara yang dilarang” Rujuk Fath al-Bari (9/380)

Begitu juga seperti yang disebut oleh Imam Izzuddin bin Abd al-Salam Rahimahullah dalam kitabnya Qawa`id al-Ahkam (1/53):

وَلِلْوَسَائِلِ أَحْكَامُ الْمَقَاصِدِ

Maksudnya: "Hukum bagi wasilah-wasilah (sarana) adalah hukum tujuan-tujuannya.”

Berdasarkan keterangan di atas, suatu perkara yang jika dilakukan akan menyebabkan berlaku dosa atau mudarat maka perkara tersebut adalah dilarang, sekalipun pada asalnya ia tidak diharamkan oleh Hukum Syarak. Antaranya contoh-contoh lain yang boleh dilihat daripada Hukum Syarak ialah:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)

(Surah al-Isra’ :32)

Berkata Ibn Kathir dalam Tafsir-nya bahawa Allah melarang para hamba-Nya daripada melakukan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepada zina seperti sebab-sebab dan seruan-seruannya. Rujuk Tafsir al-Azim (5/72).

إِذَا مَرَّ أَحَدُكُمْ فِي مَسْجِدِنَا أَوْ فِي سُوقِنَا وَمَعَهُ نَبْلٌ فَلْيُمْسِكْ عَلَى نِصَالِهَا بِكَفِّهِ أَنْ يُصِيبَ أَحَدًا مِنَ الْمُسْلِمِينَ مِنْهَا بِشَىْءٍ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kalian melintasi masjid kami atau pasar kami sedangkan bersamanya anak panah maka hendaklah dia menggenggam hujungnya dengan tapak tangannya supaya (tidak) menimpa mana-mana orang Islam.” Riwayat Muslim (2615). Kata Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj (16/169): “Ini dalam hadith ini ada adab.”

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ أَشَارَ إِلَى أَخِيهِ بِحَدِيدَةٍ فَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ تَلْعَنُهُ حَتَّى وَإِنْ كَانَ أَخَاهُ لأَبِيهِ وَأُمِّهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memberikan isyarak menghunus dengan satu benda tajam kepada saudaranya, nescaya para malaikat akan melaknatnya sekalipun jika dibuat kepada saudara sebapa atau seibunya.” Riwayat Muslim (2616). Berkata al-Nawawi dalam al-Minhaj: “Maksud para malaikat melaknat itu adalah menunjukkan kepada hukum haram.” Rujuk al-Minhaj (16/170)

Di sana juga terdapat prinsip “bertanggungjawab akibat kecuaian (التقصير)”. Kami nukilkan keterangan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji berkenaan tanggungjawab terhadap mudarat yang berlaku akibat kecuaian seseorang:

Tanggungjawab yang terletak di bahu seseorang mukallaf adalah disebabkan oleh salah satu daripada dua faktor berikut:

  1. Niat jahat dan permusuhan seperti membunuh dengan sengaja, mencuri, merampas, menuduh zina dan merompak.
  2. Cuai dalam menjaga dan mengambil langkah berjaga-jaga hingga menyebabkan kemusnahan pada harta atau fizikal (tubuh badan) pihak yang tidak bersalah dan dijamin nyawanya. Contohnya, haiwan seseorang yang memusnahkan tanaman seorang petani.

Dengan ini, tanggungjawab terhadap kecuaian ialah hukum syara’ yang dikenakan hasil daripada kecuaian dalam menilai keadaan atau mengambil aspek penjagaan yang perlu. Hukum ini berbentuk pampasan atau sebagainya.

Menurut syara’, sesuatu kecuaian akan disabitkan dengan sesuatu hukum apabila insiden yang berlaku menunjukkan kemungkinan berlaku kecuaian, tanpa mengira sama ada pihak yang terlibat benar-benar cuai atau tidak. Tidak disyaratkan adanya penyiasatan bagi membuktikan kecuaian untuk membolehkan seseorang dikenakan membayar ganti rugi.

Sebaliknya hanya satu syarat sahaja untuk tujuan itu iaitu wujud insiden yang menunjukkan kemungkinan berlaku kecuaian. Dengan ini pihak yang cuai akan dikenakan membayar ganti rugi bagi menampung kemudaratan atau kerugian, dan bagi memastikan setiap orang mendapat hak masing-masing.

Antara contoh kes yang melibatkan pampasan terhadap kecuaian seseorang ialah pembunuhan tanpa niat (al-qatl al-khata’):

Pembunuh yang terlibat akan dikenakan membayar diyat. Sudah tentu dalam kes ini pembunuh tidak didenda disebabkan dosa atau tindakan berbentuk permusuhan yang dilakukannya. Sebaliknya dia didenda kerana wujud kecuaian dalam mengambil langkah berjaga-jaga. Malah dia tetap dihukum walaupun pada hakikatnya ia bukan disebabkan oleh kecuaiannya.”

Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (3/457-458)

Prinsip ini menyerupai prinsip strict liability (liabiliti ketat) dalam undang-undang tort, di mana seseorang itu perlu menanggung kerosakan yang berlaku berpunca daripada tindakannya atau daripada milikannya, sekalipun tanpa dibuktikan kecuaiannya. Oleh itu, seseorang yang tidur ketika memandu kenderaan kemudian berlaku kemalangan yang mengakibatkan mudarat kepada orang lain perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kerana kemalangan tersebut berlaku kerana kelalaiannya. Bahkan jika berlaku kematian, pemandu tersebut wajib dikenakan hukuman sama seperti orang yang melakukan pembunuhan tanpa niat atau al-qatl al-khata’, iaitu membayar diat kepada waris dan menunaikan kaffarah.

Firman Allah Taala:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَن يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَأً ۚ وَمَن قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَأً فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰ أَهْلِ

Maksudnya: “Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar "diah" (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati),”

Dinukilkan daripada al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (16/61):

“Tidak ada khilaf dalam kalangan ulama fiqh tentang bahawa pembunuhan tanpa niat itu atau salah bunuh itu ialah seseorang yang tidak berniat memukul dan tidak juga berniat membunuh, seperti seorang yang membaling batu tanpa arah kemudian terkena seseorang, atau orang yang sedang tidur berguling lalu menghempap orang lain, lalu (dalam kedua-dua kes) membunuhnya. Hukumannya ialah diyat ke atas aqilah kaffarah.”

Begitu juga dalam mendatangkan kecederaan seperti orang yang tidur lalu menghempap orang lain dan menyebabkan tulang rusuknya patah. Rujuk al-Tasyri` al-Jinaie (2/204) oleh Syeikh Abdul Qadir Audah.

Jelas kepada kita bahawa perbuatan orang yang sedang tidur yang mengakibatkan kematian atau kerosakan itu tidak terlepas daripada tanggungjawab terhadap perbuatan tersebut, walaupun jika daripada sudut berdosa, ia bergantung kepada faktor sengaja atau faktor kecuaian.

 

Hukum Meneruskan Pemanduan Dalam Keadaan Mengantuk

Berdasarkan kepada fakta dan keterangan di atas, berikut adalah hukum hakam berkenan pemanduan dalam keadaan mengantuk:

Ini diperkuatkan lagi dengan arahan Syarak agar sebarang bentuk mudarat hendaklah dihilangkan. Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya“...dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Surah Al-Baqarah (195)

Nabi SAW juga telah bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

MaksudnyaTidak boleh seseorang itu memberi kemudaratan atau membalas kemudaratan dengan kemudaratan.

Sunan Ibn Majah (2332) dan Al-Muwatta’ (1234)

Memandu dalam keadaan terlalu mengantuk pada kebiasaannya boleh mengakibatkan kemalangan. Ini dikuatkan dengan laporan-laporan akhbar dan kajian badan berautoriti bahawa fenomena mengantuk semasa memandu boleh menyebabkan pemandu berada dalam keadaan micro-sleep lalu hilang daya kawalan dan mengakibatkan kemalangan.   Kemalangan jalan raya kebiasaannya melibatkan berlakunya mudarat-mudarat yang besar dalam Hukum Syarak seperti kehilangan nyawa pemandu dan penumpang, kecederaan pada anggota badan dan kerosakan harta benda. Kebanyakan negara juga, seperti Malaysia, memperuntukkan bahawa memandu dalam keadaan berbahaya adalah kesalahan jalan raya yang boleh dikenakan hukuman.

Justeru, menjadi tanggungjawab para pemandu kenderaan khususnya semasa musim perayaan untuk memandu pulang ke destinasi dengan berhemah dan tidak memandu dalam keadaan terlalu mengantuk sehingga mengakibatkan berlakunya kemalangan.

 

Tips Apabila Terjebak Dalam Kemalangan

Kemalangan ditakrifkan sebagai apa-apa bencana yang berlaku dengan tidak disangka-sangka atau kejadian yang merosakkan yang berlaku dengan tidak diduga. (Lihat Kamus Pelajar Edisi Kedua)

Dalam menghadapi kemalangan yang berlaku, kami nyatakan seperti berikut:

Apabila seseorang marah maka hilang sifat sabar dalam dirinya. Apabila seseorang marah maka dia akan melakukan perbuatan yang di luar dari batas-batas kesabaran. Api kemarahan sebenarnya ditiup oleh syaitan. Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْغَضَبَ مِنَ الشَّيْطَانِ ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنَ النَّارِ ، وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ ، فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya: Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia berwudhuk.

Riwayat Abu Daud (4784)

Selain itu, apabila datang perasaan ingin marah, perbanyakkanlah berzikir, beristighfar dan memohon perlindungan kepada Allah SWT. Banyakkan membaca ta’awwuz (أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ) supaya terhindar daripada hasutan syaitan yang sentiasa meniupkan api amarah.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Sulaiman bin Shurad, beliau berkata: “Terdapat dua orang yang saling memaki di hadapan Rasulullah SAW, sementara kami sedang duduk di samping Baginda. Salah seorang daripadanya memaki temannya sambil marah, sehingga merah wajahnya. Lalu Nabi SAW bersabda:

إِنِّي لَأَعْلَمُ كَلِمَةً لَوْ قَالَهَا لَذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ ، لَوْ قَالَ : أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimat, jika dibaca oleh orang ini, marahnya akan hilang. Iaitu sekiranya dia membaca ta’awwuz: “أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”.

Riwayat al-Bukhari (5650) dan Muslim (2610)

Selain itu, Nabi SAW juga mengajar, apabila seseorang marah, dia hendaklah mengubah posisi kepada yang lebih rendah seperti duduk atau berbaring. Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Zar R.A, Nabi SAW bersabda:

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ ، فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلاَّ فَلْيَضْطَجِعْ

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika belum hilang, hendaklah dia berbaring.

Riwayat Abu Daud (4782) dan Ahmad (21348)

Imam al-Khattabi menjelaskan: Orang yang berdiri mudah untuk bergerak dan memukul. Namun orang yang duduk, lebih sulit untuk bergerak dan memukul. Sementara orang yang berbaring terhalang daripada kedua makna ini. Perintah Baginda SAW agar duduk dan berbaring adalah supaya orang yang sedang dalam posisi berdiri atau duduk tidak segera melakukan tindakan melampiaskan marahnya, yang boleh jadi menyebabkan dia menyesali perbuatannya setelah itu. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 4/108)

Begitu juga, orang yang sedang marah hendaklah berusaha menahan diri dengan diam. Daripada Ibn Abbas R.A, Nabi SAW bersabda:

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu sedang marah, maka hendaklah dia diam.”

Riwayat Ahmad (2136)

Nabi SAW juga pernah bersabda dalam hadith riwayat Abu Hurairah R.A:

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ

Maksudnya: Bukanlah orang yang paling kuat itu yang pandai bergusti tetapi orang yang paling kuat itu ialah yang berjaya mengawal dirinya ketika marah.

Riwayat al-Bukhari (6114) dan Muslim (2609)

Allah SWT berfirman:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya: Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

Surah Qaf (18)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَليَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaknya dia berkata yang baik atau diam”

Riwayat al-Bukhari (6475) dan Muslim (74)

Imam Nawawi ketika menjelaskan hadith ini berkata: “Hadith ini jelas menunjukkan bahawa seseorang janganlah bercakap kecuali perkara yang telah jelas kemaslahatan dan kebaikannya serta diharapkan ganjaran pahala daripadanya. Dan sekiranya dia masih ragu dan tidak jelas tentang kemaslahatan dan kebaikan tersebut, maka hendaklah dia menahan diri daripada bercakap.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/19 dan Riyadh al-Salihin, 2/175)

Beliau turut menukilkan bahawa Imam Syafi’e berkata: “Jika seseorang hendak bercakap, maka hendaklah dia berfikir terlebih dahulu. Jika jelas maslahatnya, maka dia boleh bercakap. Namun jika dia ragu-ragu, maka janganlah bercakap sehinggalah jelas maslahatnya”. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/19)

Ibnu Batthal berkata: “Hadith tersebut menunjukkan bahawa ujian yang paling berat bagi seseorang di dunia adalah lisannya dan kemaluannya. Maka sesiapa yang menjaga keburukan keduanya, nescaya akan terjaga dari keburukan yang paling besar.” (Lihat Fath al-Bari, 11/310)

Daripada Anas bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:

التَّأَنِّى مِنَ اللَّهِ ، وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: Sikap bertenang itu dari Allah SWT dan terburu-buru itu dari syaitan.

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (10/104) Abu Ya’la dalam Musnadnya (4/206)

Imam al-Munawi menyebut bahawa sikap terburu-buru dilarang kerana ia akan menghalang keteguhan dan pemikiran yang matang dalam mempertimbangkan akibat daripada sesuatu perbuatan. (Lihat Faidh al-Qadir, 11/467)

Tutur kata dan percakapan yang baik dapat menghilangkan permusuhan dan dendam. Allah SWT berfirman:

ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

Maksudnya: Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

Surah Fussilat (34)

Ibnu ‘Abbas R.Anhuma menyebut: “Allah SWT memerintahkan orang beriman untuk bersabar ketika ada yang membuatnya marah, membalas dengan kebaikan jika ada yang berbuat jahil, dan memaafkan ketika ada yang berbuat jahat. Jika setiap hamba melakukan seperti ini, Allah SWT akan melindunginya daripada gangguan syaitan dan akan menundukkan musuh-musuhnya. Malah yang bermusuhan akan menjadi teman rapatnya kerana tingkah laku baik seperti ini.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 7/174)

Imam Ibn Kathir berkata: “Yakni, jika engkau berbuat baik kepada orang yang melakukan kejahatan kepadamu, nescaya kebaikan itu akan membuatkannya untuk bersikap baik kepadamu, mencintaimu dan menyayangimu, sehingga dia seakan-akan menjadi teman setia, dalam maksud mendekatimu dengan rasa kasih sayang dan berbuat baik.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 4/123)

Dalam sebuah hadith daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلَاحَ فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Sesiapa yang membawa senjata untuk menyerang atau menakut-nakutkan kami, maka dia bukan termasuk golongan kami.”

Riwayat al-Bukhari (6874) dan Muslim (291)

Imam al-Nawawi berkata: Di sisi ahli ilmu memberi maksud perbuatan membawa senjata untuk menakutkan orang ramai bukanlah daripada petunjuk dan amalan kami. (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 1/109)

Allah SWT berfirman:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Surah al-Baqarah (155)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: Allah SWT memberitahu bahawa Dia pasti akan menguji para hamba-Nya dengan pelbagai mehnah dan ujian. Agar menjadi jelas siapa di antara hamba itu yang benar dan pendusta, yang sabar dan berkeluh kesah. Ini adalah ketetapan Allah SWT ke atas para hamba-Nya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/122)

Allah SWT kemudiannya menjelaskan ciri-ciri orang yang sabar. Firman-Nya dalam ayat seterusnya:

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Surah al-Baqarah (156)

Firman Allah SWT “إِنَّا لِلَّـهِ” (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah) ini mengandungi nilai tauhid dan pengakuan penghambaan diri dan di bawah pemilikan Allah. Manakala firman-Nya “وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ” (kepada Allah jualah kami kembali) mengandungi keyakinan bahawa segala urusan kembali kepada Allah SWT. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 2/172)

Imam Ibn Kathir berkata: Mereka menghibur diri dengan mengucapkan perkataan ini (إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ) di saat dilanda bencana dan meyakini bahawa mereka milik Allah SWT. Dia berhak melakukan apa sahaja terhadap ciptaan-Nya. Mereka juga mengetahui, tidak ada sesuatu amalan baik yang hilang di hadapan-Nya pada hari Kiamat. Musibah-musibah itu mendorong mereka mengakui keberadaannya sebagai ciptaan milik Allah, dan akan kembali kepada-Nya di akhirat kelak. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/196)

Justeru, kami berkeyakinan jika begini sikap yang diamalkan oleh pengguna jalan raya dalam menangani situasi kemalangan, maka sudah barang tentu ia dapat mengelakkan daripada berlaku sebarang masalah lain akibat daripada kemalangan tersebut. Ini sekaligus dapat menjamin kelancaran dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan kemalangan tersebut dalam keadaan yang penuh harmoni, semangat ukhuwah dan persaudaraan.

 

Tips Apabila Melihat Berlaku Kemalangan

Membantu atau menolong saudara kita yang dalam kesusahan merupakan amalan yang mulia dan sangat dituntut agama. Hal ini berdasarkan nas dan dalil yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Surah al-Maidah (2)

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

المُسْلِمُ أَخُو المُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يُسْلِمُهُ، وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ، وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً، فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ القِيَامَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ القِيَامَةِ

Maksudnya: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat (keperluan) saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesusahannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (2442), dan Muslim (2580)

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَاللهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ،...

Maksudnya: Siapa yang menyelesaikan kesusahan seorang mukmin dari berbagai kesusahan dunia, Allah akan memudahkan kesusahannya pada Hari kiamat. Dan siapa yang memudahkan orang yang berada dalam kesusahan, Allah akan mudahkan baginya di dunia dan akhirat dan siapa yang menutupi (aib) seorang muslim Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selagimana hamba-Nya menolong saudaranya,...

Riwayat Muslim (2699)

Kemalangan jalan raya merupakan satu musibah bagi mereka yang terlibat. Hal ini menjadikan mereka golongan yang berada dalam kesusahan disebabkan musibah yang menimpa mereka. Menurut Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kemalangan bermaksud suatu kemalangan atau kejadian di mana kerosakan atau kecederaan dilakukan terhadap mana-mana orang, harta, kenderaan, struktur atau binatang. (Lihat Akta 333, Akta Pengangkutan Jalan 1987, pindaan 1 Julai 2006, hlm. 14)

Kemalangan jalan raya boleh berlaku di mana-mana jalan awam termasuklah jambatan, terowong, hentian sebelah, jalan bertingkat, jejambat, plaza tol dan sebagainya. Persoalan yang timbul, adakah perlu untuk berhenti membantu ketika menyaksikan kemalangan yang berlaku di tepi atau tengah jalan. Situasi ini bergantung kepada keadaan pemandu ataupun penunggang motosikal yang melihat kemalangan tersebut:

 

Pertama: Situasi Perlunya Berhenti dan Membantu Mangsa Kemalangan

Jika kemalangan itu benar-benar berlaku di hadapan orang yang menyaksikan tersebut, serta kawasan yang berlaku itu merupakan kawasan yang lengang dan tiada seorang pun yang sedang membantu mangsa kemalangan tersebut serta dia mampu untuk membantu, maka dia mesti membantu sekadar kemampuannya.

Galakan membantu ketika dalam perjalanan dan permusafiran merupakan satu sunnah. Hal ini berdasarkan daripada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudhri RA, beliau berkata:

بَيْنَمَا نَحْنُ فِي سَفَرٍ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَ رَجُلٌ عَلَى رَاحِلَةٍ لَهُ، قَالَ: فَجَعَلَ يَصْرِفُ بَصَرَهُ يَمِينًا وَشِمَالًا، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ كَانَ مَعَهُ فَضْلُ ظَهْرٍ، فَلْيَعُدْ بِهِ عَلَى مَنْ لَا ظَهْرَ لَهُ، وَمَنْ كَانَ لَهُ فَضْلٌ مِنْ زَادٍ، فَلْيَعُدْ بِهِ عَلَى مَنْ لَا زَادَ لَهُ، قَالَ: فَذَكَرَ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ مَا ذَكَرَ حَتَّى رَأَيْنَا أَنَّهُ لَا حَقَّ لِأَحَدٍ مِنَّا فِي فَضْلٍ.

Maksudnya: “Ketika kami bersama Rasulullah SAW dalam sebuah permusafiran, datang seorang lelaki menunggangi tunggangannya, lalu dia menoleh ke kanan dan ke kiri, maka Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang memiliki kelebihan tempat pada kendaraannya, hendaklah dia memberikannya kepada orang yang tidak memiliki tempat, dan siapa yang memiliki kelebihan bekalan hendaklah dia memberikannya kepada orang yang tidak memiliki bekalan. Abu Sa’id RA berkata, Lalu baginda menyebutkan golongan yang berhak mendapatkan harta sehingga kami melihat bahawa tidak ada lagi dari kami yang berhak mendapatkan kelebihan harta.”

Riwayat Muslim (1728)

Syeikh Ahmad Hutaibah dalam mensyarahkan hadith ini dalam kitab Syarh Riyadh al-Salihin yang ditulisnya menyebut: "Dalam hadith ini, Nabi SAW berada dalam permusafiran, kemudian datang seorang lelaki di atas tunggangannya, kemudian dia memandang ke kiri dan ke kanan, dia seperti seorang yang berhajat tetapi tidak diketahui kepada siapa dia meminta. Dia menunggang unta dan berhajat kepada makanan, maka Rasulullah SAW bersabda sebagaimana hadith ini... Maka sesiapa yang mempunyai lebihan daripada apa yang dia ada, dan saudaranya memerlukannya ketika dalam permusafiran, maka hendaklah dia memberikan kepada yang memerlukan tersebut serta janganlah kedekut kerana Allah memberikan ganjaran yang besar." (Lihat Syarh Riyadh al-Salihin, 40/9)

Hadith ini menunjukkan syariat Islam mewajibkan untuk menolong sesama orang islam, maka wajib bagi setiap muslim untuk membantu saudaranya yang berada di dalam kesusahan dengan membantunya sekadar kemampuan yang dimilikinya. Hal ini termasuk bagi mereka yang menjadi mangsa kemalangan, mereka berada dalam keadaan bermusafir tetapi ditimpa musibah dengan kesusahan ataupun kesakitan, maka lebih utama untuk dibantu bagi mereka yang mempunyai kemampuan.

Antara perkara yang mungkin boleh dilakukan untuk membantu mangsa kemalangan:

 

Kedua: Situasi Perlu Meneruskan Perjalanan Tanpa Perlu Berhenti Membantu Mangsa Kemalangan

Jika kemalangan itu berlaku di kawasan yang boleh menyebabkan kesesakan jalan raya, dan dalam masa yang sama sudah ada pihak berkuasa yang menguruskan mangsa kemalangan, maka tidak disarankan untuk berhenti kerana ianya akan menambah lagi kesesakan jalan raya yang berlaku. Kita dilarang untuk memudharatkan lagi keadaan yang berlaku sebagaimana hadith Nabi SAW yang menjadi kaedah fiqh:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”

Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) dan Imam Malik (2/746) dalam al-Muwatta’.

Imam Ibn Daqiq al-‘Id menukilkan kata-kata al-Mahasini: “Melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”. Ini adalah pendapat yang benar. (Lihat Syarh al-Arba'in al-Nawawiyyah fi al-Ahadith al-Sahihah al-Nabawiyyah, hlm. 83)

Justeru, perbuatan memberhentikan kenderaan untuk membantu mangsa kemalangan dalam keadaan memberikan kemudharatan kepada orang lain merupakan perbuatan yang dilarang dalam Islam walaupun dengan tujuan kebaikan, sedangkan sudah ada pihak yang telah membantu mereka meredakan situasi yang dihadapi oleh mereka. Sesungguhnya, matlamat kebaikan yang dilakukan tidak menghalalkan cara seperti menimbulkan kemudharatan kepada orang lain.

Berdasarkan perbahasan dan situasi yang kami sebutkan, maka kami nyatakan bahawa situasi kemalangan yang berlaku sangat memainkan peranan dalam menentukan sama ada perlu atau tidak untuk kita memberhentikan kenderaan bagi membantu mangsa kemalangan. Jika situasi seseorang itu mengizinkan untuk membantu, maka dia mesti membantu sekadar kemampuannya. Namun, jika situasi tidak mengizinkan untuk dia membantu serta menambahkan lagi kekeruhan dan kemudharatan seperti menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk, maka tidak boleh untuk dia memberhentikan kenderaan bagi membantu. Jika situasi kedua ini yang berlaku, kami sarankan supaya meneruskan perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang teruk serta menyerahkan situasi tersebut kepada pihak yang lebih berautoriti seperti pihak polis, pasukan penyelamat, dan juga ambulans dalam memainkan peranan mereka dalam mengendalikan kemalangan dan situasi yang berlaku.

 

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan yang kami bentangkan di atas, kami simpulkan bahawa:

Akhirnya, sayugianya kami ingin menyatakan sekali lagi sokongan padu terhadap pihak berkuasa terutama PDRM, JPJ dan MOT dalam menguatkuasakan undang-undang jalan raya pada musim perayaan ini. Moga-moga pada kali ini Hari Raya Aidilfitri dapat disambut oleh seluruh umat Islam di Malaysia tanpa mencatatkan apa jua tragedi yang bakal menjadi mimpi ngeri.

Akhir kalam saya berpesan: “Pandulah dengan berhemat, nescaya jiwa akan selamat.”

 

Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekuan
28 Ramadhan 1440 H bersamaan 2 Jun 2019.

 

Nota Hujung:

[1] https://www.sinarharian.com.my/article/29658/BERITA/Nasional/Ops-Selamat-PDRM-tekan-empat-aspek-minimum-kadar-kemalangan

[2] Lihat Wikipedia bertajuk: “Tali Pinggang Keledar” di pautan: https://ms.wikipedia.org/wiki/Tali_pinggang_keledar

[3] Lihat Wikipedia bertajuk: “Topi Keledar Motosikal” di pautan: http://ms.wikipedia.org/wiki/Topi_keledar_motosikal

[4] http://ejournal.ukm.my/ebangi/article/download/22588/7111

[5] http://www.jkjr.gov.my/ms/588-statistik-kemalangan-jalan-raya.html

[6] http://www.jkjr.gov.my/ms/direktori.html?catid=0&id=3030:jangan-memotong-barisan

[7] Rujuk: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pemandu-yang-guna

lorong-kecemasan-adalah-pembunuh-saksi-106239

[8] Rujuk http://www.jpj.gov.my/web/main-site/teknikal-kenderaan/-/knowledge_base/teknikal-kenderaan/penguatkuasaan-terhadap-lampu-hid