BAYAN LINNAS SIRI KE-245: NASIHAT BUAT PENGGIAT SENI

Presentation1

MUKADIMAH

Hijrah dalam Islam terkenal sebagai suatu fenomena perpindahan dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain demi menyebarkan ajaran Islam. Selain itu, hijrah juga boleh dianggap sebagai satu proses transformasi dari satu keadaan ke satu keadaan kehidupan yang lebih baik.

Dalam konteks semasa, hijrah juga boleh disebut sebagai perubahan sikap atau perangai seseorang individu ke arah yang lebih baik dengan mengikuti batasan syariat. Sifat seseorang individu adalah dinamik dan sentiasa berubah-ubah demi kelangsungan kehidupan. Hijrah merupakan satu keperluan dalam kehidupan manusia supaya dapat memperbaiki taraf kehidupan, diri dan masyarakat ke satu tahap yang lebih baik. Sudah pasti setiap perubahan yang dilakukan bagi mendapatkan keberkatan dan kerahmatan daripada Allah SWT. Sebagaimana Firman Allah SWT:

 إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَٰئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ 

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah al-Baqarah (218)

Dalam ayat yang lain, Allah SWT telah memerintahkan umat Islam supaya melakukan perubahan dalam diri. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ ‎

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah mengkehendaki untuk menimpakan sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya."

Surah al-Raʻd (11)

Dalam sejarah dan tamadun Islam juga menunjukkan hijrah yang dilakukan oleh para sahabat baginda SAW. Sebagai contoh, Saidina Umar al-Khattab yang melakukan hijrah daripada kehidupan jahiliah kepada kehidupan yang mengesakan Allah SWT dan memperakui bahawa Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah SWT. Lalu beliau digelar sebagai al-Faruq, iaitu seorang yang mampu membezakan antara yang baik dan buruk. Terdapat juga sahabat lain seperti ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf yang melakukan jihad harta. Beliau telah menginfakkan hampir keseluruhan hartanya demi memajukan dan memartabatkan agama Islam.

Maka hijrah pada hari ini lebih identik dengan penghijrahan diri kepada yang lebih baik. Hijrah bukan sahaja melibatkan aspek material, bahkan hijrah juga melibatkan perubahan berbentuk fizikal dan juga rohani. Faktor yang menyebabkan seseorang itu ingin berhijrah juga pelbagai. Antaranya, faktor inginkan perubahan yang lebih baik dalam diri, penelitian terhadap agama Islam, nasihat dan teguran daripada orang sekeliling dan pelbagai lagi. Contohnya, seorang saintis terkenal berhijrah daripada seorang penganut Kristian kepada penganut agama Islam, iaitu Dr Maurice Bucaille. Penghijrahan beliau berlaku setelah melakukan kajian terhadap jasad Firaun di Mesir.[1]

Apabila terdapat dalam kalangan masyarakat yang cuba untuk berhijrah, maka perbuatan tersebut wajar disokong dan dibantu oleh semua pihak. Bantuan tersebut boleh berupa material mahupun spiritual. Bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan akan mendatangkan kerahmatan daripada Allah SWT, lebih-lebih lagi apabila penghijrahan tersebut melibatkan keinsafan seseorang untuk mendapatkan keberkatan dan keredaan daripada Allah SWT.

MENTAATI PERINTAH ALLAH ADALAH SATU KEWAJIPAN

Sebagai seorang muslim, setiap perintah wajib dilaksanakan dan setiap larangan wajib ditinggalkan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا

Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

Surah al-Aḥzāb (36)

Al-Syaukānī menjelaskan bahawa tidak boleh bagi orang yang beriman dengan Allah untuk memilih mana-mana hukum Allah menurut apa yang dia suka. Dia wajib mendengar, taat dan patuh terhadap apa sahaja yang telah ditetapkan oleh Allah.[2]

Sifat orang yang beriman sentiasa taat dan patuh kepada segala perintah Allah dan Rasul dalam segenap sudut kehidupan. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT:

ءَامَنَ ٱلرَّسُولُ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡهِ مِن رَّبِّهِۦ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۚ كُلٌّ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَمَلَٰٓئِكَتِهِۦ وَكُتُبِهِۦ وَرُسُلِهِۦ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّن رُّسُلِهِۦۚ وَقَالُواْ سَمِعۡنَا وَأَطَعۡنَاۖ غُفۡرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيۡكَ ٱلۡمَصِيرُ 

Maksudnya: “Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya". Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali".

Surah al-Baqarah (285)

Ibn Kathir menjelaskan perkataan (سَمِعۡنَا وَأَطَعۡنَاۖ) menggambarkan penyerahan penuh seorang hamba kepada Tuhan. Seakan-akan kita berkata kepada Allah ‘Kami mendengar firman-Mu wahai Allah, kami faham dan kami laksanakan apa yang Engkau perintahkan’.[3]

Ayat ini secara tidak langsung menjelaskan sikap dan sifat yang sepatutnya ada dalam diri setiap muslim. Tiada kompromi apabila melibatkan perintah Allah SWT dan apabila seseorang sudah membuat keputusan untuk berhijrah, itu adalah pilihannya untuk sedia mentaati perintah Allah.

NASIHAT KEPADA PENGGIAT SENI

Sejak kebelakangan ini, kita sering mendengar cerita penghijrahan diri artis dan penggiat seni tanah air. Fenomena ini merupakan satu suasana yang baik kerana setiap muslim dituntut untuk berhijrah kepada yang lebih baik. Bagi mengekalkan hijrah yang telah dilakukan memerlukan sokongan dan dokongan daripada orang sekeliling. Allah SWT berfirman:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

Maksudnya: “…dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Surah al-Maidah (2)

Imam al-Ṭabrānī menjelaskan orang yang beriman seharusnya saling bantu membantu melakukan kebaikan dan kebajikan serta bersama melaksanakan perintah Allah SWT. Orang yang beriman tidak seharusnya melanggar perintah dan ketetapan  Allah.[4]

Penghijrahan sebahagian artis dan penggiat seni seharusnya disambut baik oleh penggiat seni yang lain termasuk pengarah dan kru penerbitan bahkan pendirian mereka untuk berhijrah menjadi lebih baik seharusnya dihormati bukan didiskriminasi dan dipinggirkan. Sebagai seorang muslim, penghijarahan mereka perlu disokong supaya mereka istiqamah dan sentiasa terdorong untuk menjadi lebih baik. Jika tiada sokongan, ditakuti mereka akan kembali kepada keadaan sebelumnya dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

PENUTUP

Perubahan diri seseorang insan ke arah yang lebih baik adalah satu yang digalakkan dna perlu disokong oleh semua pihak termasuk rakan-rakan terdekat dan mereka yang di sekitarnya, Rakan-rakan penggiat seni perlu menghormati hak beragama seseorang yang mahu berhijrah kepada suasana dan tingkah laku yang lebih baik. Penghijrahan mereka dilakukan atas pilihan mereka sendiri dan pendirian tidak boleh diganggu gugat kerana memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan patuh kepada syariat adalah dituntut ke atas setiap individu muslim. Perbuatan menghalang atau menyekat kebebasan mereka untuk memilih jalan yang lebih diredai tidak dibenarkan sama sekali bahkan jika dilakukan akan membawa kepada dosa dan kemurkaan Allah. Semoga Allah memberikan hidayah kepada kita untuk sentiasa berada di atas jalan kebaikan. Wallahu’alam.

 

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

NOTA HUJUNG:

[1] Rujuk “The story of Maurice Bucaille’s inspiring conversion to Islam”, laman sesawang Arab News, https://www.arabnews.com/news/443500.

[2] Al-Syaukānī, Muhammad bin ‘Ali (1993), Fath al-Qadīr, Damshik: Dār Ibn Kathīr, Beirut: Dār al-Kalim al-Ṭayyib, j.4 h.325. أَنَّهُ لَا يَحِلُّ لِمَنْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ إِذَا قَضَى اللَّهُ أَمْرًا أَنْ يَخْتَارَ من أمر نفسه ما شاء بَلْ يَجِبُ عَلَيْهِ أَنْ يُذْعِنَ لِلْقَضَاءِ، وَيُوقِفَ نفسه على ما قضاه الله عليه وَاخْتَارَهُ لَهُ

[3] Abū al-Fidā’, Ismail bin Umar (1999), Tafsīr al-Qurān al-‘Aẓīm, ed. Sami bin Muhammad Salamah, Riyadh: Dar al-Ṭayyibah, j.1 h.733. أَيْ: سَمِعْنَا قَوْلَكَ يَا رَبَّنَا، وَفَهِمْنَاهُ، وَقُمْنَا بِهِ، وَامْتَثَلْنَا الْعَمَلَ بِمُقْتَضَاهُ

[4] Abu Ja’far al-Ṭabarī, Muhammad bin Jarir (2001), Jāmī‘ al-Bayān ‘an Ta’wīl Ayy al-Qurān, Giza: Dar Hijr, j.8 h.52. وَلْيُعِنْ بَعْضُكُمْ أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ بَعْضًا عَلَى الْبِرِّ , وَهُوَ الْعَمَلُ بِمَا أَمَرَ اللَّهُ بِالْعَمَلِ بِهِ {وَالتَّقْوَى} هُوَ اتِّقَاءُ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِاتِّقَائِهِ وَاجْتِنَابِهِ مِنْ مَعَاصِيهِ. وَقَوْلُهُ: {وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ} يَعْنِي: وَلَا يُعِنْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا عَلَى الْإِثْمِ , يَعْنِي: عَلَى تَرْكَ مَا أَمَرَكُمُ اللَّهُ بِفِعْلِهِ. {وَالْعُدْوَانِ} يَقُولُ: " وَلَا عَلَى أَنْ تَتَجَاوَزُوا مَا حَدِّ اللَّهِ لَكُمْ فِي دِينِكُمْ , وَفَرَضَ لَكُمْ فِي أَنْفُسِكُمْ وَفِي غَيْرِكُمْ