AL-AFKAR #28: TARIQAT MUFARRIDIYAH

mufarridiyah.JPG

Soalan

Assalamualaikum Dato' Seri Mufti, saya terdengar berkenaan Tariqat Mufarridiyah. Apakah boleh kami ikut dan amalkannya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sebelum kami menjawab isu ini, suka kami tegaskan bahawa terdapat banyak tariqat yang baik yang sahih dan boleh diamalkan. Ini dapat dikesan melalui kitab-kitab yang muktabar dalam bidang kesufian. Begitu juga kami dapati Lajnah Jilsah Sufiyyah yang dilakukan oleh Pejabat Mufti Negeri Sembilan sebagai salah satu tapisan dan pengenalan sebenar antara tariqat yang muktabar dan dibenarkan dengan yang menyimpang.

Berkenaan isu di atas, tariqat Mufarridiyah diajar oleh Syeikh Makmun bin Yahya. Kami nyatakan pengenalan kepada tariqat ini dan pengasasnya.

Antara ajarannya juga ialah mempercayai bahawa segala doa dan istighfar kepada Allah mestilah melalui malaikat bernama Karanaz. Orang yang bersahabat dengan malaikat ini ialah orang yang telah mencapai martabat jisim kelima dalam tarekatnya. Orang ini jisimnya adalah Allah dan rohnya adalah roh Allah. Dia juga boleh membela roh si mati daripada seksaan kubur. Oleh itu, orang yang ingin mendapat pembelaan terhadap ahli keluarganya yang telah mati boleh membayar kepada Syeikh Makmun.

 

Hukum Tariqat Mufarridiyyah

Fatwa oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang dikeluarkan pada 10 Disember 1987 menyebut: “Bahawa tarikat Mufarridah bukan daripada ajaran Islam. Oleh itu orang Islam adalah ditegah daripada mengikut dan mengamalkannya.”

Fatwa ini senada dengan keputusan Majlis Raja-raja yang dalam mesyuarat ke-117 pada 21 Februari 1980 telah mempersetujui pendapat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan memutuskan bahawa ajaran ini bertentangan dengan ajaran Islam. Orang-orang yang terlibat dengan ajaran ini dikehendaki bertaubat.

Semoga Allah sentiasa memberi taufiq dan hidayah kepada kita untuk mengikut agama Islam yang sebenarnya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.

 

Nota Hujung:

[1] Lihat Warta Kerajaan Negeri Selangor, Sel. P.U. 49 Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam, 1989 Fatwa Tentang Tarikat Mufarridiah Ajaran Syeikh Makmun Bin Yahya En. 21/1989 pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 31(1) dan seksyen 32 Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989.

[2] JAKIM, Tarekat Mufarridiyyah Satu ajaran Sesat (Malaysia: JAKIM), 7-11.