AL-AFKAR #63: MAKSUD ALAM BARZAKH

alam barzakh maksud.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah maksud alam barzakh?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menurut kamus Lisan al-Arab oleh Ibnu Manzur: Makna alam barzakh ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar, iaitu daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh. (Lihat Lisan al-Arab, 3/8)

Disebut dalam Mukhtar al-Sihah: Makna barzakh ialah dinding pembatas antara dua benda. Ia juga membawa makna apa yang terdapat di antara alam dunia dan alam akhirat sejak dari waktu kematian seseorang sehingga dia dibangkitkan. Jadi siapa yang mati maka itu bermakna dia telah masuk ke dalam alam barzakh. (Lihat Mukhtar al-Sihah, hlm. 73)

Al-Jurjani dalam al-Ta’rifat berkata: Al-Barzakh (البرزخ) disebut sebanyak tiga kali dalam al-Quran dan semuanya disebut dalam bentuk kata nama. Dari segi bahasa ia bermakna sesuatu atau penghalang antara dua perkara. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 45)

Allah SWT berfirman:

وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Maksudnya: Sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

Surah al-Mukminun (100)

Imam Ibn Kathir dalam menjelaskan maksud al-barzakh dalam ayat di atas menukilkan beberapa pandangan, antaranya:

Imam al-Qurtubi pula dalam menjelaskan ayat di atas menyebut bahawa barzakh itu ialah alam di antara kematian dan kebangkitan. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 6/113)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Di hadapan mereka terbentang sesuatu yang menghalang mereka untuk kembali ke dunia hingga ke hari Kiamat. Di sini terdapat keputusan muktamad untuk mereka berkenaan kembali semula ke dunia. Jika mereka tidak dapat kembali semula sebelum hari Kiamat, maka apalagi sesudahnya, pasti mereka tidak akan berjaya untuk kembali ke dunia selama-lamanya kerana sudah pasti setelah berlaku hari kebangkitan, seseorang itu tidak dapat kembali semula ke dunia kecuali akan tinggal di akhirat untuk selama-lamanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4690)

 

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat difahami bahawa alam Barzakh merupakan satu tempat yang akan ditempati oleh mereka yang telah mati sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar. Ia merupakan tempat di antara kehidupan dunia dan akhirat. Oleh itu, sesiapa yang mati bermakna mereka telah memasuki alam barzakh.

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita daripada azab seksaannya dan mengurniakan rahmat dan pertolongan-Nya kepada kita. Amin.