AL-AFKAR # 132 : NEPOTISME DAN KRONISME MENURUT ISLAM

Nepo min

 

Soalan

Assalamualaikum wbt. Syarikat lama tempat saya bekerja telah membuang segelintir pekerja untuk berikan jawatan tersebut kepada sanak saudara mereka. Saya faham bahawa sesetengah syarikat ada hak untuk buat begitu lagi-lagi kalau macam syarikat perniagaan milik keluarga akan tetapi ini sebuah syarikat besar. Saya mohon penjelasan berkenaan pandangan Islam terhadap isu kroni ini. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Waalaikumussalam wbt. Perbuatan melantik seseorang untuk sesuatu jawatan atau pekerjaan berdasarkan hubungan kaum kerabat dan rakan-rakan digelar sebagai nepotisme atau kronisme. Perbuatan ini adalah tidak baik dan negatif kerana penilaian dibuat bukan berasaskan kelayakan dan keupayaan sebenar seseorang yang boleh mengakibatkan kerosakan dalam sistem masyarakat. Islam memandang perbuatan ini sebagai perkara yang haram dan perlu  dielakkan kerana mengkhianati hak orang lain. Wallahua’lam.

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat.

Menurut kamus Merriam-Webster, nepotisme bermaksud kecenderungan terhadap orang atau kelompok yang mempunyai pertalian darah, kebiasaannya dalam melantik posisi pekerjaan.[1] Menurut kamus bahasa melayu Dewan Bahasa dan Pustaka pula, nepotisme bermaksud perbuatan atau amalan yang mementingkan atau melebihkan sanak saudara dan kawan-kawan sendiri sahaja.[2] Istilah Nepotisme ini berasal daripada perkataan greek iaitu nepos dan otis, yang bermaksud cucu lelaki, keturunan, atau saudara sepupu. Frasa kata nepotisme ini kemudiannya berkembang menjadi istilah yang difahami dengan makna: Perilaku yang memperlihatkan kecenderungan berlebihan kepada kaum kerabat, kecenderungan untuk mengutamakan atau menguntungkan sanak saudara sendiri dalam sesebuah jabatan, pangkat, atau lain-lain dan tindakan memilih kaum kerabat atau sanak saudara untuk memegang tampuk pemerintahan yang berkaitan dengan masyarakat (perkhidmatan awam).[3]

Nepotisme Menurut Islam

Nepotisme mempunyai beberapa kata yang sepadan di dalam Al-Quran, antaranya seperti al-mahabbah (kecintaan kepada sesuatu) dan al-ghil (cenderung untuk khianat). Terdapat beberapa firman Allah SWT yang boleh diambil iktibar berkaitan nepotisme ini. Antaranya:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوٓا۟ ءَابَآءَكُمْ وَإِخْوَٰنَكُمْ أَوْلِيَآءَ إِنِ ٱسْتَحَبُّوا۟ ٱلْكُفْرَ عَلَى ٱلْإِيمَٰنِ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan iman; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang-orang yang didampingi, maka merekalah orang-orang yang zalim.”

Surah al-Taubah (23)

Menurut Imam al-Qurtubi, ayat ini merupakan suruhan Allah SWT kepada keseluruhan orang-orang yang beriman, dan sebahagian kecil daripadanya merupakan hukum-hakam yang harus dipegang sehingga hari kiamat berkenaan had di antara orang yang beriman dan tidak beriman. Kisah ayat ini secara khusus berkenaan orang-orang beriman di Mekah dan negara-negara arab yang lain pada zaman tersebut, yang mana mereka dididik untuk tidak membelakangi keluarga dan kaum kerabat, serta menjadi tulang belakang kepada keluarga di tempat tinggal orang-orang kafir. Maka Allah SWT mengingatkan kepada hamba-Nya yang beriman agar tidak mengikuti tindakan dan arahan ibu bapa mereka (yang melanggari perintah Allah SWT), kerana hubungan dengan agama (kebenaran) itu melebihi daripada hubungan kekeluargaan.[Lihat: Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8,93-94][4]

Ayat di atas menerangkan bahawa pentingnya untuk berpegang kepada kebenaran dan keadilan meskipun terpaksa membelakangi keluarga. Ini kerana objektif dan hakikat kebenaran/keadilan melebihi daripada hakikat hubungan kekeluargaan, meskipun dalam keadaan memberi jawatan untuk seseorang.

Nabi Muhammad SAW juga dituduh mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam pembahagian harta rampasan perang. Namun Nabi SAW tidak bersifat dengan perbuatan khianat tersebut dan tidak mungkin untuk Nabi SAW melebihkan sesuatu individu atau kaum kerana pertalian darah. Kisah ini diriwayatkan oleh Anas bin Malik mengenai Nabi SAW membahagikan harta rampasan perang kepada Bani Hawazin daripada kaum Quraisy sebanyak 100 ekor unta, dan sesetengah orang daripada kaum Ansar mempertikaikan pembahagian tersebut kerana kaum mereka (Ansar) yang banyak menolong Rasul SAW dalam peperangan. Perkhabaran ini sampai kepada Rasul SAW dan Baginda mengumpulkan kaum Ansar di dalam satu pertemuan tertutup, lantas Baginda bersabda:

فَإِنِّي أُعْطِي رِجَالاً حَدِيثِي عَهْدٍ بِكُفْرٍ، أَتَأَلَّفُهُمْ، أَمَا تَرْضَوْنَ أَنْ يَذْهَبَ النَّاسُ بِالأَمْوَالِ وَتَذْهَبُونَ بِالنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِلَى رِحَالِكُمْ، فَوَاللَّهِ لَمَا تَنْقَلِبُونَ بِهِ خَيْرٌ مِمَّا يَنْقَلِبُونَ بِهِ ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya aku memberikan harta kepada mereka yang baru sahaja meninggalkan kekafiran (dan menerima Islam) untuk menarik hati mereka kepada agama ini. Tidakkah kamu gembira bahawa mereka mengambil harta-harta tersebut sedangkan kamu (Ansar) membawa pulang Nabi SAW ke tempat kamu? Demi Allah kamu mendapat sesuatu yang lebih berharga daripada apa yang mereka dapat.”

Riwayat al-Bukhari (4331)

Hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi SAW tidak membahagikan harta kerana hubungan pertaliannya dengan kaum Quraisy, tetapi lebih kepada pendekatan dan strategi dakwah untuk melembutkan hati kaum Quraisy. Kaum Ansar yang lebih beruntung sebenarnya kerana Baginda SAW lebih dekat dengan mereka.

Allah SWT juga berfirman dalam ayat yang lain untuk menempelak golongan yang menuduh Nabi SAW melakukan khianat dalam membahagikan harta rampasan perang:

وَمَا كَانَ لِنَبِىٍّ أَن يَغُلَّ ۚ وَمَن يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ ۚ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya).”

Surah Ali Imran (161)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menerangkan bahawa para Nabi AS mempunyai kedudukan yang tinggi pada keluhuran akhlak, oleh itu sikap khianat atau bersikap tidak adil dalam membahagikan harta rampasan perang atau mengambil sebahagian dari harta rampasan perang tanpa hak yang jelas bukan daripada ciri-ciri sifat Nabi SAW. Jadi, tidak berhak untuk menuduh Nabi SAW dengan tuduhan yang batil.[Lihat: Tafsir al-Munir, 4/150][5]

Kemudian terdapat hadis mengenai larangan mengutamakan ahli keluarga untuk sesuatu pelantikan jawatan yang mempunyai autoriti ke atas yang lain:

مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ الْمُسْلِمِينَ شَيْئًا فَأَمَّرَ عَلَيْهِمْ أَحَدًا مُحَابَاةً فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bertanggungjawab melantik Muslim yang lain untuk sesuatu jawatan, tetapi dia melantik melalui cara kecintaan (favoritisme) terhadap seseorang itu, maka laknat Allah ke atasnya.”

Riwayat Ahmad (21)

Hadis di atas walaupun bersanad dhaif, tetapi pengajaran yang dapat diperoleh adalah selari dengan dalil al-quran dan hadis-hadis yang lain agar berlaku adil walaupun terhadap ahli keluarga sendiri. Menjadi satu kesalahan jika melantik seseorang itu hanya kerana dia mempunyai hubungan kekeluargaan dan menafikan hak orang lain yang lebih berkelayakan.

Terdapat juga sebuah hadis di dalam bab pemerintahan yang mana diriwayatkan oleh Abu Humaid al-Sai’di, bahawa Rasul SAW melantik seseorang daripada kaum Azd untuk mengumpul harta sedekah. Kemudian selepas dia mengumpulnya, dia membahagikan sedikit daripada harta sedekah tersebut sebagai hadiah baginya dan kepada Rasul SAW lalu berkata: “Yang ini bahagianku, dan yang ini bahagianmu”. Rasul SAW berdiri lantas bersabda:

مَا بَالُ الْعَامِلِ نَبْعَثُهُ فَيَجِيءُ فَيَقُولُ هَذَا لَكُمْ وَهَذَا أُهْدِيَ لِي.‏ أَلاَّ جَلَسَ فِي بَيْتِ أُمِّهِ أَوْ أَبِيهِ فَيَنْظُرَ أَيُهْدَى لَهُ أَمْ لاَ لاَ يَأْتِي أَحَدٌ مِنْكُمْ بِشَىْءٍ مِنْ ذَلِكَ إِلاَّ جَاءَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنْ كَانَ بَعِيرًا فَلَهُ رُغَاءٌ أَوْ بَقَرَةً فَلَهَا خُوَارٌ أَوْ شَاةً تَيْعَرُ

Maksudnya: “Apa yang sudah jadi dengan pengumpul harta sedekah? Kami menghantarnya kemudian dia pulang lalu berkata: ‘Ini bahagian untukmu dan ini hadiah untukku’. Mengapa dia tidak duduk sahaja di rumah ibu atau bapanya dan lihat adakah harta (sedekah) ini sampai kepadanya atau tidak? Sesiapa yang menggelapkan harta sedekah ini kelak pada hari kiamat dia akan datang sambal memikul unta yang menderum di lehernya, atau lembu yang menguak, atau kambing yang mengembek.”

Riwayat Abu Daud (2946)

Hadis ini membicarakan berkenaan tanggungjawab para nabi dan pemimpin yang bertugas untuk menyalurkan apa yang wajib diberikan kepada umat dan rakyat. Pada hadis ini juga diberi peringatan agar seseorang pemimpin tidak menggunakan harta sedekah untuk diberi habuan kepada pekerja-pekerja bawahannya kerana ia dianggap perbuatan mengkhianati bidang kekuasaan dan pecah amanah.[Lihat: Aunul Ma’bud, 5/68][6]

Daripada hadis di atas, penting untuk kita mengambil iktibar bahawa kita hidup pada zaman di mana perkhidmatan awam berjalan melalui dana dan cukai daripada rakyat. Maka perkhidmatan yang dibiayai oleh dana awam ini tidak seharusnya digunakan sesuka hati menurut hawa nafsu dengan memberi hadiah berupa rasuah yang tidak sepatutnya, atau melantik seseorang ke dalam jawatan kerana hubungan kaum kerabat, atau menggunakan dana itu untuk tujuan peribadi. Sudah tentu perbuatan tidak bermoral ini walaupun terlepas akibatnya di dunia, namun di akhirat kelak teramat busuk padahnya.

Pihak kami juga pernah memuat naik artikel yang membicarakan isu yang hampir serupa dengan persoalan di atas, bertajuk: Irsyad al-Fatwa siri ke-692: ‘Hukum Mendapat Jawatan Melalui Kroni/Kabel’.[7] Kami ada mengatakan mengenai hukum melantik seseorang semata-mata berdasarkan favoritisme yang melampau kepada kaum kerabat atau rakan-rakan, yang mana haram hukumnya kerana mengkhianati hak orang lain.

Kesimpulan

Berdasar kepada penjelasan berikut jelas menunjukkan perbuatan melantik seseorang untuk jawatan atau autoriti berdasarkan hubungan kaum kerabat atau rakan-rakan digelar sebagai nepotisme atau kronisme mengikut takrifan akademik. Perbuatan ini sangat negatif kerana penilaian yang dibuat bukanlah berasaskan kelayakan dan keupayaan seseorang. Islam memandang perbuatan ini sebagai perkara yang haram dan harus dielakkan kerana mengkhianati hak orang lain. Wallahua’lam.

 RUJUKAN

[1] Merriam Webster: Nepotism: favoritism (as in appointment to a job) based on kinship

[2] Dewan Bahasa dan Pustaka,

https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=nepotisme

[3] Rahmawati, Nepotisme Menurut Perspektif Al-Quran, Thesis PHD Universiti Islam Negeri Alauddin Makassar, halaman 13,

http://repositori.uin-alauddin.ac.id/3926/1/RAHMAWATI_opt.pdf

[4] Imam al-Qurtubi, Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran, (Kaherah: 1964), Cetakan Darul Kutub al-Misriyyah,

ظاهر هذه الأية أنه خطاب لجميع المؤمنين كافة، وهي باقية الحكم إلى يوم القيامة في قطع الولاية بين المؤمنين والكافرين. وروت فرقة أن هذه الأية إنما نزلت في الحضّ على الهجرة ورفض بلاد الكفرة. فالمخاطبة على هذا إنما هي المؤمنين الذين كانوا بمكة وغيرها من بلاد العرب، خوطبوا بألا يوالوا الآباد والإخوة فيكونوا لهم تبعا في سكنى بلاد الكفر.

أي لا تطيعوهم ولا تخصوهم..ليبين آن القرب قرب الأديان لا قرب الأبدان.

[5] Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, (Beirut:1991), Cetakan Darul FIkr al-Maa’sir,

إن الأنبياء على درجة عالية من السمو والأخلاق، فما كان من شأن نبي أن يخون، أو يجور في القسمة، أو يأخذ شيئا من الغنائم بغير حق واضح، فما كان من حقكم أن تتهموا نبيكم بتهمة باطلة.

[6] Al-Azim Abadi, Aunul Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud, (Kaherah:2011), Cetakan Al-Quds,

وإشارة إلى ما يقع في القيامة من سؤال الأمم هل بلغهم أنبياؤهم ما أرسلوا إليهم،

وفي هذا الحديث بيان أن هدايا العمّال حرام وغلول لأنه خان في ولايته وأمانته

[7] https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5285-iryad-al-fatwa-siri-ke-692-hukum-mendapat-kerja-menggunakan-kabel-atau-kroni