Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #386 : HUKUM BERCAKAP ATAU BERKATA-KATA SEWAKTU KHUTBAH JUMAAT

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 386 (17 SEPTEMBER 2016 M/15 ZULHIJJAH 1437 H)

SOALAN:

Salam. Apa hukum bercakap ketika khutbah?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Hukum bercakap ketika khutbah jumaat ialah disunatkan diam dan tidak bercakap.

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata:

“Adakah diwajibkan senyap dan haram untuk bercakap (ketika khutbah Jumaat)? Padanya ada dua qaul yang popular. Itu disebut oleh pengarang kitab (al-Muhazzab) pembahagiannya dalam bab hai’ah al-Jumu`ah (amalan-amalan sunat di hari Jumaat). Pendapat yang sahih ialah yang yang masyhur dalam qaul jadid (baru) ialah disunatkan diam, tidak wajib, dan tidak haram untuk berkata-kata. Pendapat yang kedua seperti mana yang dinaskan dalam (qaul) lama dan dalam (kitab) al-Imla’ daripada pendapat baru bahawa wajib senyap dan haram bercakap. Telah sepakat dalam kalangan ashab (Syafi’eyyah) bahawa yang sahih ialah yang pertama.”

Rujuk al-Majmu’ (4/523)

Sekalipun begitu sebaiknya adalah tidak bercakap untuk keluar daripada khilaf ulama yang mengharamkan perbuatan bercakap ketika khutbah.

Ini dikuatkan dengan sebuah hadis riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: "Jika engkau berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat, “Senyap!” sedangkan imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya telah sia-sia.”

Hadis riwayat Imam Bukhari (934) dan Imam Muslim (851)

Saidina Ali RA berkata, “Barangsiapa yang sia-sia bererti tidak beroleh apa-apa pada solat Jumaatnya.” Ertinya tidak diperolehi kelebihan Jumaat yang dituntut dan pahala yang diharapkan.

Rujuk al-Mu`tamad (1/533)

Justeru kami mencadangkan supaya tidak bercakap sewaktu khutbah kecuali pada perkara darurat seperti menyelamatkan orang daripada tertimpa kebinasaan.

Wallahua’lam.