Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #379 : APAKAH MAKSUD DUDUK SEPERTI SYAITAN DAN BINATANG BUAS, BERSILA DI DALAM SOLA

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 379 (10 SEPTEMBER 2016 M / 8 ZULHIJJAH 1437 H)

SOALAN:

Salam. Saya ingin bertanya Ustaz. Bagaimanakah duduk seperti syaitan duduk duduk seperti binatang buas dalam solat. Kedua, apa hukum duduk bersila dalam solat?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Antara cara duduk yang dimakruhkan di dalam solat ialah duduk iq`a’ seperti anjing. Sifat duduk ini juga diertikan sebagai ‘uqbah (cara duduk) Syaitan. Hal ini berdasarkan keterangan hadis Rasulullah SAW:

وَكَانَ يَنْهَى عَنْ عُقْبَةِ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: Dan baginda menegah daripada duduk ‘uqbah Syaitan.

Hadis riwayat Imam Muslim (498) dalam Sahih-nya

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah:

“Abu ‘Ubaidah dan lain-lain menafsirkan bahawa duduk Iq`a’ yang ditegah daripada melakukannya ialah jika seseorang melekapkan punggungnya ke bumi dan menetapkan kedua-dua betisnya (ke kiri dan ke kanan, antara punggungnya) dan meletakkan kedua-dua tangannya di atas bumi, seperti duduknya anjing atau selainnya daripada jenis binatang buas.”

Rujuk Syarh Muslim (4/214)

Berkata Tawus RA:

“Kami bertanya kepada Ibn Abbas tentang duduk Iq`a’ atas dua tapak kaki, beliau berkata, “Demikian itu ialah Sunnah.”

Hadis riwayat Imam Muslim (536)

Berkata al-Nawawi:

“Dan jenis kedua duduk iq`a’ ialah meletakkan punggung di atas kedua-dua tumit semasa duduk antara dua sujud dan inilah yang dimaksudkan oleh Ibn Abbas sebagai Sunnah Nabi kamu SAW.”

Rujuk Syarh Muslim (5/19)

Rasulullah SAW juga bersabda:

وَيَنْهَى أَنْ يَفْتَرِشَ الرَّجُلُ ذِرَاعَيْهِ افْتِرَاشَ السَّبُعِ

Maksudnya: Dan baginda menegah seseorang daripada menghamparkan kedua lengannya seperti iftirasynya binatang liar.

Hadis riwayat Imam Muslim (498) dalam Sahih-nya

Bererti Rasulullah melarang seseorang sujud dalam keadaan menghamparkan lengannya seperti cara binatang liar menghampar dengan melekapkan lengannya di bumi. Sedangkan kaifiah yang disunatkan dengan mengangkat lengan dan tidak dilekapkan pada bumi.

Adapun hukum tentang bersila ketika duduk dalam solat, hukumnya ialah diharuskan. Kata al-Nawawi:

“Berkata ashab mazhab Syafie: Tidak ditentukan cara duduk pada tempat-tempat ini (duduk antara dua sujud, duduk tasyahhud akhir, duduk tasyahhud awal, dan duduk istirehat) suatu cara yang menjadikannya sah, bahkan apa cara duduk yang ditemui maka sah, sama ada tawarruk atau iftirasy, menjulurkan kaki, atau menegakkan kedua-dua lututnya, atau salah satu daripada keduanya, atau bentuk lain selain itu. Tetapi yang menepati Sunnah ialah dengan duduk tawarruk di akhir solat, dan duduk iftirasy selain daripada duduk akhir solat.”

Rujuk al-Majmu’ (1/429); al-Mu`tamad (1/291)

Wallahua’lam.