Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #373 : MALAIKAT MENGETUK-NGETUK DENGAN SAYAP MEREKA

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 373 (6 SEPTEMBER 2016 M / 4 ZULHIJJAH 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum tuan mufti. Saya ingin bertanya. Adakah hadith dibawah ini sohih? Mohon pencerahan.

"Apabila ALLAH menghendaki suatu urusan di langit,maka para malaikat memukul-mukulkan sayapnya kerana tunduk kepada firman-Nya bagaikan gemerincing mata rantai di atas batu-batu yang licin"(riwayat al-Bukhari)
Kedua, saya ingin minta pendapat. Apakah kitab kitab hadith yang sohih dan sesuai untuk diamalkan? Bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan hadith palsu? Mohon pencerahan tuan mufti. JazakAllahu khairan.

JAWAPAN:

Waalaikumusssalam wbt,

Perkara ini sememangnya termaktub dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

إِذَا قَضَى اللَّهُ الأَمْرَ فِي السَّمَاءِ، ضَرَبَتِ المَلاَئِكَةُ بِأَجْنِحَتِهَا خُضْعَانًا لِقَوْلِهِ، كَالسِّلْسِلَةِ عَلَى صَفْوَانٍ

Maksudnya: Apabila Allah menitahkan takdir suatu perkara di langit, para malaikat mengepakkan sayap mereka kerana tunduk takut terhadap Kalimat-Nya, yang didengari seperti gemerincing rantai di atas batu yang licin.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (4701)

Hal ini kerana wahyu merupakan suatu perkara yang benar dan agung di sisi penduduk langit termasuklah langit itu sendiri dan para malaikat.

Kaduanya, terlalu banyak kitab yang menghimpunkan hadis sahih dan hadis-hadis yang boleh dijadikan amalan harian. Antaranya ialah kitab Riyadussalihin dan al-Adzkar yang disusun oleh Imam al-Nawawi, Lataif al-Maarif oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali, dan Adab al-Mufrad oleh Imam al-Bukhari. Kitab-kitab berkenaan sudah ada edisi terjemahan dan tahqiq (semakan) yang boleh didapati di kedai-kedai buku tanahair.

Wallahua'lam.