Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #427 : ADAKAH PAMPASAN INSURANS ATAU TAKAFUL TERMASUK DALAM HARTA PUSAKA?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 427 (4 NOVEMBER 2016 M / 4 SAFAR 1438H)

 

SOALAN:

Assalamualaikum, saya seorang perunding takaful. Saya ingin bertanya adakah pampasan insurans atau takaful itu termasuk dalam harta waqaf? Kedua, saya mencadangkan kepada klien saya untuk mengambil pakej hibah mengganti wasiat kerana banyak pampasan dibekukan kerana pertikaian para waris. Adakah cadangan ini menyalahi Syariat?

 

JAWAPAN:

 

Waalaikumussalam wbt,

Pampasan insurans atau manfaat takaful tidak termasuk di dalam kategori harta pusaka.
Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia, pada mesyuarat ke-52 bertarikh 2 Ogos 2005 telah memutuskan bahawa konsep perlindungan berkanun seperti yang diamalkan oleh insurans konvensional boleh diterima pakai dalam industri takaful seperti yang berikut:

i. Pembayaran manfaat takaful tidak akan menjadi sebahagian daripada harta pusaka dan tidak tertakluk kepada hutang peserta takaful yang meninggal dunia.

Asas pertimbangannya ialah:

“Memandangkan status manfaat takaful yang dihibah tidak akan bertukar menjadi wasiat, harta pusaka dan sebagainya bagi memenuhi matlamat skim takaful iaitu memberikan perlindungan kepada peserta atau penama (penerima hibah), manfaat takaful yang dihibah dilihat mempunyai persamaan dengan perlindungan berkanun yang diterima pakai dalam insurans konvensional. Ini bermakna, sebarang manfaat takaful yang dinamakan kepada suami/isteri, anak atau ibu bapa (sekiranya tiada suami/isteri atau anak yang hidup semasa penamaan dibuat) tidak boleh dibatalkan, diubah, diserah (surrender) dan dicagarkan tanpa mendapat keizinan penama tersebut. Di samping itu, konsep perlindungan berkanun juga boleh digunakan dalam industri takaful kerana ia memelihara kepentingan penama dalam takaful di samping tidak bercanggah dengan konsep hibah ruqba.”

Rujuk Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam (hal. 88)

Berkenaan adakah cadangan itu berlawanan dengan syariah atau tidak, maka kami cenderung menyatakan bahawa ia tidak haram, kerana masih menggunakan instrumen yang dibenarkan dalam Islam. Khususnya jika disana terdapat maslahah seperti isu akaun dibekukan dan sebagainya.

Wallahua’lam.