Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI LI AL-FATAWI: SOALAN 387 - AMALAN SELEPAS MATI

SOALAN:

Assalamualaikum Dr.

Saya mendoakan semoga Dr sentiasa di bawah rahmat dan lindungan Allah serta sentiasa diberi kekuatan dalam dakwah dan perjuangan.

Saya mohon bertanya kakak saya telah kembali ke rahmatullah kerana kanser payudara. Beliau meninggalkan suami dan 6 orang anak yang semuanya masih bersekolah. Sebagai adik, apakah amalan yang boleh saya buat untuk arwah kakak saya agar pahala berpanjangan sampai kepadanya? Saya sentiasa berdoa agar rahmat dan belas kasihan Allah melimpah ruah untuknya agar rohnya tenang dan damai di sana. Mohon bantuan dan penjelasan Dr. Terima kasih. Jazakallah khairan kathira.

(18 SEPTEMBER 2016 M / 16 ZULHIJJAH 1437 H)

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Amalan sedekah, berdoa, dan haji untuk orang yang sudah meninggal dunia sampai pahalanya kepada mereka, dengan izin Allah Taala.

1.Berdoa untuk si mati

Di dalam al-Quran menyebut bahawa orang beriman berdoa untuk generasi yang mendahului mereka di dalam iman:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu".

Surah al-Hasyr, 59:10

Menjadi perkara yang sunat juga di dalam solat jenazah untuk berdoa demi kebaikan jenazah. Lafaznya seperti:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا

Maksudnya: Ya Allah, ampunlah dosanya, limpahkan rahmat kepanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا وَأَكْرِمْ نُزُلَها وَوَسِّعْ مُدْخَلَها واغسلها بالماء والثلج والبرد ونقها من الخطايا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْها دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِها وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِها وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهَا وَأَدْخِلْهَا الْجَنَّةَ وَأَعِذْهَا مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ

Maksudnya: Ya Allah, ampunlah dosanya, limpahkan rahmat kepanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya. Muliakan tempat turunnyanya, luaskan tempat tinggalnya (di dalam kubur), mandikannya dengan air, salji dan air dingin. Bersihkannya daripada kekotoran dosanya sebagaimana dibersihkan pakaian yang putih dari segala kekotoran. Dan gantikan rumahnya dengan rumah yang lebih baik dan pasangan yang lebih baik. Masukkan dia ke dalam syurga dan lindungilah dia daripada azab kubur dan azab neraka.

Rujuk al-Majmu’ (5/236)

2. Bersedekah bagi pihaknya

Hal ini berdasarkan sebuah hadis riwayat Aisyah RA bahawa seorang lelaki datang bertemu Rasulullah SAW:

إِنَّ أُمِّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَلَمْ تُوصِ، وَإِنِّي أَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ لَتَصَدَّقَتْ، فَلَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا وَلِيَ أَجْرٌ؟ فَقَالَ: نَعَمْ

Maksudnya: ”Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia secara mendadak dan tidak sempat berwasiat. Saya kira, jika ia sempat berbicara nescaya dia akan bersedekah. Adakah baginya pahala jika saya bersedekah untuknya ?”. Maka Baginda SAW menjawab : ”Ya”.

Hadis riwayat Imam Ibn Majah (2717) dalam Sunan-nya

Berkata Imam al-Ramli: “(Pada menyatakan sedekah bermanfaat kepada mayyit) baginya, dan termasuklah contohnya ialah berwakaf dengan mushaf (al-Quran) atau selainnya, menggalikan perigi, menanamkan pokok daripada hartanya ketika dia masih hidup atau selepas matinya menggunakan harta orang lain.”

Rujuk Nihayah al-Muhtaj (6/92)

3. Melaksanakan haji

Daripada Buraidah, daripada ayahnya, bahawa seorang wanita bertanyakan kepada Rasulullah SAW perihal ibunya yang baru meninggal dunia:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّهَا لَمْ تَحُجَّ قَطُّ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ، حُجِّي عَنْهَا

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku tidak sempat menunaikan haji, apakah boleh aku berhaji bagi pihaknya?”. Jawabnya: Boleh, berhajilah kamu bagi pihaknya.

Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (667) dalam Sunan-nya. Kata beliau, hadis ini hasan sahih.

Hadis ini menunjukkan bolehnya menunaikan haji bagi seseorang yang belum sempat melaksanakannya sewaktu ia hidup.

Wallahua’lam.