Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BERNIKAH MELALUI SKYPE, BERWALIKAN ALLAH

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 168 (28 JANUARI 2016 / BERSAMAAN 18 RABIULAKHIR 1437H)

 

 

Soalan:

 

Assalamualaikum ustaz,

Baru-baru ini saya berkenalan dgn seorang lelaki Muslim yang tinggal di German. Insyaallah kami bercadang untuk bernikah. Beliau mencadangkan untuk kami bernikah melalui webcam/skype bagi mengelakkan yang haram di antara kami kerana kami setiap hari berhubungan secara Whatsapp. Menurutnya terdapat dalil yang membolehkan ini antara saya dan dia dan berwalikan Allah.

Insyaallah bila beliau datang ke sini kami akan bernikah sekali lagi depan imam dan wali yang sepatutnya. Bolehkah ini dilakukan? Mohon pencerahan daripada ustaz tentang persoalan ini.

 

Jawapan:

 

Waalaikumussalam wbt,

Dalam mazhab al-Syafie, hal sedemikian tidak menjadikan akad perkahwinan itu sah. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa beliau berkata:

لَا نِكَاحَ إِلَّا بِشَاهِدَيْ عَدْلٍ وَوَلِيٍّ مُرْشِدٍ

Maksudnya: Tidak sah nikah melainkan ada dua orang saksi yang adil dan wali mursyid (adil).

Hadis riwayat al-Syafie dalam Musnad

Perkataan “لا” dalam hadis ialah nafi bagi kesahihan nikah, bukan nafi bagi kesempurnaan, seperti dalam sebuah hadis:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: Tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kalian sehingga dia mencintai bagi saudaranya apa yang dia cintai bagi diri sendiri.

Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Syarat-syarat sah nikah ialah bakal suami, bakal isteri, sighah ijab dan qabul, dua orang saksi dan wali. Wali di sini merujuk kepada wali manusia, bukan Allah SWT, walaupun disebut dalam al-Quran:

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ

Maksudnya: Allah ialah wali bagi orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman)

Surah al-Baqarah, 2:257

Wali di sini bererti Pelindung (Yang mengawal dan menolong), bukan bererti wali nikah. Jika nikah itu dikatakan sah, kenapa perlu dicadangkan agar dinikah semula di hadapan imam dan wali yang sepatutnya? Ini tidak betul. Sebenarnya, wali nikah itu mestilah manusia dan bapa atau wali-wali lain mengikut turutan yang ditetapkan Syarak.

 

Wallahua`lam.