Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

anak anjing sebelah bilik

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 241 (6 APRIL 2016 M / 28 JAMADILAKHIR 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum SS Mufti WP, 

Saya ada persoalan berkaitan anjing. Saya menyewa sebuah bilik dan ada berjiran dengan penyewa yang memiliki anjing. Setiap kali mahu keluar atau masuk ke bilik, saya perlu melalui bilik jiran yang ada anjing, dan dia biasanya meletakkan anjingnya di depan biliknya. Menjadi kesukaran untuk mengelak dari anjing tersebut setiap kali lalu di depan bilik tersebut (walaupun setakat ini saya masih dapat mengelak sama ada kerana tuan anjing tersebut ada bersama, atau kerana anjing tersebut langkahnya perlahan kerana masih kecil)

 Adakah boleh bagi saya untuk mengambil pandangan yg lebih ringan dalam soal kenajisan anjing seperti bersentuhan dengan anjing tidaklah memerlukan saya untuk membersihkan dengan tujuh basuhan yg salah satunya air bercampur tanah?

Jazkallah khair atas perhatian SS tuan mufti

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Kami berpandangan alangkah baiknya jika saudari mencari tempat lain bagi kediaman selain daripada tempat berkenaan. Ini kerana keadaan demikian boleh mencetuskan pelbagai persepsi termasuk yang buruk. Dalam mazhab Syafie, anjing termasuk dalam ketegori najis mughallazah. Cara penyuciannya ialah dengan tujuh kali basuhan air mutlak serta basuhan awal, atau akhirnya, atau salah satu daripada basuhan itu dengan air bercampur tanah mengikut beberapa riwayat.

Antaranya sabda Rasulullah SAW:

طَهُورُ إنَاءِ أَحَدِكُمْ إذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أو لاهن بِالتُّرَابِ

Maksudnya: Penyucian bekas salah seorang daripada kalian yang dijilat anjing ialah dengan membasuhnya tujuh kali, yang pertamanya dengan (air) tanah.

Hadis riwayat Imam Muslim (279) dalam Sahih-nya

Sebahagian ulama mengkritik pendapat ini dengan menyatakan bahawa perawi hadis ini yakni Abu Hurairah sendiri berpendapat basuhan memadai tiga kali basuhan. Namun begitu, ulama Syafie membantahnya dengan menyatakan hukum itu berdasarkan apa yang diriwayatkan bukan pandangan periwayat.

Justeru, sebagai langkah berhati-hati, sebaiknya berpindah ke tempat lain.

Wallahua`lam.